Thursday, January 22, 2009

NAZAR ENGKU EMRAN

Keratan akhbar sisipan Hip Berita Harian
Hasil sulaman jahitan Erra untuk bayinya

ERRA dan suami membeli kelengkapan untuk menyambut kelahiran bayi mereka.

TERPANCAR rona bahagia pada raut wajah pasangan sama padan yang akan bergelar ibu dan bapa tidak lama lagi.





Nazar potong rambut









"SAYA akan bernazar memotong rambut demi kelahiran anak yang dikandung isteri saya," demikian ungkap Engku Emran Engku Zainal Abidin mengenai niat dan perancangannya terhadap kelahiran bayi sulung hasil perkongsian hidupnya dengan bintang jelita, Erra Fazira yang dijadual bersalin bayi perempuan pada 25 Mac ini. Selain Erra, tahun ini menyaksikan ramai selebriti yang disahkan berbadan dua seperti Melissa Saila, Rosma, Sharifah Aleya, Dynas, Liza Hanim, Sasha Saidin dan Balkish Semundur Khan. Nora Danish paling awal membuka lembaran 2009 apabila selamat melahirkan bayi lelaki awal Januari lalu. Betapa terserlah sisi bahagianya hingga berat badannya kembali bertambah dan sama naik dengan perut isteri tercinta. Sebelum ini, Emran berjaya mengawal berat badannya selepas berkahwin dengan pelakon drama Mentua VS Menantu itu.Akuinya, semakin dekat tarikh jangkaan kelahiran anak mereka, maka makin kencang deruan adrenalinnya. Baik Erra, naluri kebapaan jelas terpancar di wajah Emran, maklumlah ini pengalaman sulungnya melalui situasi begini. Hampir setiap masa, jika tidak mempunyai komitmen kerja, pasti Emran akan menghabiskan masa dengan Erra yang kini usia kandungannya sudah hampir mencecah lapan bulan. “Paling mengharukan saya dah mula terasa getaran nak bergelar bapa ialah sewaktu saya memegang perut Erra. Seperti bakal bapa lain, saya percaya mereka juga berasakan perkara sama yang saya alami. Kalau orang tanya sama ada saya sudah bersedia untuk bergelar bapa, semuanya akan terjawab apabila lahirnya anak kami itu. Saya tak dapat bayangkan macam mana perasaan itu, namun yang jelas saya memang berdebar-debar. Cuma ada yang memberi nasihat supaya saya tidak terlalu menggelabah memikirkan soal ini. “Dalam hal persediaan, Erra yang paling berlebih-lebihan, biasalah wanita memang selalu begitu. Kami ada membeli barangan bayi untuk keperluan anak kami nanti. Apabila anak sudah ada depan mata, baru jelas lagi tanggungjawab dan persediaan saya terhadap anak kami nanti.“Kebelakangan ini pun selera makan saya kembali bertambah. Lucunya saya yang terlebih mengidam berbanding isteri. Sejak Erra hamil, saya suka sangat makan masin dan bayangkan saya boleh meratah garam begitu saja,” katanya sewaktu ditemui di Siri Jelajah Lelong Amal Suria FM di lokasi pertama mereka di Mydin USJ, Subang Jaya 17 Januari lalu. Sebelum majlis bermula, Emran dan Erra berkesempatan membelek-belek barangan bayi di pusat beli-belah itu. Dalam pada itu, Erra yang juga Wajah Eksklusif Astro ini sudah mula melupakan kerjaya seninya buat seketika sejak penghujung Disember tahun lalu demi memberi tumpuan penuh kepada bayi yang dikandungnya. Biarpun sarat dan tidak lagi menerima tawaran berlakon dan menyanyi, Erra masih meluangkan masa, turun padang ke acara anjuran stesen radio yang di bawah tanggungjawab suaminya. Umpama cuti panjang daripada kesibukan kerja, debaran Erra juga memuncak hari demi hari, menghitung detik bergelar ibu. Sewaktu ditemui Hip pada majlis itu, wajah Erra berseri-seri dan mungkin itu tanda bahawa kehidupan aktres yang pernah bergelar ratu ini sedang mendakap bahagia. Dan jangan tak tahu, fokus Erra bukan saja terhadap anak yang bakal lahir nanti, sebaliknya Erra memenuhi masa senggang dengan melakukan aktiviti berfaedah. Tanpa disengajakan pada hari itu, jahitan sulaman yang sedang diusahakan Erra kelihatan di dalam beg jenama mewah yang digalasnya. Dengan pantas, jurugambar Hasriyashah Sabudin sempat meminta Erra mengeluarkannya untuk diabadikan di dalam Hip. “Sejak bercuti ini, Erra penuhi masa dengan menghadiri pelbagai kelas belajar termasuklah kelas jahitan, memasak dan menulis skrip. Sudah dekat tarikh nak bersalin, Erra makin sibuk membuat persiapan. Sekarang ini pun kami sudah menghias bilik tidurnya dengan pelbagai dekorasi. Saya akui memang amat teruja apatah lagi ini bayi pertama yang bakal dilahirkan dan saya tahu biarpun dia (Emran) tak tunjuk sangat keterujaannya seperti saya, tapi dalam hatinya dia memang sangat gembira,” katanya.Menurut Erra, biarpun sudah melakukan proses pengimbasan mengenal pasti jantina anaknya, Erra tidak terlalu yakin dengan keputusan yang disahkan (dijangka jantina perempuan). Alhamdulillah, Erra juga tidak mengalami alahan teruk dan mengidam, cuma pada peringkat awal saja dia berasa loya. “Erra tak mengidam itu ini, Erra ‘bantai’ saja makan apa yang terasa nak dimakan. Alhamdulillah, Erra kental gamaknya dan bayi dalam perut ini pun tak banyak meragam. Erra juga banyak mendapat tips dan petua sewaktu mengandung dan Insya-Allah usia kandungan ini mencecah lapan bulan. Biarpun sudah dimaklumkan kemungkinan jantina anak kami, tidak semestinya ia tepat. Kami tidak kisah jantinanya, yang pentingnya bayi itu sihat walafiat dan cukup sifat,” katanya ramah.Mengintai kerjaya seninya, selepas melahirkan anak dan menguruskan badan, mengikut perancangan Erra akan kembali ke set penggambaran drama Mentua VS Menantu dan merakamkan album pertamanya di bawah label SRC. Kata Erra, setakat ini dia sudah selesai merakamkan 26 episod untuk drama itu di siaran Astro. Kata Erra lagi, mengikut kontrak albumnya bersama SRC, Erra berhutang lima album dan sehingga kini belum ada album lagi sempat dibikin. Mengenai ‘misteri kehilangan’ pengurusnya, Syed Abu Bakar, ia masih terus menjadi tanda tanya. Jelas Erra, dia sendiri sukar hendak memberi jawapan kepada persoalan ini. Mengakui agak sukar meneruskan kerjaya tanpa pengurus, Erra kini buat sementara waktu mendapatkan khidmat Vernon Kedit Jolly. “Buat masa sekarang Erra banyak meminta tolong Vernon menguruskan soal kerjaya seni biarpun belum ada kontrak hitam putih di antara kami. Erra ibarat ‘patah kaki’ tanpa pengurus. Kalau tiada perkembangan lanjut mengenai Syed, Erra kena fikirkan sesuatu demi masa depan kerjaya Erra ke depan nanti,” katanya yang memberitahu nama yang bakal diberi kepada anaknya nanti masih dalam peringkat perbincangan.






INFO


Erra-Emran



Erra berkenalan dengan Emran pada Jun tahun lalu. Pasangan itu kemudian memilih 7 September 2007 untuk mengikat tali pertunangan.



Pada 25 Oktober pula, pasangan itu disatukan di Restoran Puteri, Sungai Penchala. Erra tidak meminta wang hantaran, sebaliknya meminta senaskah al-Quran sebagai ganti.



Pernah mengandung awal 2008, bagaimanapun Erra mengalami keguguran ketika usia kandungannya dua minggu.










Sumber : Berita Harian 22/01/09

No comments: