Oleh Nor Akmar Samudinakmar@hmetro.com.my
BUKAN mudah untuk drama yang disiarkan menerusi saluran berbayar Astro memperoleh rating tinggi mencecah hampir sejuta penonton kerana masih ada pelbagai saluran lain menyajikan cerita menarik tempatan secara percuma.
Namun, drama Mentua vs Menantu arahan Mohamed Feroz Kader, 32, dan diterajui pelakon digelar primadona filem Melayu alaf baru, Erra Fazira, membuktikan kehebatannya. Ternyata langkah Astro mengambil Erra sebagai wajah eksklusif Astro tahun lalu membawa kejayaan kerana sebelum ini lakonan Erra tidak dapat ditonton di televisyen lain.Feroz yang berusaha melaksanakan tugasnya sebaik mungkin untuk drama terbitan MIG Production Sdn Bhd tidak menyangka drama itu akan menarik perhatian ramai. Namun, dia tidak menafikan drama itu mempunyai banyak elemen menarik termasuk jalan cerita, pemilihan pelakon yang tepat dan konflik menantu dengan mentua sememangnya isu dekat dengan penonton. "Saya memperoleh banyak input daripada penerbit, David Teo dan paling penting pelakon yang dipilih bersesuaian watak dibawa. Erra sebagai Nurul Ain begitu serasi dengan Aqasha (Rosyam). Lakonan Erra sangat bersahaja dan sepadan berlakon sebagai suami isteri dengan Aqasha."Dia juga dapat menyesuaikan diri dengan ibu mentuanya, Datin Faridah lakonan Rozie Othman. Saya terkejut apabila diberitahu rating Mentua vs Menantu terus meningkat. Ini kerana biasa terjadi kepada sesetengah drama berepisod yang awal siaran mendapat rating bagus kemudian perlahan-lahan merudum. "Ketika mengarahkan drama itu, saya tidak berani meletakkan sasaran jumlah penonton kerana tahu sajalah selera penonton sukar diduga. "Saya yakin elemen yang ditonjolkan dalam drama itu dapat dirasai penonton kerana krisis menantu dengan mentua biasa berlaku dalam masyarakat. Disebabkan itu penonton dapat terima drama ini dengan baik."Barangkali tuah Erra juga kerana wataknya sebagai isteri mengandung sama dengan keadaan dirinya di luar lokasi yang sarat hamil anak sulung. Jadi pembawaan Erra dalam drama itu adalah dirinya yang sebenar menjadi antara daya tarikan utama drama itu," katanya.Sehubungan itu, drama yang disiarkan di Astro Prima setiap Rabu, jam 10 malam, akan disambung 26 episod lagi untuk musim kedua selepas Erra bersalin pada pertengahan bulan ini. Akui Feroz, cabaran lebih besar menantinya untuk musim baru ini bagi mengekalkan mutu persembahan drama itu supaya lebih menarik dan terus menambat hati penonton. "Pada mulanya drama itu diterbitkan 13 episod kemudian bersambung 13 episod lagi menjadikannya 26 episod untuk musim pertama. Untuk mengembangkan jalan cerita, saya masukkan sub plot baru dan penambahan watak. "Bagi sambungan 26 episod untuk musim baru ini, saya perlu tengok skrip sama ada perlu kekalkan pelakon sedia ada atau tambah watak baru. Buat masa ini skrip belum siap dan belum tahu jalan cerita seterusnya. Dapat saja skrip nanti, saya akan berbincang dengan David," katanya. David pula berkata, dalam kebanyakan drama terbitan MIG selain kejayaan drama Jangan Main Belakang yang disiarkan di Astro Ria, Mentua vs Menantu paling menjadi. "Saya kecewa dengan penerbitan drama D-10 Forensik kerana kesilapan memilih orang yang bertanggungjawab terhadap pembikinannya. Kali ini untuk drama Mentua vs Menantu saya mengambil langkah berhati-hati supaya kesilapan lalu tidak berulang terutama dalam pemilihan pelakon dan pengarah."Menggunakan penulis skrip berpengalaman untuk Mentua vs Menantu, ia berjaya melonjakkan rating drama ini walaupun ia disiarkan menerusi saluran berbayar. "Sebelum ini ada stesen televisyen tidak percaya saya boleh buat drama yang bagus tetapi Astro memberi kepercayaan menghasilkan drama dan kini kebanyakan drama MIG berjaya mendapat rating tinggi. "MIG turut menerbitkan drama untuk RTM dan TV3 antaranya Biar Rahsia dan Intan Asmara. Kedua-dua drama itu juga mendapat sambutan bagus. Intan Asmara mengisi slot Samarinda TV3 mendapat rating paling tinggi tahun lalu. "Tahun ini MIG dapat banyak slot drama jadi tumpuan tahun ini kepada kedua-dua medium iaitu filem dan drama. Bagaimanapun, sebelum menerbitkan drama atau filem, kita mesti tahu sasaran penonton. Oleh itu saya buat kajian untuk mengetahui cita rasa peminat filem dan drama Melayu. "Begitupun dalam banyak drama yang diterbitkan, saya menganggap Mentua vs Menantu paling sempurna kerana genre yang diutarakan menepati minat penonton kerana apa yang dipaparkan banyak berlaku dalam kehidupan masyarakat. Dalam drama ini kita tonjolkan gelagat mentua dan menantu moden," katanya. David memuji lakonan Erra yang 'hidup' dan perwatakan Aqasha sebagai 'anak emak' juga menjadi. Manakala lakonan Rozie katanya, tidak perlu dipertikaikan lagi. "Semua elemen itu menyuntik kejayaan Mentua vs Menantu. Selepas ini saya akan menerbitkan drama 13 episod Tiga Janda lakonan Lisa Surihani dan Rozita Che Wan. Seorang lagi pelakon yang juga akan pegang watak janda masih dalam pencarian."Drama lain dalam perancangan, Embun Mutiara dan Suria Kassandra. Oleh kerana penggambaran drama berepisod mengambil masa untuk disiapkan, saya mementingkan pelakon berdisiplin. "Jika kita buat drama berepisod ia mengambil masa sebulan atau lebih. Jadi saya mahu semua yang terbabit dalam pembikinan drama itu berdisiplin. Selagi artis itu dapat memberi kerjasama yang baik, saya akan terus memberi tawaran berlakon drama terbitan MIG," katanya.Erra yang menanti masa untuk melahirkan anak sulung pertengahan bulan ini berkata, dia seronok berlakon dalam Mentua vs Menantu kerana wataknya sebagai Nurul Ain begitu 'sempoi'. Dia bekerja sebagai mekanik di bengkel kereta abangnya dan memiliki perwatakan tenang. "Paling seronok dan relaks berlakon drama ini saya tidak perlu melaram dan tanpa solekan. Sementelah lagi tengah mengandung, malas hendak berdandan. Ini penampilan kedua saya di Astro selepas drama pertama, Joe dan Faridah. "Mentua vs Menantu adalah drama serius tetapi disampaikan dalam bentuk lebih ringan dan senang 'menangkap' hati penonton."Sebagai artis eksklusif Astro, mereka beri beberapa skrip untuk dipilih tetapi sebagai penampilan awal dalam drama, saya mahukan watak ringan. "Sebenarnya sejak dulu lagi saya teringin hendak berlakon drama tetapi tidak tahu hendak mula macam mana serta bimbang tersalah pilih. "Lalu apabila Astro membuka ruang kepada saya menjadi artis eksklusif mereka, saya percaya inilah jalan terbaik untuk mengorak langkah dalam lakonan drama. "Sekurang-kurangnya ada eksklusif dan tidaklah muka saya kelihatan di mana-mana. Peralihan kepada lakonan drama satu perkara yang baik misalnya Rosyam Nor dan Afdlin Shauki juga pelakon filem dan pada masa sama aktif berlakon drama. "Daripada penilaian itu, saya tidak nampak kekurangan di mana-mana apabila seseorang artis itu berlakon dalam dua medium sekali gus iaitu filem dan drama. Selepas bersalin dan berpantang 44 hari, saya akan menyambung kerja kerana saya memang jenis tidak boleh duduk diam. "Saya akan mulakan penggambaran Mentua vs Mentua untuk musim kedua dan menyambung pembikinan album baru yang agak lama tertangguh kerana mengandung. "Cuma saya bimbang belum berjaya mendapatkan kembali berat badan ideal. Sekarang suami (Engku Emran Engku Zainal Abidin) banyak beri saya makanan protein tetapi orang mengandung susah hendak kawal selera," katanya.
Sumber : Mymetro 4/3/09
No comments:
Post a Comment