Sunday, November 2, 2008

NIKAH TAK SAH?????

AZIZ dan Nor Radhiah sudah berpisah sejak Ogos lalu.
AZIZ lebih berhati-hati mengeluarkan kenyataan kerana tidak mahu melukakan hati mana-mana pihak.



'Memang kami sudah berpisah'

Oleh Farihad Shalla Mahmudfarihad@bharian.com.my
Aziz M Osman tenang hadapi kontroversi yang melanda rumah tangga yang baru dibina bersama seorang ustazah
TENANG saja suaranya pada saat menyambut panggilan penulis di hujung talian. Malah nada yang kedengaran seolah-olah tidak ada apa pun yang berlaku ke atas diri pengarah terkenal ini meskipun kisah 'hangat' rumah tangganya menjadi berita muka depan akhbar tabloid Harian Metro semalam. Bagaikan sudah menduga apakah soalan yang bakal diajukan kepadanya, pengarah dan pelakon terkenal, Aziz M Osman terlebih dulu menyatakan bahawa apa saja persoalan yang akan dilontarkan selepas ini semuanya akan di jawab dengan ungkapan "no comment".
Bagi Aziz, biarlah peminat mengenalinya kerana hasil karyanya dan bukannya disebabkan cerita sensasi. Pun begitu, arahan sedemikian bukanlah halangan untuk penulis mengajukan soalan yang sudah disediakan sejak awal lagi. Jika Aziz memberikan alasan sedemikian, dia juga harus sedar bahawa disebabkan namanya Aziz M Osmanlah maka apa saja yang membabitkan dirinya, peminat pasti ingin mengetahuinya. Lagipun cerita mengenai perpisahannya itu sudah didedahkan sendiri oleh akhbar Berita Harian tanpa menyebut namanya sebelum ini serta luahan rasa ibunya sendiri, pelakon Afida Es. Dalam temu bual bersama Afida, isteri kepada Allahyarham penyanyi M Osman ini mengesahkan bahawa anaknya itu sudah berpisah dengan seorang ustazah, Nor Radhiah Ramli, Ogos lalu kerana sewaktu bernikah, isterinya itu masih dalam tempoh edah yang mengakibatkan status perkahwinan mereka itu tidak sah di sisi agama. Mengalah dengan pujukan itu, Aziz bersedia untuk ditemubual walaupun ada kenyataan yang dikeluarkannya itu dilafazkan dengan penuh hati-hati kerana bimbang akan melukakan hati mana-mana pihak. Enggan membiarkan ramai pihak berterusan berteka-teki dengan statusnya kini sehingga mengundang salah faham, Aziz mengesahkan dia dan isterinya kini sudah tidak tinggal sebumbung.
"Memang kami sudah berpisah. Mungkin ramai yang ingat yang saya akan memfailkan perceraian tetapi sebenarnya perceraian tidak akan berlaku. Bagaimana hendak bercerai sedangkan pernikahan kami sebenarnya tidak sah. Pun begitu, saya terima segala yang berlaku ini dengan tabah dan percaya bahawa ini semua adalah dugaan Tuhan buat hambanya," jelas Aziz ketika dihubungi Hip, semalam sewaktu sedang menjalani penggambaran filem My Spy arahan Afdlin Shauki di Pulau Langkawi. Ditanya tidak adakah jalan penyelesaian lain selain berpisah, Aziz berkata itulah yang sedang dilakukan ketika ini. "Sekarang ini pun saya sedang berusaha menyelesaikan perkara ini. Mengenai hasrat untuk kembali semula padanya selepas ini, saya hanya boleh mengatakan tiada komen untuk pertanyaan itu. "Tetapi itu tidak bermakna saya dan dia bergaduh. Kami masih baik dan tidak ada apa masalah. Kami masih berhubungan sehingga kini dan dia ada juga mengadu dengan saya betapa dirinya tertekan terutama dari segi psikologi dengan apa yang berlaku sekarang.
"Maklumlah, dia tak biasa dengan semua ini. Apapun, harapan saya biarlah semua kemelut ini diselesaikan dengan baik serta tidak mengguris hati mana-mana pihak," ujar pengarah drama bersiri dan Dunia Anita ini. Jelas Aziz, bukan sengaja dia mahu merahsiakan apa yang berlaku terhadap rumah tangganya namun apa yang dilakukannya adalah kerana dia tidak mahu mengaibkan sesiapa. "Perkara ini memang terlalu peribadi dan niat saya untuk tidak mahu menghebahkannya adalah kerana saya tidak mahu mengaibkan mana-mana pihak berlebih-lebih. Namun tak sangka pula perkara ini menjadi kecoh. Jadi, saya harap selepas ini saya harap biarlah perkara ini reda dan saya dapat menyelesaikan masalah ini dengan aman," katanya yang mengakui kemelut ini sedikit pun tidak menjejaskan konsentrasinya terhadap kerja seninya. Dijolok pertanyaan apakah dia tidak merasa yang dirinya ditipu serta imejnya sudah tercalar gara-gara perkahwinan ‘singkatnya’ itu serta merta Aziz menjelaskan dia tidak merasakan perkara itu berlaku dalam dirinya. "Saya tidak pernah merasa diri ini tertipu, ditipu atau menipu. Apa yang terjadi, semuanya sudah ditakdirkan. Dan mengenai imej yang tercalar itu, saya tak rasa itu berlaku kerana saya bukannya melarikan anak dara orang. Saya melamarnya secara gentleman dan menikah dengan cara yang betul di sisi agama. Malah saya dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan sendiri. Jadi saya tak rasa yang imej saya sudah tercemar gara-gara kejadian ini," ujarnya sambil memberitahu dia tidak bercadang untuk mengadakan majlis sidang akhbar untuk menjelaskan perkara ini. Aziz, 46, duda anak lima ini diijabkabulkan dengan Nor Radhiah di Masjid Padang Nenas, Tepuh, Kuala Terengganu, pada 16 Ogos lalu. Pasangan itu dinikahkan sendiri oleh bapa pengantin perempuan, Ramli Yusuf, 52 dengan disaksikan jurunikah Mukim Batu Rakit, Ismail Yusuf, 63 yang juga bapa saudara Nor Radhiah. Aziz mula berkenalan dengan Nor Radhiah ketika mengerjakan umrah pada 9 hingga 20 Mac lalu.
Sumber:Berita Harian 3/11/08

No comments: