Wednesday, March 4, 2009

TUAH BAKAL ANAK ERRA & EMRAN !!

KEKAL jelita biarpun sedang sarat hamil.



BERSAMA mereka yang membantu melonjakkan rating drama bersiri, Mertua vs Menantu.
Tuah Mentua VS Menantu
Oleh Zul Husni Abdul Hamidzhusni@bharian.com.my

Drama bersiri kekalkan populariti Erra selepas mendapat rating tinggi
KERAGUAN yang bersarang di hatinya barangkali sudah berlalu, sebaliknya bakal ibu jelita ini semakin yakin percaturan untuk memulakan langkah sebagai pelakon drama membuahkan hasil.Mula mengecap populariti sejak membintangi Sembilu, 16 tahun lalu, nama Erra lebih sinonim di layar perak. Dengan lebih 30 filem dibintangi sepanjang tempoh itu, pelakon kelahiran Sungai Choh, Rawang ini menghuni selesa kerusi yang tidak pernah goyah.Keampuhan Erra di layar perak melonjakkan dirinya hingga dilabel sebagai primadona filem Melayu baru. Di sebalik ruang selesa itu, Erra memberanikan diri menempuh cabaran baru apabila menandatangani kontrak sebagai Wajah Eksklusif Astro Megadrama bersama Aaron Aziz, lebih setahun lalu.Percaturan berani itu membuahkan hasil positif apabila drama bersiri pertama dibintanginya, Mertua Vs Menantu mencatat rating tertinggi sejak disiarkan Astro Prima, 22 Oktober lalu. “Memang dulu Erra ingin berlakon drama, cuma tidak tahu bagaimana untuk memulakannya. Erra bimbang kerana jika tersalah pilih akan memberikan impak kepada karier lakonan Erra.“Tawaran daripada Astro adalah permulaan yang baik kerana Erra tidak terus menerjah pasaran massa apabila membintangi drama. Alhamdulillah kerana keberanian Erra mencatat kejayaan,” katanya ketika ditemui pada majlis kesyukuran meraikan kejayaan Mertua Vs Menantu di Seri Kembangan, baru-baru ini.Tambah pelakon yang baru meraikan sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-35 pada 9 Februari lalu, dia mula terfikir untuk mencari cabaran baru selepas berbelas tahun menumpahkan keringat di layar lebar.Melihat pelakon lain mampu meraih kejayaan apabila mencuba dua medium lakonan berbeza, Erra turut terfikir untuk mempertaruhkan nasib di layar kaca.“Erra melihat tawaran diberikan sebagai ruang yang baik untuk memperluaskan pengalaman Erra sebagai pelakon. Jadi ia tidak pernah menimbulkan masalah besar kepada Erra biarpun percubaan ini memberikan pengalaman berbeza,” katanya yang pernah membintangi telefilem, Faridah & Joe sebelum ke lokasi Mertua Vs Menantu.Drama bersiri terbitan MIG arahan Feroz Kader itu turut dibintangi Aqasha, Rozie Othman, Jehan Miskin, Raja Farah, Almy Nadia dan Sheila Mambo.Berada di bawah naungan Astro, Erra berkata, dia tetap diberi kebebasan untuk memilih produksi yang ingin disertainya.“Biasanya mereka memberikan Erra beberapa skrip untuk dipilih. Terpulang kepada Erra untuk memilih watak yang ditawarkan kerana mereka mahukan keselesaan apabila Erra berada di lokasi.“Ketika membuat keputusan untuk berlakon dalam drama bersiri ini, Erra turut menerima tawaran lain. Bagaimanapun, Erra memilih Mertua Vs Menantu kerana watak serta jalan ceritanya menarik. “Lebih menyeronokkan Erra tidak perlu bersolek tebal. Sudah berbelas tahun asyik berlakon cantik, penampilan sebagai Nurul Ain lebih ringkas dan santai. Lagipun sejak berbadan dua, Erra sudah malas berdandan dan alhamdulillah perhitungan Erra menjadi,” katanya yang akan kembali untuk musim kedua drama bersiri itu Mei depan.
Mula berehat
PERNAH enam kali merangkul gelaran Pelakon Filem Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH), Erra turut menyatakan rasa bangga kerana masih mendapat tempat di hati khalayak.Erra kembali dicalonkan untuk kategori itu, menerima saingan daripada nama popular lain seperti Vanidah Imran, Maya Karin, Sharifah Amani dan Liyana Jasmay. Biarpun gagal membolosi senarai Top 5 untuk kategori Pelakon TV Wanita Popular, Erra tidak pernah melihat perkara itu sebagai satu masalah besar.Apa yang penting katanya, membina kepercayaan peminat dan ia berhasil apabila siri Mertua Vs Menantu diterima baik khalayak.Kehangatan siri itu membuatkan Erra tidak dapat berehat lama selepas melahirkan bayi sulung hasil perkahwinannya dengan Ketua Pegawai Operasi Suria FM, Engku Emran Engku Zainal Abidin, Mac ini.“Selesai berpantang, Erra akan segera kembali ke lokasi kerana sudah ada beberapa tawaran menanti. Mungkin kerana sudah terbiasa sibuk, Erra sendiri mula terasa kehilangan apabila doktor menasihatkan supaya berehat di rumah sementara menanti detik kelahiran.“Erra tiada masalah untuk kembali bekerja. Mungkin sudah terbiasa dengan jadual yang sibuk membuatkan Erra tidak betah jika tidak melakukan sesuatu.“Cuma yang merisaukan Erra, dapatkah badan kembali ke bentuk asal dalam tempoh singkat itu? Itu yang mendebarkan Erra,” katanya.Ditanya kemungkinan turut membawa bayinya ke layar kaca, apatah lagi untuk musim terbaru watak Nurul Ain dikembangkan sebagai ibu, Erra berkata, perkara itu masih belum dibincangkan.“Semuanya mesti dilakukan atas persetujuan suami. Tetapi rasanya tidak kerana ketika itu bayi masih terlalu kecil. Erra sendiri tidak sampai hati untuk membenarkan bayi berlakon sama kerana faham suasana di lokasi yang sibuk dan kalut,” katanya.
Rakam album Mei
TETAP jelita meskipun beratnya kini meningkat sehingga 21 kilogram, Erra berkata, Mei ini juga menambahkan kekalutan apabila kembali meneruskan rakaman album yang terpaksa dibekukan dulu selepas dia disahkan mengandung.Hampir setahun tertunda, Erra berkata, dia bersama syarikat rakamannya, Suria Records (SRC) baru berbincang untuk menentukan hala tuju apabila kembali muncul nanti. Apa yang pasti, katanya yang pernah merakamkan enam album sebelum ini, produksi terbaru itu akan menjelmakan Erra Fazira yang baru sebagai seorang penyanyi.“Awalnya, produksi album ini lebih terarah kepada irama rock namun selepas perbincangan semula kami bersetuju melakukan sedikit rombakan. Itu yang membuatkan Erra teruja kerana nampaknya ketika berpantang, Erra sudah mempunyai beberapa misi yang perlu dilunaskan,” kata Erra cuba merahsiakan haluan baru cuba dibawa dalam album yang ditangani penerbit berpengalaman seperti Sharon Paul, Mohariz Yaakop, Along Exists dan Helen Yap.
Sumber : Berita Harian 2/3/09

No comments: