Sunday, January 18, 2009

ERRA & EMRAN @ BINTANG POPULAR


Tak sabar tunggu 'orang baru'



Oleh Hardi Effendi Yaacob


Erra bakal timang cahaya mata perempuan, dijadualkan bersalin 25 Mac 09

KETIKA kali terakhir bertemu penyanyi dan pelakon jelita, Erra Fazira, April tahun lalu, beliau menyatakan keinginannya mempunyai anak sendiri bagi menceriakan lagi rumah tangganya bersama suami tercinta, Engku Emran Engku Zainal Abidin. Beliau turut menyuarakan kebimbangannya sekiranya hasrat itu tidak tercapai, lebih-lebih lagi dengan usianya kini semakin menghampiri pertengahan 30-an, sekali gus menjadikan tempoh yang ada cukup singkat untuknya mengandung. Bagaimanapun, rezeki menyebelahinya apabila tidak lama selepas pertemuan ini dibuat, Erra atau nama sebenarnya, Fazira Wan Chek disahkan hamil, dengan usia kandungannya kini mencecah tujuh bulan dan dijadualkan bersalin pada 25 Mac ini.
“Saya dan Emran seboleh-bolehnya tidak mahu menunggu lama untuk menimang cahaya mata kerana percaya kehadiran anak boleh menyerikan lagi rumah tangga, mengeratkan hubungan kami suami isteri. Sebenarnya, saya sendiri pun masih macam tidak percaya akan bersalin tidak lama lagi. Itu yang rasa teruja sangat menantikan detik kelahiran anak sulung kami ini. Saya berharap semua peminat dapat mendoakan kesejahteraan saya dan bayi dalam kandungan ini,” katanya kepada B*Pop, Rabu lalu.

Ditanya mengenai pengalaman hamil anak sulung, Erra berkata, tidak seperti kebanyakan wanita lain yang mengandung, beliau tidak mengalami alahan teruk, malah tahap kesihatannya dan kandungan juga baik. “Bayangkan, saya masih aktif melakukan kerja harian walaupun dalam keadaan sarat hingga ditegur suami. Dia mungkin bimbangkan kesihatan saya dan kandungan, lebih-lebih lagi saya pernah keguguran sebelum ini. Sebenarnya, pengalaman mengandung ini cukup menarik bagi saya. Sejak disahkan mengandung dulu, saya seolah-olah dibawa ke satu alam baru, sememangnya sukar digambarkan dengan kata-kata. Baru saya tahu betapa seronoknya bakal menjadi seorang ibu,” katanya. Bakal melahirkan anak sulungnya di sebuah pusat perubatan terkemuka di ibu negara, Miss Malaysia/Universe 1992 dan pernah bergelar ratu filem Melayu menganggap detik itu sebagai kemuncak kehidupannya sebagai seorang wanita sempurna. “Alhamdulillah, saya bahagia dengan kehidupan sekarang... punya suami penyayang dan bertanggungjawab, selain kerjaya yang cemerlang. Ini dilengkapkan lagi dengan kehadiran anak tidak lama lagi. Kehidupan saya cukup sempurna,” katanya mengakui kemungkinan besar beliau akan melahirkan bayi perempuan berdasarkan keputusan prosedur imbasan yang dilakukannya sebelum ini. “Bayi dalam kandungan cukup aktif, selalu sangat dia menendang. Tidak sabar rasanya menunggu dia keluar. Sebenarnya, saya dan suami tidak kisah pun anak lelaki atau perempuan. Yang penting, dia selamat dilahirkan, sempurna fizikalnya dan sihat. Belum banyak persediaan dibuat untuk menyambut kelahirannya, malah barang-barang pun belum dibeli. Masih terlalu awal untuk semua itu. Cuma, saya dan suami sudah menyiapkan bilik khas untuk dijadikan biliknya,” katanya dalam nada ceria. Sementara itu, Emran yang juga Ketua Pegawai Operasi Suria FM, mengakui dalam keseronokannya menanti detik kelahiran anak sulung mereka, beliau turut diselubungi perasaan berdebar kerana kali pertama akan bergelar ayah.

“Siapa yang tidak seronok menjadi seorang ayah. Inilah saat kemuncak dalam sesebuah perkahwinan iaitu membina keluarga. Sekarang pun saya sudah kurang melepak di luar. Selesai saja kerja di pejabat, saya akan bergegas pulang ke rumah untuk menemani Erra,” katanya. Beliau turut memaklumkan sudah menyenarai pendek beberapa nama yang difikirkan sesuai untuk cahaya mata sulungnya itu. “Jika diizinkan, kami mahu seramai mungkin... meriah sikit suasana di rumah nanti. Namun, sebagai manusia biasa, kita hanya mampu merancang, Allah yang menentukan,” katanya.

Sumber : Bintang Popular 18/1/09

No comments: