Wednesday, April 8, 2009

TAK SABAR NAK TENGOK ENGKU ALEESYA:-)

Erra – Emran perkenal anak selepas pantang


Oleh WANDA IDRIS



SEBAK yang membahagiakan. Itu perasaan pertama Erra Fazira tatkala pertama kali puteri sulungnya dihulurkan kepadanya sebaik selamat dilahirkan. Diletakkan di dadanya oleh jururawat bertugas membuatkan dirinya yang masih lemah jadi sayu, gembira dan bangga. Masakan tidak, bayi yang dikandung selama ini kini berada di depan mata.
Bersyukur dengan kurniaan Ilahi terhadap penyatuan cintanya bersama Engku Emran Engku Zainal Abidin, primadona filem Melayu itu kini sudahpun bergelar ibu.
Ya! Dan dia begitu teruja dengan gelaran terbarunya itu. Gelaran yang tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata, tidak seperti kala tangannya menggenggam anugerah.
“Saya seorang ibu...” Itulah katanya untuk menggambarkan kegembiraan yang sedang dirasai biar badan masih lelah kerana baru empat jam melahirkan puteri yang dinamakan Engku Aleesya Engku Emran itu.
Biarpun Erra pada awalnya tidak mahu menerima kehadiran tetamu kecuali keluarga dan teman rapat akhirnya tetap membenarkan sekumpulan wartawan menemuinya dengan satu janji - tidak akan merakamkan wajah anaknya.
Pun begitu, Erra yang baru bangun dari tidur ketika ditemui tidak pula menolak untuk ‘memperkenalkan’ permata hatinya kepada kami selepas mendapat persetujuan Engku Emran.
Benar seperti kata suaminya yang juga Ketua Pegawai Operasi Suria fm, mulut anaknya itu sama mongel seperti bibir ibunya yang ketika disorongkan oleh Engku Emran sedang nyenyak tidur selepas menyusu.
Engku Aleesya dilahirkan seberat 4.04 kilogram dengan panjang 51.5 sentimeter pada kira-kira pukul 11.40 pagi, Isnin lalu di Hospital Pakar Damansara, Kuala Lumpur.
Kelahiran buah hati pengarang jantung Erra-Emran pada tarikh 30 Mac itu lewat lima hari dari jangkaan dan doktor terpaksa menggunakan kaedah induce untuk mempercepatkan proses kelahiran.
Biar pada awalnya mengelak untuk menggunakan kaedah sedemikian namun artis popular itu terpaksa akur bagi mengelakkan sebarang komplikasi terhadap kandungan.
Riang sekali wajah Erra bercerita detik-detik kelahiran anaknya itu sambil sesekali menyuapkan roti ke dalam mulutnya.
“Penat tapi ini pengalaman paling hebat dalam hidup saya,” kata Erra yang sudah mula merasai sakit hendak bersalin sejak Sabtu lalu namun hanya ke hospital pada keesokan harinya. Pada tengah malam Ahad, doktor memberinya ubat untuk mempercepatkan kelahiran namun rahimnya masih tidak terbuka.
Doktor menjangkakan tengah hari Isnin dia akan bersalin selepas memasuki bilik bersalin sejak pukul 5 pagi namun ia lebih cepat dari jangkaan dan Erra bersyukur kerana proses melahirkan Engku Aleesya mudah dan cepat.
“Kira-kira sepuluh minit sahaja proses untuk melahirkan Aleesya,” ujarnya yang memilih beberapa nama untuk bayi perempuan dan akhirnya memilih Engku Aleesya kerana sebutannya lebih lembut selain maksudnya yang indah iaitu ‘yang dilindungi’.
Bakal menjalani tempoh berpantang di kediamannya, Erra yang memilih proses berpantang secara tradisional juga akan dijaga bergilir-gilir oleh ibunya, Azizah Zaik, ibu mertuanya, Toh Puan Salmah Abu Bakar serta nenek Erra, Rahimah Sakul.

Janji Erra

Teguh dengan pendirian tidak mahu mendedahkan kepada umum wajah Engku Aleesya ketika ini, Erra berjanji mahu ‘memperkenalkan’ Engku Aleesya pada majlis cukur jambul yang bakal diadakan selepas berpantang 44 hari.

Bagi pasangan suami isteri popular ini, itu saat paling sesuai memandangkan anaknya itu juga sudah semakin membesar dan Erra juga sudah bersedia.
Bakal menganjurkan dua sesi majlis cukur jambul - untuk keluarga terdekat dan untuk media - Erra dan Engku Emran juga menolak andaian bahawa mereka memberikan hak eksklusif kepada penerbitan terpilih.

“Bukan begitu dan kalau ada pun saya tidak akan bersetuju,” tegas Engku Emran.
“Saya pun tak sabar nak tunjukkan kepada satu Malaya, pada semua yang berdoa untuk saya tapi saya minta maaf banyak-banyak,” tambah Erra pula.
Bercerita mengenai kegiatan seninya, Erra yang akan kembali aktif selepas Jun ini memberitahu sudah ada beberapa tawaran yang menunggu selain meneruskan pembikinan album terbarunya.
Ini termasuklah meneruskan penggambaran musim kedua drama Mertua vs Menantu selain tawaran mengacara sebuah program pengembaraan.
Biarpun bakal sibuk dengan urusan kerja seninya namun Erra menegaskan tidak akan membawa bayinya ikut serta dalam kegiatannya.

“Saya tidak akan bawa anak ke lokasi penggambaran. Kalau saya bekerja, saya akan hantar Aleesya ke rumah ibu saya dan mak mertua saya secara bergilir-gilir,” jelas Erra.
Memberitahu tidak menggalakkan anaknya itu bergiat dalam bidang seni namun pasangan suami isteri popular ini tidak pula menghalang sekiranya sudah itu minat anaknya.



Nazar seorang bapa

Engku Emran pula memberitahu dia akan membotakkan rambut sebagai membayar nazar ke atas kelahiran anak pertamanya itu.

Dia yang begitu gembira dengan kelahiran Engku Aleesya juga memberitahu, menyaksikan proses kelahiran anaknya itu bukan sahaja sesuatu yang menginsafkan malah menyebabkan perasaan kasih dan sayangnya bertambah kuat kepada Erra.

Apalagi menyaksikan kesakitan yang terpaksa ditanggung oleh isteri kesayangannya itu memandangkan selama bersama, Erra tidak pernah menunjukkan rasa sakit.
“Saat-saat melahirkan adalah sesuatu yang ajaib. Memang takut tapi saya tetap nak tengok. Saya dapat melihat Erra pun takut.

“Tapi berbanding saya, Erra banyak membuat persiapan mental dengan membaca dan menonton video. Saya pula takut jika Erra tidak berdaya menanggung sakit hendak bersalin.
“Saya tidak tahu penerimaan dia terhadap sakit itu kerana dia memang tak pernah menunjukkan rasa sakit selama saya mengenalinya.

“Tapi dia kuat dan saya mahu bersama memberi sokongan. Ya, memang ada rasa takut dan sedih untuk dia dan itulah yang menginsafkan dan rasa sayang sangat kepadanya,” ujar Engku Emran.

Memberitahu Erra sendiri mahu melahirkan secara normal sebab mahu berbengkung, berurut dan sebagainya, Engku Emran sendiri mengambil cuti selama seminggu untuk meraikan ‘orang baru’ dalam hidup mereka
Sumber : Mingguan Malaysia ARKIB : 05/04/2009

No comments: