Monday, March 2, 2009

IBU MENGANDUNG PALING GLAMOUR DI MALAYSIA


ERRA menghitung hari untuk bergelar ibu.

DIJANGKA melahirkan bayi perempuan, Erra sanggup meninggalkan seketika dunia glamor demi cahaya mata sulungnya itu.


HIBURAN

Erra tak mahu dibedah
WALAU sedikit mengah ketika berbicara, suara Erra Fazira di corong telefon kedengaran amat ceria. Tawanya meledak apabila bercerita tentang anugerah pertama daripada Tuhan yang akan diperoleh pada bila-bila masa sekitar bulan Mac ini.

Mengikut perhitungan doktor, isteri kepada Engku Emran ini diramal bersalin dalam lingkungan tarikh 10 hingga 25 Mac 2009. Bermakna kurang 10 hari lagi, bintang wanita tersohor ini akan menjadi seorang ibu selepas pernah keguguran tahun lalu.
Bayi yang dikandung dengan berat lebih dua kilo gram itu pula dikatakan bayi perempuan. Bahagia Erra kini tidak dapat ditahan-tahan lagi.

Namun jauh di sudut hati, ada tiga perkara yang selalu membuatkan dirinya dicengkam ketakutan.

"Saya takut menghadapi proses melahirkan anak. Kalau diizinkan Tuhan, saya mahu menjalani proses ini secara normal. Saya tak mahu dibedah.
"Kemudian saya tak pasti bagaimana hendak menjalani proses berpantang kerana ini juga pengalaman pertama yang bakal saya tempuh.

"Dan yang paling saya bimbangkan kelak, mampukah saya menjadi seorang ibu yang baik kepada anak saya? Saya takut tidak mampu memikul tanggungjawab mendidik dan membesarkan anak dengan baik," luah Erra yang berdoa agar semua ketakutan itu reda dengan rahmat Tuhan kelak.

VAZZ hanya mahu berbicara tentang zuriat sulungnya Erra. Erra terus bercerita tentang fasa baru yang bakal ditempuhinya. Hilang sebentar kisah kerjaya dan dunia glamor yang selama ini menjadi topik dirinya.

Kemudian Erra menyentuh topik kesukaran bersalin atau komplikasi wanita mengandung pada usia 30-an. Usia Erra pada tahun ini sudah 35 tahun.

Satu usia yang terlalu matang untuk menimang cahaya mata sulung. Erra yang tidak menolak kebenaran itu berkata, semuanya bergantung kepada kekuatan mental dan fizikal wanita itu sendiri.

"Benar, risiko memang ada, tetapi ia berbalik pada nasib dan kekuatan individu itu sendiri. Kemudian dengan adanya bantuan teknologi yang semakin canggih dan dengan usaha, semuanya tak mustahil berlaku," katanya yang mengambil contoh kebanyakan wanita Barat yang masih mengandung dan melahirkan anak pada usia 40 tahun.

Ditanya tentang istilah ibu moden, pantas Erra memberitahu, pada persepsinya, ibu moden harus mampu memahami dan mendidik anak-anak dengan seimbang. Jika boleh, dia tidak mahu menjadi seorang ibu yang terlalu tegas.

Dalam masa yang sama, Erra juga tidak mahu terlalu lembut sehingga anak-anak tidak dapat membezakan hal positif atau negatif. Tambahnya: "Yang penting saya mampu menjadi teman dan ibu yang baik kepada mereka kelak."

Merancang empat anak

Terlanjur bercakap tentang menjadi teman kepada anak, Erra barangkali ibu yang paling gembira menanti anak sulung yang dijangkakan seorang bayi perempuan. Boleh jadi bayi itu kelak akan lebih akrab dengannya.

Erra ketawa seraya menyatakan dia tidak kisah jantina bayi yang bakal dilahirkan, asal kesihatan bayi itu baik.

Namun jika Allah menganugerahkannya bayi perempuan seperti yang dijangka, itulah rezekinya.
Sambil ketawa, Erra berkata: "Kalau sudah dapat bayi perempuan untuk kelahiran sulung ini, kenalah kami carikan pasangannya, bayi lelaki pula.

"Memang suami ada cakap mahu anak ramai. Sebab dia hanya ada tiga beradik, saya pula dua, jadi kami mahu sekurang-kurangnya empat anak untuk keluarga kami.

"Tapi kali ini kami kena rancang. Sekurang-kurangnya saya nak tempoh dua tahun sebelum melahirkan bayi lagi kerana mahu memberi kasih sayang kepada anak kami. Namun itu semua rancangan kita, kalau Tuhan kata 'sangkut' awal, saya terima."

Sudah mempunyai beberapa pilihan nama untuk bakal anaknya, Erra bagaimanapun enggan membuka rahsia nama anaknya. Menurut Erra, yang penting nama anak perempuannya kelak harus mempunyai makna yang baik dan berbunyi komersial.

Bertanya hal nama anak kepada suaminya, Emran, lelaki yang tenang dan matang berbicara itu menyatakan tiada pertelagahan sama ada dia ataupun Erra dalam memilih nama anak mereka. Asal kedua-duanya sepakat, dia menerima dengan tangan terbuka.

"Yang penting nama yang dipilih itu berkat dan mempunyai maksud yang baik dari segi Islam sebab kita membawa nama itu sehingga kita meninggal dunia," ujar Emran.
Sentiasa berdoa agar kesihatan isteri dan bayinya sentiasa selamat, Emran mahu anaknya mendapat pendidikan yang baik untuk bekalan diri. Dia juga sama pendapat dengan Erra untuk tidak menolak kecenderungan anaknya kelak jika dia berkecimpung dalam dunia seni.

Kata Erra: "Saya mahu dia cukup pelajaran dan kalau boleh, tak payah masuk industri seni... ini lebih bagus. Sebagai orang yang makan garam dalam industri ini, banyak fitnah yang melanda. Saya bimbang kelak dia tidak kuat. Tetapi siapalah saya untuk menghalang jika itu takdir Tuhan."

Begitu juga Emran yang menekankan: "Saya tidak boleh menjangka masa depannya. Tapi yang penting dia kena ada pendidikan. Dia kena pergi sejauh mana yang boleh kerana pelajaran harus jadi nombor satu."

Akan berehat selama dua bulan selepas bersalin, kata Erra, momentum kerjayanya akan dikendurkan demi memberi tumpuan kepada keluarga.

Bertanyakan pandangan Emran jika Erra tiba-tiba mengambil keputusan untuk meninggalkan bidang seni dan memilih menjadi suri rumah tangga sepenuh masa, Emran membiarkan keputusan tersebut di tangan Erra. Sebagai suami, dia akan selalu berdiri di belakang menyokong isteri kesayangannya itu.
Sumber : Kosmo 1/3/09

No comments: