Friday, April 3, 2009

TAHNIAH: PERDANA MENTERI KE 6 MALAYSIA

YANG di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin bersalam dengan Najib selepas Seri Paduka mengurniakan Suratcara Pelantikan sebagai Perdana Menteri di Istana Negara, pagi semalam.


Tiga tindakan pertama Najib


Oleh Norfatimah Ahmadtim@bharian.com.my



1- Bebaskan 13 tahanan ISA 2- Kaji semula Akta Keselamatan Dalam Negeri 3- Tarik balik larangan Harakah, Suara Keadilan



KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak yang mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri semalam, memulakan pentadbirannya dengan membebaskan 13 tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) serta membuat kajian semula terhadap akta itu.Dalam perutusan sulungnya sebagai Perdana Menteri yang disiarkan menerusi TV1 malam tadi, Najib turut mengumumkan kerajaan menarik balik larangan penerbitan akhbar Harakah dan Suara Keadilan, berkuat kuasa serta-merta.Beliau berkata, pembebasan tahanan ISA dan penarikan larangan penerbitan akhbar parti pembangkang yang digantung permitnya bulan lalu itu bagi mengukuhkan keyakinan rakyat terhadap pihak berkuasa. Tiga belas tahanan ISA yang dibebaskan itu ialah tujuh anggota Darul Islam Sabah iaitu Pakana Selama, A Artas A Burhanuddin, Francis Indanan, Mohd Nazri Dollah, Mohd Arasad Patangari, Idris Lanama dan Binsali Omar.Turut dibebaskan dua pemimpin Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf), iaitu R Kenghadharan dan V Ganabatirau. Seorang lagi ialah anggota Jemaah Islamiah (JI), Wan Amin Wan Hamat.Tiga lagi yang dibebaskan ialah warga asing yang ditahan atas kesalahan memalsukan dokumen keselamatan, Sundaraj Vijay dari India dan dua rakyat Myanmar, Amir Hussain serta San Khaing.Dalam perutusannya, Perdana Menteri menegaskan, pentadbirannya akan membawa pembaharuan bagi menempa satu zaman baru demi menjelmakan kerajaan yang mengutamakan prestasi berpaksikan keutamaan rakyat.“Rakyat diutamakan akan merentasi seluruh lapisan masyarakat dan kumpulan etnik di setiap pelosok tanah air. Tiada sesiapa yang patut merasakan diri mereka tercicir atau terpinggir daripada wacana nasional.“Kita juga akan merapatkan hubungan rakyat dan kerajaan bagi mengelak masyarakat dikelirukan atau diperdaya oleh permainan muslihat politik,” katanya.Sambil mengajak seluruh rakyat untuk bersama melaksanakan transformasi besar berteraskan semangat ‘Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ Najib berikrar untuk bekerja tanpa mengenal erti jemu atau penat bagi membela nasib rakyat.“Dalam situasi penuh mencabar ini, saya komited untuk memastikan kepemimpinan terus berdiri teguh bagi menghadapi krisis ekonomi yang melanda seluruh dunia termasuk Malaysia.“Saya akan tetap berpegang kepada iltizam untuk memenuhi keperluan, kepentingan dan aspirasi setiap warga Malaysia,” katanya.Perdana Menteri mahu mengambil manfaat dari kejayaan kini dan iktibar dengan pengajaran masa lalu berhasrat meneruskan agenda besar kerajaan membasmi kemiskinan, menstruktur semula masyarakat, meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti, serta meniupkan semangat generasi baru untuk berkhidmat kepada negara.Najib berkata, dalam waktu terdekat ini, beliau akan bertukar pendapat dengan pelbagai lapisan pemimpin masyarakat dari seluruh negara dalam menentukan keutamaan kerajaan.Katanya, beliau akan mengambil inspirasi daripada dorongan Allahyarham bapanya untuk melaksanakan amanah yang diberikan kepadanya serta mengajak seluruh rakyat Malaysia memulakan satu langkah perjalanan hebat untuk negara.





Sumber : Berita Harian 4/4/09


No comments: