Thursday, November 13, 2008

SYABAS !!!




(Foto atas) MOHD. Naim Mohd. Tahir bersama isterinya, Fauziah Ibrahim memeluk ketiga-tiga anak kembar mereka (dari kiri) Nurfazlina, Nurfazliza dan Nurfazlin setelah mendapat keputusan cemerlang 5A UPSR 2008 di sekolah mereka SK Gong Badak, semalam
(bawah) Hishammuddin Tun Hussien (kiri) beramah mesra dengan sebahagian murid-murid yang hadir pada majlis Perasmian Sambutan Jubli Emas Sekolah Kebangsaan Paloh Pintu Gang di Kota Bharu, semalam.– Bernama
Keputusan UPSR lebih baik
Oleh THOMAS CHONG
PUTRAJAYA 13 Nov. – Seramai 46,641 atau 9.2 peratus daripada 518,616 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran yang diambil.Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom berkata, keputusan itu adalah lebih baik berbanding purata 7.8 peratus calon yang mencapai keputusan sama untuk tempoh lima tahun sebelumnya.‘‘Sebanyak 317,404 calon (62.7 peratus) mendapat minimum gred C dalam semua mata pelajaran berbanding purata 60.5 peratus untuk tempoh 2003-2007.‘‘Seramai 488,567 pelajar atau 96.3 peratus daripada jumlah calon pula mencapai tahap literasi yang dikehendaki berbanding purata 95.7 peratus untuk lima tahun lalu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.Alimuddin berkata, hanya terdapat empat mata pelajaran yang mencatatkan penurunan dari segi jumlah pelajar yang mendapat A iaitu Matematik, Bahasa Inggeris SJK, Bahasa Cina (pemahaman) dan Bahasa Tamil (pemahaman).Menurutnya, lima mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu (penulisan) Sekolah Kebangsaan (SK), Bahasa Inggeris SK, Bahasa Melayu (pemahaman) Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK), Bahasa Cina (penulisan) dan Bahasa Tamil (penulisan) pula mencatatkan peningkatan yang signifikan dari segi jumlah pelajar yang mendapat gred A.‘‘Dari segi pelajar yang memperoleh minimum gred C pula, mata pelajaran yang mencatatkan peningkatan signifikan ialah Bahasa Melayu (penulisan) SJK dan Bahasa Inggeris SK.‘‘Tiada satu pun mata pelajaran yang mencatatkan penurunan yang signifikan dari segi jumlah pelajar yang mencapai gred A hingga C,” katanya.Dalam pada itu, lebih separuh daripada jumlah calon pelajar berkenaan menggunakan bahasa Inggeris bagi menjawab peperiksaan Sains dan Matematik.Daripada 511,875 sampel yang diambil, 159,234 (31.1 peratus) calon menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam menjawab soalan Sains.Alimuddin berkata, keputusan di kalangan calon orang kurang upaya (OKU) turut mencatatkan peningkatan memberangsangkan tahun ini.‘‘Sebanyak 1.27 peratus daripada jumlah calon terencat akal memperoleh A dalam semua mata pelajaran berbanding hanya 1.19 peratus pada tahun lalu.‘‘Jumlah calon buta yang mendapat semua A pula meningkat daripada kosong kepada 3.33 peratus. Calon cacat lain daripada kosong kepada 0.33 peratus, calon rabun daripada kosong kepada 1.33 peratus dan calon spastik daripada 1.23 peratus kepada 4.26 peratus.‘‘Calon bisu yang mendapat A dalam semua mata pelajaran, bagaimanapun, menurun daripada 66.67 peratus kepada 50 peratus manakala masih tiada calon pekak yang mendapat semua A pada tahun ini,” katanya.Ditanya mengapa analisis keputusan keseluruhan UPSR tahun ini dibandingkan dengan keputusan purata lima tahun lalu dan bukan dengan keputusan tahun lepas, Alimuddin berkata, perbandingan dengan lima tahun lepas dapat memberikan gambaran yang lebih menyeluruh dan tepat.‘‘Selain itu, tahun 2003 juga merupakan tahun di mana kita memulakan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris,” katanya.
DALAM NEGERI
Kembar 3, kembar 2 dapat 5A
KUALA TERENGGANU 13 Nov. - Persaingan sesama sendiri membuahkan hasil bagi kembar tiga dan kembar dua seiras yang belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Gong Badak di sini apabila kesemua mereka mencatat keputusan cemerlang 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan hari ini.Nurfazlina, Nurfazliza dan Nurfazlin Mohd. Naim serta Syed Mursyiddin dan Syed Mustaqeem Syed Ahmad mencipta sejarah tersendiri bagi sekolah berkenaan apabila menjadi lima pelajar kembar memperoleh 5A sekali gus dalam UPSR.Mereka merupakan sebahagian daripada 3,408 calon UPSR negeri ini yang memperolehi keputusan cemerlang 5A.Nurfazlina sebagai kakak sulung berkata, mereka bertiga sering membandingkan keputusan masing-masing semasa peperiksaan di sekolah sebagai motivasi sesama sendiri.Menurutnya, ada kalanya adik-adiknya mendapat tempat lebih baik dalam peperiksaan dan ada kalanya dia mendahului mereka.''Apa pun kami gembira kerana masing-masing boleh berbangga dengan keputusan 5A dalam UPSR," katanya ketika ditemui di sini hari ini.Bagi Nurfazliza dan Nurfazlin, keputusan serupa yang dicapai mereka bertiga adalah hasil mengulangkaji bersama ibu mereka, Fauziah Ibrahim, 49, di rumah selain mengikuti tuisyen.''Kami bertiga mengikuti tuisyen yang diberikan guru di sekolah dan pada hujung minggu ibu akan membantu kami mengulangkaji pelajaran," ujarnya.Sementara itu, pasangan kembar Syed Mursyiddin dan Syed Mustaqeem gembira kerana dapat membuktikan kepada keluarga dan rakan-rakan bahawa mereka sama 'handal' dalam pelajaran.''Kami sangat gembira kerana berjaya memperoleh 5A. Kejayaan ini adalah hasil usaha dan dorongan ibu bapa kami," ujar mereka.Dalam pada itu, anak Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Mat Razali Kassim dan anak Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepuh, Muhammad Ramli Noh turut berkongsi kegembiraan apabila mencatat keputusan 5A dalam UPSR kali ini.Mereka ialah Nur Afifah dan Siti Rumizah Zakiah yang bersekolah di SK Sultan Sulaiman II di sini.Kedua-duanya merupakan antara 42 murid yang memperoleh 5A di sekolah berkenaan.
Kembar lima tidak seiras sama cerdik
Oleh Norizan Abdul Muhid
MELAKA 13 Nov. - Biarpun memiliki rupa paras berbeza, lima beradik kembar tidak seiras tetap berkongsi kepintaran.Ini terbukti apabila tiga daripada mereka berjaya mencapai kejayaan cemerlang dengan memperoleh 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008 yang keputusannya diumumkan semalam.Alya Zulaikha Nuradlan, Muhammad Azfar Nuradlan dan Muhammad Azhar Nuradlan masing-masing berumur 12 tahun berjaya mendapat A dalam semua mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu (Pemahaman), Bahasa Melayu (Penulisan), Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.Dua lagi adik-beradik kembar berkenaan iaitu Muhammad Azzam Nuradlan dan Alya Su'aidah Nuradlan pula mendapat 4A, 1B dalam peperiksaan tersebut.Menurut Alya Zulaikha, mereka lebih gemar belajar secara bersendirian daripada belajar secara berkumpulan walaupun kelima-lima mereka merupakan adik-beradik kembar.''Cuma apabila ada perkara tidak faham, baru kami rujuk antara satu sama lain," katanya ketika ditemui selepas menerima slip keputusan itu di Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Datuk Palembang di sini hari ini.Alya Zulaikha dan dua lagi adik kembarnya, Muhammad Azfar dan Muhammad Azhar adalah antara 56 murid SK Jalan Datuk Palembang di sini yang memperoleh keputusan cemerlang 5A.Bagi Muhammad Azfar, dia sama sekali tidak menyangka akan memperoleh 5A.''Saya tidak yakin akan mendapat A dalam Bahasa Melayu (Pemahaman) kerana tidak cukup masa ketika menjawab kertas ini.''Lagipun, banyak soalan yang saya teka saja jawapannya'' katanya.Ibu kepada lima beradik kembar itu, Siti Zainab Omar, 45, berkata, cabaran paling besar yang dihadapi dalam mendidik kelima-lima anak kembarnya itu ialah perwatakan mereka yang berbeza.''Zulaikha lebih suka membaca buku, Azfar pula lebih aktif manakala Azzam seorang yang pendiam.''Disebabkan ini, saya perlu menggunakan pendekatan berlainan dalam mendidik mereka," katanya.Dalam pada itu, SK Jalan Datuk Palembang turut melahirkan satu lagi pasangan kembar yang memperoleh 5A iaitu Naqiuddin Asyraf Kamaldin, 12, dan Nadilah Atirah Kamaldin, 12.Menurut Naqiuddin Asyraf, kejayaan bersama adik kembarnya itu memperoleh 5A adalah hasil sikap tolong-menolong yang diamalkan mereka selama ini.''Saya lemah subjek Matematik tetapi pandai dalam subjek Bahasa Melayu manakala Nadilah Atirah sebaliknya.''Saya meminta bantuan Nadilah Atirah untuk membantu saya dalam subjek Matematik manakala saya membantu dia dalam subjek Bahasa Melayu," katanya.
Sumber: Utusan Malaysia 14/11/08

No comments: