Sunday, March 8, 2009

SELAMAT MENYAMBUT MAULIDUL RASUL




TANGGAL 12 Rabiul Awal setiap tahun umat Islam menyambut kehadiran tarikh kelahiran Nabi Muhammad s.a.w, melalui pelbagai acara, antaranya perarakan besar-besaran, ceramah agama dan jamuan.




Kasih terhadap Baginda


Oleh Mohd Yaakub Mohd Yunusrencana@hmetro.com.my


TANGGAL 12 Rabiul Awal setiap tahun umat Islam menyambut kehadiran tarikh kelahiran Nabi Muhammad s.a.w, melalui pelbagai acara, antaranya perarakan besar-besaran, ceramah agama dan jamuan.Ada juga majlis marhaban dan qasidah yang dialunkan dengan suara merdu dan penuh bersemangat, berdasarkan kitab Berzanji dan Burdah al-Bushairi. Semuanya demi menggambarkan kasih terhadap Baginda.Saban tahun, kemunculan 12 Rabiul Awal turut mengundang polemik antara keharusan dan bidaahnya menyambut maulidul rasul.Satu pihak mendakwa ia bidaah kerana tidak pernah dilakukan Nabi s.a.w, sahabat dan golongan salafussoleh. Malah, jika ditinjau dari Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Ahmad, tidak pernah menganjurkan sambutan maulidul rasul ini. Tetapi, adakah mereka tidak mencintai Nabi Muhammad s.a.w sebagaimana generasi sesudah mereka yang menganjurkan sambutan maulidul rasul? Satu pihak lagi yang menyokong sambutan ini menganggap bidaah yang baik (hasanah) dan hanya bertujuan untuk mengagungkan Rasulullah s.a.w dan mencerminkan kasih sayang kepada Baginda. Bahkan, menurut mereka tiada larangan muktamad daripada Allah dan Rasul-Nya ke atas sambutan maulidul rasul ini.Apa pun, kita tidak ingin menyambung polemik tanpa penghujung ini. Cuma yang ingin dibincangkan ialah tatacara untuk membuktikan kasih sayang dan pengagungan terhadap Nabi s.a.w. Mencintai Nabi Muhammad s.a.w itu adalah satu prinsip agama yang sangat penting. Seseorang tidak dianggap beriman sehingga dia benar-benar mencintai Nabi melebihi dirinya sendiri, kaum kerabat dan harta-bendanya."Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu, anak-anak kamu, saudara-saudara kamu, isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, kaum keluarga kamu, harta benda yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu bimbang akan merosot dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai (jika semua itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (dari) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya)..." (Surah al-Taubah: 24)Rasulullah s.a.w berhak meraih cinta itu kerana Baginda makhluk paling mulia di sisi Allah, memiliki akhlak yang luhur, mengasihi umatnya, memberi petunjuk dan menyelamatkan umatnya dari neraka, malah menjadi rahmat kepada seluruh alam. Orang yang benar-benar mencintai Rasulullah s.a.w memiliki ciri tertentu. Berikut adalah tanda yang membuktikan perasaan cinta kita kepada Rasulullah s.a.w:

Mentauhidkan Allah - Hikmah utama diutusnya rasul termasuk Nabi Muhammad s.a.w adalah untuk menyeru manusia kembali kepada tauhid yang murni dan menentang syirik. "Dan sesungguhnya Kami telah mengutus di kalangan tiap-tiap umat seorang rasul (agar menyeru mereka): Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhi Taghut." (Surah al-Nahl: 36)Maksud mentauhidkan Allah ialah beribadat hanya kepada Allah dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu.

Mempelajari al-Quran, memahaminya, mengamalnya dan menyebarkan ajarannya - Mukjizat yang paling utama bagi Rasulullah s.a.w ialah al-Quran al-Karim, iaitu aset utama baginya dalam menyebarkan Islam. Ibnu Mas'ud berkata: "Janganlah seseorang menanyakan untuk dirinya, kecuali al-Quran. Apabila dia mencintai al-Quran, maka dia mencintai Allah dan Rasul-Nya." (Huquq al-Nabi)

Mentaati sunnah Nabi s.a.w - Satu lagi tanda yang jelas menggambarkan perasaan sayang kita kepada Nabi s.a.w ialah dengan mengerjakan sunnahnya, mengikuti perkataan dan perbuatannya, menjalankan perintahnya dan menghindari larangannya. Ini kerana Allah memberi jaminan yang Baginda adalah insan terbaik untuk dijadikan contoh ikutan bagi umat manusia."Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu terdapat contoh ikutan yang baik bagi kamu..." (Surah al-Ahzab: 21)

Menyebarkan sunnah Nabi s.a.w - Sabda Baginda s.a.w, maksudnya: "Kamu semua hendaklah sampaikan apa yang diambil daripadaku walau satu ayat." (Hadis riwayat al-Bukhari)
Sentiasa memuji dan mengingatinya - Sekiranya kita mencintai Nabi Muhammad s.a.w, seharusnya baginda sentiasa berada di hati kita.Kita juga sepatutnya memuji Nabi s.a.w dengan pujian yang selayak baginya. Pujian yang paling utama adalah dengan berselawat kepadanya dengan selawat yang terdapat dalam hadis yang sabit daripada Baginda.

Mencintai mereka yang dicintai oleh Nabi s.a.w - "Janganlah kamu semua mencaci salah seorang sahabatku. Ini kerana, sekiranya salah seorang di kalangan kamu menafkahkan emas sebesar gunung Uhud, semua itu tidak mampu menyamai satu mud (yang diinfakkan) salah seorang antara mereka malah tidak mencapai separuh." (Hadis riwayat Muslim)

Benci orang dibenci Nabi s.a.w - Hendaklah kita membenci dan menjauhkan diri dari mereka yang memusuhi Allah dan Rasul-Nya seperti golongan yang kufur kepada agama Allah dan mereka yang bergelumang dengan perbuatan bertentangan syarak.
Membela Nabi s.a.w dari serangan golongan munafik - "Sesiapa yang membela kami dari gangguan orang-orang musyrik dia akan mendapat balasan syurga atau menjadi temanku di syurga." (Hadis riwayat Muslim)





Artis sambut maulid


Oleh Nor Akmar Samudin dan Ramlah Zainalam@hmetro.com.my



DUA belas Rabiul Awal kembali menemui kita. Hari ini pastinya menggamit memori kita kepada sambutan Maulidur Rasul yang amat tipikal kepada umat Islam. Tiba hari yang ditunggu iaitu cuti umum, bergema selawat ke atas Rasulullah, marhaban dan qasidah yang memuji junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Aktiviti seharian manusia dimotivasikan dua perkara iaitu naluri dan keperluan jasmani. Oleh itu untuk menjalani kehidupan dengan sempurna di muka bumi ini umat manusia memerlukan seseorang yang boleh menunjuk arah. Siapa lagi kalau bukan Rasulullah. Baginda membawa utusan Allah untuk menyeru manusia ke jalan kebenaran dan hidup berlandaskan hadis serta al-Quran.Tanpa Rasulullah yang membuktikan kewujudan Allah SWT, tentu manusia hidup dalam kegelapan dan jauh dari kebenaran. Rasulullah datang untuk menerangkan kepada manusia supaya beriman kepada Pencipta dengan cara yang sebenar-benarnya tanpa ada unsur prasangka."Dialah yang mengutus RasulNya dengan membawa petunjuk dan agama yang hak agar dimenangkan-Nya terhadap semua agama." ( Surah Al-Fath:28) Justeru hendaklah kita menjadikan baginda sebagai contoh terbaik."Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu suri teladan yang baik iaitu bagi orang-orang yang mengharapkan rahmat dan keredaan di Hari Kiamat." ( Surah Al-Ahzab: 21 ). Bagaimanapun, ini bukan bermakna baginda hanya layak dijadikan idola untuk dikenang pada hari ulang tahun kelahirannya saja. Sebaliknya kita sebagai umat Islam sejati hendaklah mengambil contoh teladan yang ditunjukkan baginda dalam semua urusan termasuk sistem pemerintahan, ekonomi, sosial, perundangan, hukuman, pendidikan dan lain-lain. Justeru, sempena keputeraan Rasulullah hari ini, Rap menemubual artis terkenal tanah air bagi berkongsi pandangan mereka mengenai pengertian sambutan hari kelahiran kekasih Allah itu. Iqram Dinzly akan memanfaatkan hari kelahiran Rasulullah dengan mensedekahkan al-Fatihah kepada baginda serta banyak berselawat. Kesibukannya sebagai artis tidak pernah melalaikan kewajiban Iqram terhadap agama dan Rasul-Nya."Saya akan membaca surah Yasin untuk dihadiahkan kepada Rasulullah SAW. Biasanya jika ada kelapangan saya sekeluarga akan mengadakan doa selamat. Kita perlu mengingati Rasulullah SAW setiap hari namun hari ini lebih istimewa kerana ia adalah hari keputeraan baginda. "Kepada remaja hari ini, contohi sikap Rasulullah untuk kehidupan yang baik di dunia dan akhirat. Jangan terlalu dengan kehidupan duniawi kerana yang hidup pasti akan mati. Sebelum terlambat, bertaubatlah kerana Allah sentiasa mengampuni setiap kesalahan hamba-Nya."Rasulullah adalah sebaik-baik idola. Semoga setiap daripada kita dapat memanfaatkan hari ini dengan sebaiknya. Sebenarnya hajat hati ingin mengunjungi kenalan di Jakarta. Kami berjumpa ketika saya mengerjakan umrah dua tahun lalu. Keluarga yang saya kenali itu adalah k keturunan ke-37 Rasulullah dan setiap tahun mereka mengadakan sambutan Hari Maulidur Rasul dengan meriah sekali. "Saya menyaksikan perayaan itu menerusi VCD yang mereka bawa. Saya dapat merasakan betapa meriahnya perarakan yang diadakan. Tetapi tahun ini saya masih berkesempatan menyambut Maulidur Rasul di sana kerana sibuk bekerja," katanya. Bagaimanapun, menurut Iqram pada masa lapang dia gemar membaca buku sejarah Rasulullah dan sahabat baginda sebagai panduan hidup. "Kita mempunyai pelbagai cara untuk menghayati kehidupan dan sejarah perjuangan Rasulullah termasuk melalu pembacaan," katanya.AC Mizal yang kini mempunyai anak yang semakin membesar berusaha mendidik keluarganya ke jalan yang diredai Allah SWT."Hari ini saya berkumpul bersama keluarga bersolat sunat bersama dan bersalawat ke atas Rasulullah SAW. Jika setiap tahun kita beriya-iya meraikan Hari Ibu, Hari Bapa, Hari Memperingati Kekasih dan bermacam perayaan lagi kenapa tidak menjadikan Maulidur Rasul ini hari yang paling istimewa buat kita semua. "Satu hari dalam setahun kita menyambut hari keputeraan Rasulullah, bukannya setiap hari. Lupakan seketika urusan dunia. Ada yang sanggup berhabis menyambut Hari Memperingati Kekasih sedangkan ia adalah haram di sisi agama. Saya kini sedang mendidik anak saya, Muhd Reeve Damien (5 tahun) mendirikan solat dan sebagai bapa saya perlu terlebih dulu menunjukkan contoh yang baik buat anak. "Basahilah bibir anda dengan bersalawat ke atas Rasulullah dan mohonlah syafaat daripada baginda. Apatah lagi hidup sekarang yang penuh dengan cabaran jadi sebaiknya kita kembali kepada ajaran Rasulullah SAW," katanya.Setiap kali tibanya Maulidur Rasul, Yusrizan Usop atau Bob AF terkenangkan kemeriahan sambutan hari itu di kampungnya, Limbang, Sarawak. Sebelum menjadi penyanyi terkenal seperti hari ini, setiap tahun Bob menyertai perarakan Maulidur Rasul."Saya dilantik menjadi ahli jawatan kuasa perarakan di Limbang. Setiap tahun sambutannya sangat meriah siap denan sepanduk. Sebelum itu diadakan pula pertandingan pada sepanduk itu siapa yang paling cantik. Turut diadakan pertandingan hadrah dan nasyid."Di kampung saya ada kumpulan nasyid sendiri iaitu Saitul Hanin yang bermaksud merdu. Kumpulan kami juga beberapa kali berjaya masuk pertandingan nasyid Maulidur Rasul peringkat Negeri Sarawak. "Limbang juga pernah jadi dilantik menjadi penganjur Maulidur Rasul peringkat kebangsaan. Sambutan di sana memang meriah sekali. Kita juga pernah menjemput artis popular mengadakan persembahan. Sekarang sejak sibuk dengan aktiviti seni, jarang lagi berkesempatan balik meraikan Maulidur Rasul di kampung."Kepada generasi muda terutamanya, jangan abaikan tanggungjawab kita sebagai umat Islam. Saya puji langkah pihak sekolah yang setiap tahun mengadakan sambutan Maulidur Rasul pada peringkat sekolah. Perkara yang baik itu harus dididik bermula daripada mereka kecil supaya besar nanti menjadi masyarakat berguna, negara, bangsa dan agamanya," katanya. Bagi pelakon Fouziah Gous, dia juga mempunyai pengertian tersendiri mengenai sambutan Maulidur Rasul yang juga hari untuk mengingati junjungan besar Nabi Muhammad SAW. "Selalunya, saya juga tidak terbabit dengan sebarang penggambaran drama atau filem pada hari yang mulia itu. Seperti sambutan sebelumnya, saya memanfaatkan hari cuti itu untuk meningkatkan ibadah dan amalan sedia ada serta banyak berselawat untuk kekasih Allah itu," katanya .Fouziah yang baru saja selesai penggambaran drama Arah Kiblatku arahan Rashid Sibir berkata, golongan artis juga memainkan peranan tersendiri untuk menyemarakkan lagi sambutan Maulidur Rasul sekaligus mengajak masyarakat Islam untuk sama-sama menyintai Rasulullah dan menghayati perjuangannya menegakkan syiar Islam."Lebih banyak program dan pengisian sambutan Maulidur Rasul diadakan sekaligus menyemarakkan lagi sambutan ini saban tahun. Selain program hiburan bercorak keagamaan, lebih banyak drama berkaitan Rasulullah dan perjuangannya diterbitkan stesen televisyen tempatan dari semasa ke semasa," katanya."Program hiburan dan drama berkaitan Rasulullah dan pahit getir perjuangannya itu boleh menarik perhatian generasi muda untuk sama-sama mencintai Rasullah dan menjadikannya idola dalam kehidupan mereka untuk menempuhi kehidupan yang penuh cabaran ini," katanya. Sementara itu, pelakon yang kini bergelar penyanyi, Liyana Jasmay berkata, dia sudah disemai dengan semangat cintakan Rasulullah SAW oleh kedua ibu dan bapanya sejak kecil lagi."Selain ibu bapa, saya juga banyak mendapat pendedahan mengenai sambutan Maulidur Rasul dari guru ketika masih di bangku sekolah."Selepas bergelar artis, emak yang sering mengingatkan saya dengan sambutan Maulidur Rasul ini dan pada masa sama supaya saya tidak terlupa untuk bersalawat kepadanya setiap kali teringat padanya. Selalunya, keluarga saya akan bersedekah di masjid pada sambutan Maulidur Rasul," katanya.Bagaimanapun, kata Liyana, dia juga mengakui tidak banyak drama atau program berkaitan sambutan Maulidur Rasul dianjurkan kebelakangan ini."Saya berharap, sambutan Maulidur Rasul dianjurkan secara besar-besaran dengan pembabitan golongan artis supaya junjungan kita Nabi Muhammad SAW akan terus diingati terutama di kalangan generasi muda di luar sana," katanya.



HARI keputeraan Nabi Muhammad, pada Khamis 12 Rabiul Awal Tahun Gajah bersamaan 23 April 571. Baginda adalah nabi terakhir yang diutus Allah ke dunia ini.




Betty tak lupa selawat


Oleh Nor Akmar Samudinakmar@hmetro.com.my


Setiap tahun pada 12 Rabiul Awal kita meraikan Maulidur Rasul dan pada hari ini, pelakon Betty Banafe, menyifatkan kelahiran Rasulullah bersama kemunculan sinar Islam yang menerangi sekalian alam semesta. Ia membawa perubahan kepada tamadun manusia untuk hidup menjadi lebih berkat, beradab, dihormati dan tidak lagi seperti pada zaman jahiliah yang berlandaskan undang-undang ciptaan manusia sendiri.Ketika ditemui, Betty berkata sewaktu zaman sekolah, dia sering menyertai perarakan Maulidur Rasul kerana negeri Johor antara yang aktif mengadakan hari sambutan kelahiran Rasulullah."Sejak pindah ke KL (Kuala Lumpur) saya tidak lagi dapat berarak seperti dulu. Cuma pada hari kelahiran kekasih Allah itu saya tidak lupa berselawat sebagai tanda kasih ke atas baginda."Masyarakat Islam wajib memperingati hari kelahiran Rasulullah dengan banyakkan berselawat. Harus diingat, Allah Maha Pengasih dan Penyayang terhadap hambanya di mana kita dapat melihat kelebihan orang yang memuliakan majlis keputeraan Rasullah hinggakan dengan sekadar berniat saja mahu mengadakan Maulud Nabi, sudah pun dikira mendapat pahala dan dimuliakan di sisi Allah."Sememangnya bernazar untuk melakukan sesuatu yang baik adalah doa dan dikira amal salih. Jelas kepada kita pembalasan Allah terhadap kebaikan begitu cepat sehinggakan terdetik saja di hati hendak berbuat kebaikan, Allah akan memberi pembalasan yang tiada ternilai."Seseorang yang beriman, kuat bersandar kepada Allah, ketika dalam kesusahan dia tetap tenang dan hatinya hanya mengadu kepada Allah serta mengharapkan pertolongan dan kasih sayang-Nya."Keberkatan mengadakan Majlis Maulud itu bukan saja diberikan kepada orang yang mengadakan majlis itu tetapi seluruh ahli rumah atau orang yang tinggal di tempat itu turut mendapat keberkatannya."Begitulah besarnya keberkatan yang Allah beri kepada hamba-Nya yang menyambut hari kelahiran kekasihnya, Rasulullah," katanya. Mengenangkan kelebihan dan keistimewaan disediakan Allah kepada mereka yang selalu berdoa, bersabar dan sentiasa mohon pertolongan daripada-Nya, ia menguatkan semangat Betty mengharung gelombang anak seni. Jelas, Betty terus bertahan biarpun sering menjadi mangsa tohmahan masyarakat.






Sumber :Mymetro 9/3/09



No comments: