Panas
“Kami tidak ikut budaya barat…” Engku Emran
Berdasarkan pengamatan Kak Pora sendiri, memang si ibu yang dimaksudkan adalah primadona filem Melayu yang dimaksudkan cuma bayi yang di dalam dakapannya Erra itu tidaklah pula dapat Kak Pora pastikan kesahihannya. Almaklum... tidak ada satu umat pun dikalangan wakil media massa yang dibenarkan merakam wajah buah hati kesayangan Erra dan Engku Emran itu ketika mereka melawat Erra di Pusat Pakar Damansara tempoh hari.
Tambah lagi, Kak Pora sendiri pun sebelum ini sekadar mendengar cerita dari teman baik siapa lagi kalau bukan Normah Becok. Takut juga tersalah fakta, silap-silap kena saman pula. Sebelum apa-apa ampun dan maaf dipinta dari hujung rambut sehinggalah ke hujung kaki. Berbalik kepada cerita si kecil, bayi ini memang sahih comel sangat rupa parasnya, susuk tubuhnya juga ‘semangat’ dan montel. Entahlah mungkin ya, mungkin tidak. Kalau betul, beruntunglah Erra-Emran dikurniakan bayi yang bukan saja sihat tubuh badan tetapi juga comel paras rupanya. Serba salah pula jadinya, bila gambar tak dibenarkan dirakam lain pula implikasinya dan bila sudah dirakam, tak ada pula yang dapat mengesahkannya kecuali penghantar, ibu ayah serta insan-insan yang dekat di hati dan yang sewaktu dengannya. Apapun, doa Kak Pora dan rakan-rakan, semoga Erra bersabar dalam mengembalikan kesihatan sewaktu menjalani waktu berpantang di samping menyiapkan diri dengan realiti sebenar dalam menghadapi susah senang bergelar seorang ibu.
Eksklusifnya gambar anak Erra!
PERTAMA sekali, Kak Pora nak ucapkan tahniah kepada pasangan popular, Erra Fazira dan Ketua Pegawai Operasi Suria FM, Engku Emran Engku Zainal Abidin kerana cahaya mata sulung yang dinanti-nantikan mereka selama ini akhirnya selamat dilahirkan pada 30 Mac lalu, kira-kira jam 11.40 pagi. Kak Pora tumpang seronok dan gembira. Maklumlah, anak-anak Kak Pora pun sudah besar panjang. Teringin juga menimang anak baru tetapi sampai sekarang, 'drebar teksi pun tak masuk minang'. He he... teringat dialog dalam filem Melayu klasik, Masam Masam Manis lakonan Minah Hashim. Hai! Lama lagi Kak Pora menjanda nampaknya... Minggu lalu, Kak Pora ada ulas mengenai detik penantian Erra yang akan bersalin dan tekaan Kak Pora bahawa Erra akan bersalin pada Isnin atau Selasa lalu ternyata tepat. Nama anak mereka ialah Engku Aleesya. Amboi, cepat benar mereka pilih nama untuk anak mereka. Baru saja bersalin dah umumkan nama anak pada pihak media. Eloklah juga tu, ada perancangan awal. Tentu nama tu Erra yang pilih.
Namun, dalam keseronokan pasangan itu menimang cahaya mata, terdengar pula cerita yang tidak berapa sedap nak dengar bertiup di kalangan wartawan hiburan yang hadir membuat liputan sambil menziarahi Erra dan anaknya di Hospital Pakar Damansara.
Mengikut beberapa kawan Kak Pora, ramai rakan media yang kecewa dan hampa kerana mereka tidak dibenarkan merakam wajah Aleesya atas alasan Erra kononnya mahu berlaku adil kepada semua pihak media. Walaupun begitu pasangan itu masih membenarkan beberapa wakil media melawat Aleesya yang ketika itu sedang nyenyak tidur. Menurut cerita kawan baik Kak Pora, 'bising' juga wartawan dan jurugambar pada hari itu. Mana tidaknya! Alasan Erra hendak berlaku adil macam tidak berapa praktikal sebab hampir semua media termasuk TV, radio, akhbar dan majalah utama hadir untuk menyambut kehadiran bayi comel seberat 4.04 kilogram itu. Sepatutnya Erra bagi alasan lain. Adalah adil kepada wartawan dan jurugambar yang bersusah payah datang untuk merakam foto kenangan itu, maklumlah yang lahir pada hari itu ialah Ratu Filem Melayu. Jadi, bagi mereka yang datang ke hospital itu, mereka kecewa kerana tindakan itu sebenarnya adalah tidak adil kepada mereka yang bersusah payah datang meredah kesesakan lalu lintas, kemudian bayar tol dan parking tetapi Erra dan Emran tak izinkan. Sedangkan pihak media yang tak datang dan tak ingin buat liputan pada hari itu masih ada peluang untuk dapatkan gambar anak Erra nanti, iaitu pada majlis cukur jambul selepas 44 hari bersalin. Tak sangka Kak Pora, eksklusifnya gambar anak Erra. Sukar nak rakam gambar bayi itu. Mungkin bayi comel itu memang cantik macam mak dia, patutlah Erra larang wartawan ambil gambarnya. Agaknya berapa ramailah wartawan hari itu yang kena marah oleh bos masing-masing sebab pulang tangan kosong. Kasihan juga. Terdengar juga cerita yang mendakwa Erra enggan gambarnya dirakam kerana tidak mahu dilihat dalam keadaan kurang cantik. Maklum sajalah, wajah dan keadaan fizikal wanita selepas bersalin 'kembang' di sana sini. Orang biasa macam kita mungkin tiada masalah untuk mengabadikan gambar begini namun bila sudah terkenal, rasanya tidak semua yang berani. Tapi Kak Pora masih ingat wajah gembira Nora, Raja Azura, Amyza Adnan, Abby Abadi, Datuk Sheila Majid dan ramai lagi artis popular mengizinkan gambar mereka dan bayi yang baru dilahirkan dirakam media. Mereka tak kisah pun. Tiada apa-apa masalah pun, mungkin sebab mereka tidak secantik Erra.
Lagi perit telinga bila ada yang bercakap pasangan Erra - Emran lagaknya macam tidak mahu kalah dengan Angelina Jolie - Brad Pitt, begitu juga Tom Cruise - Katie Holmes di Hollywood. Sebenarnya, Kak Pora pun tidak terkejut jika ada media kita sanggup membeli gambar Engku Aleesya! Apapun, Kak Pora kasihan juga dengan situasi dihadapi Erra-Emran. Maklumlah, bukan mudah hendak memuaskan hati semua orang. Dalam hal ini, semua pihak perlu menerimanya dengan hati terbuka dan menghormati keputusan Erra-Emran. Mungkin itu adalah yang terbaik bukan saja untuk mereka sekeluarga tetapi untuk semua pihak. Bukankah Erra sudah berjanji, pada majlis cukur jambul Aleesya nanti yang akan diadakan sebaik saja Erra selesai berpantang, semua jurufoto dibenarkan merakamkan gambarnya. Sabar sajalah...
No comments:
Post a Comment