Thursday, November 13, 2008

SEMOGA KEKAL SELAMANYA

Persahabatan Rubiah Suparman dan Habsah Hassan terjalin sejak tahun 70-an
DUA sahabat berkongsi pandangan serupa, yang telah terjalin sejak tahun 70-an lagi.

DETIK manis Rubiah dijulang Pelakon Wanita Terbaik pada 1983 dalam filem Bila Hati Telah Retak.

Retro: Cinta dua sahabat
Oleh Zul Husni Abdul Hamidzhusni@bharian.com.my

Persahabatan Rubiah Suparman dan Habsah Hassan terjalin sejak tahun 70-an
IBARAT aur dan tebing yang saling melengkapi, begitu juga persahabatan yang dijalin pelakon yang kini bergelar usahawan, Rubiah Suparman dan penerbit filem serta penulis lirik tersohor, Habsah Hassan.Keakraban persahabatan yang dibina sejak dekad 70-an itu, dikukuhkan lagi apabila dua nama besar industri hiburan itu berkongsi mengusahakan Restoran Puteri, bermula dengan cawangan pertama di Brickfields, Kuala Lumpur pada 1984.“Kami mula rapat apabila sama-sama terbabit dalam bidang seni,” kata Rubiah, anak kelahiran Singapura memulakan bicara mengenai persahabatannya dengan Habsah atau akrab disapa Kak Chah.Tidak hanya rapat sebagai rakan perniagaan, keakraban mereka berdua dikukuhkan lagi apabila Habsah kerap menjadi rujukan setiap kali Rubiah berdepan masalah.Habsah di mata Rubiah, umpama ‘biro pengaduan’ - tempat di mana dia mencurahkan segala isi hati serta berkongsi kekalutan yang dilaluinya lantas membina semula kekuatan untuk terus mengharungi kehidupan.“Chah suka mendengar dan melayan setiap masalah teman yang rapat dengannya. Dia suka memberikan pandangan. Ada kalanya disebabkan terlalu memikirkan masalah orang dia tidak dapat tidur selagi bertemu jalan penyelesaian,” kata Rubiah mengenai teman baiknya itu.Berbeza usia dua tahun, Rubiah kini berumur 61 tahun manakala Habsah, 59, terlalu banyak rahsia yang mereka kongsi bersama malah susah senang mengharungi kehidupan juga dilalui tanpa mengharap balasan.“Dia banyak menyimpan rahsia saya. Kami pernah menangis bersama apabila saya ditimpa kesulitan, begitu juga apabila senang kami akan ketawa berdua.“Biasalah kehidupan ada jatuh dan bangun tetapi Chah sentiasa ada bersama saya tidak kira dalam apa juga situasi yang dihadapi,” katanya.Keikhlasan dalam persahabatan turut menerbitkan kemuafakatan apabila mereka membuka Restoran Puteri, bermula dengan cawangan pertama di Brickfields pada 1984 disusuli Taman Tun Dr Ismail dan pinggir Taman Tun Dr Ismail berhampiran Sungai Penchala, bersebelahan dengan Lebuhraya Penchala Link.Mereka juga akan membuka cawangan keempat di Cheras, Kuala Lumpur, pertengahan November ini sekali gus memperlihatkan wawasan dua wanita ini untuk mengembangkan perniagaan berteraskan makanan Melayu itu.“Dalam bisnes kejujuran mesti ada. Itu pegangan kami berdua dan dalam setiap apa juga perkara yang dibuat, semuanya dibincangkan dan dilaksanakan secara hitam putih.“Chah jenis yang tidak suka masuk campur dan menyerahkan semua urusan berkaitan perniagaan ini kepada saya yang lebih mahir dalam selok belok urusan dapur.“Biarpun dia menyerahkan bulat-bulat semua urusan berkaitan perniagaan ini, saya perlu ikhlas dan jujur kerana itu menjadi teras dalam setiap persahabatan.“Sudah 20 tahun kami menjalankan perniagaan bersama, alhamdulillah kerana semuanya berjalan baik. Setiap apa juga pendapatan yang diperoleh, ia bukan milik peribadi sebaliknya kami salurkan kepada syarikat kerana ia diusahakan kami bersama,” katanya.Kata Rubiah, idea membuka restoran juga dicetuskan dengan kata semangat yang ditiup Habsah yang memahami cita-citanya untuk menjalankan perniagaan itu.“Dia tahu saya ada cita-cita untuk membuka rangkaian restoran besar. Apabila suami Chah, Mohamed Jusoh menawarkan untuk menyuntik modal menjalankan restoran ini, saya berasa terharu kerana saya tidak punya simpanan yang besar.“Alhamdulillah, sudah empat tahun restoran ketiga ini dibuka dan saya cukup senang kerana minat yang sama dikongsi rakan baik yang berusaha merealisasikan impian besar ini,” katanya.Pandangan yang sama turut diberikan Habsah yang menyerahkan semua urusan berkaitan perjalanan restoran kepada Rubiah.Apa yang penting katanya, adalah kepercayaan dan sering berbincang jika berdepan sebarang masalah supaya tidak timbul prasangka yang boleh merosakkan hubungan baik mereka.“Ini bidang Rubiah dan saya serahkan kepadanya untuk mencorakkan perjalanan perniagaan kami. Kalau terlalu banyak campur akan timbul keraguan dan itu hanya mengeruhkan persahabatan.“Saya bersyukur kerana Rubiah sendiri seorang yang jujur dan itu membuatkan saya tidak pernah menyimpan syak wasangka kepadanya,” katanya.Lebih menggembirakan Habsah yang juga penulis lirik prolifik, apa yang mereka berdua lakukan ini mendapat sokongan suami masing-masing. Malah katanya, suami mereka jarang campur tangan sebaliknya hanya memberi pandangan apabila diminta.“Jatuh bangun perniagaan kami berdua yang tentukan. Suami hanya memberi cadangan apabila diperlukan. Saya bersyukur kerana dipertemukan dengan mereka yang arif dalam selok belok perniagaan ini,” katanya.Habsah yang turut dikenali sebagai penerbit filem berkata, dalam kesibukan menyusun perancangan perniagaan mereka, minatnya terhadap seni tidak pernah padam.Masih menyimpan keinginan untuk kembali menerbitkan filem, Habsah berkata, dia dalam kekeliruan memandangkan sukar untuk menjangka kehendak khalayak ketika ini.“Saya masih mencari apa yang bersesuaian dengan kehendak penonton dan pada masa, menampilkan produk yang mempunyai nilai tarikan serta tidak memperbodohkan khalayak.“Cuma dalam situasi sekarang, sukar untuk saya menjangka apa keinginan penonton. Saya tidak boleh baca kehendak mereka dan saya bimbang apa yang diberikan tidak sama dengan apa yang diinginkan penonton.“Saya akan terus menerbitkan filem di mana khalayak akan menemui sesuatu di dalamnya dan tidak hanya berhibur kosong dan akhirnya pulang tanpa mempelajari apa-apa,” katanya.
INFO: Rubiah Suparman:Tempat Lahir: SingapuraTahun Lahir: 1946Kerjaya: Pelakon & Ahli PerniagaanFilem: Dayang Suhana (1976), Bintang Pujaan (1981), Potret Maria (1981), Bila Hati Telah Retak (1983), Pertentangan (1983) dan Soal Hati (2000)Drama: (Antaranya) Musang, Sayang Ibu, Ribut, Air Pasang, Persimpangan Kasih, Sakit Hati, Di Ambang Kasih, Lain Bengkak Lain Bernanah, Sakit Hati, Naik Tangga Turun Tangga, Mencari RestuPencapaian: Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-2 (FFM2) 1981 (filem Bintang Pujaan); Pelakon Wanita Terbaik, FFM4 1983 (filem Bila Hati Telah Retak)
Habsah Hassan:
Menghasilkan lebih 1,000 lirik lagu sepanjang 30 tahun pembabitannya dalam bidang ini. Ini termasuk lagu rakaman album, runut bunyi, iklan tema dan korporat.
Peluang mencuba bakat dalam penulis lirik datang daripada Din Osman. Lirik pertama tulisannya adalah Terkenang dengan melodi ciptaan Ooi Eow Jin pada 1976. Lagu itu dinyanyikan Zulkiflee Ahmad - Juara Bintang RTM 1975.
Habsah seterusnya menghasilkan lirik untuk Sudirman Haji Arshad, Salamiah Hassan dan Dahlan Zainuddin yang bernaung di bawah label Warnada.
Antara lirik terawal dihasilkan adalah Teriring Doa dan Suratku Yang Ini (Suidirman), Tak Guna Dikesalkan (Salamiah Hassan) dan Ditinggalkan (Dahlan Zainuddin).
Khidmat Habsah menjadi buruan komposer dan penyanyi serta syarikat rakaman pada era 80an. Ada antara tulisannya yang menerima anugerah seperti Menaruh Harapan (A Ali/Zaiton Sameon), Kukehilangan Mu (Manan Ngah/Fran), Diriku Terbelenggu (Manan/Fran) dan Merisik Khabar (Manan/Fran).
Habsah turut aktif menerbitkan filem seperti Hati Bukan Kristal, Soal Hati, Soalnya Siapa dan Qaisy & Laila.

No comments: