Monday, February 16, 2009

HEBAT ! HEBAT ! HEBAT !! MALAYSIA PUN BOLEH !!

17-Feb-2009 Oleh: Thani Hasbullah


Animasi Geng Dapat Sambutan Hangat!

Teks oleh Thani Hasbullah

KUALA LUMPUR 17 FEB 2009: Memang tidak malu untuk mempromosikan filem animasi buatan Malaysia, Geng: Pengembaraan Bermula yang sekarang sedang ditayangkan di pawagam tempatan kerana ia boleh dianggap setanding dengan filem animasi dari luar negara.Bukan sahaja animasinya cantik dan berkualiti, jalan cerita serta dialog lucu filem ini sungguh menghiburkan dan terbukti membuatkan penonton terasa asyik menonton sambil ketawa berdekah-dekah.Lebih menyeronokkan, filem ini menyelitkan karektor comel pujaan kanak-kanak Malaysia, Upin dan Ipin yang sememangnya membuatkan kita sentiasa tersenyum setiap kali melihat aksi mereka. Ini ditambah dengan karektor kanak-kanak India, Rajoo, yang mampu berkomunikasi dengan haiwan

Tinjauan murai.com.my di pawagam GSV, Pavilion Kuala Lumpur, hujung minggu lalu memperlihatkan tayangan filem ini sentiasa full house hinggalah ke tengah malam. Apa yang membanggakan penonton bukan Melayu juga ramai membuktikan filem ini mampu menarik minat rakyat Malaysia menontonnya.Sekalung tahniah patut diucapkan kepada Les' Copaque Productions Sdn Bhd yang berjaya melahirkan sebuah filem bermutu dan menggabungkan kepakaran anak-anak muda Malaysia yang kreatif.Dengan sambutan hangat itu, tidak hairanlah Pengarah Urusan Les' Copaque, Burhanuddin Md Radzi, mensasarkan kutipan RM10 juta bagi filem ini. "Selepas animasi Upin & Ipin yang berdurasi 5 minit ditayangkan sebanyak 6 episod pada 2006 dan kemudian 12 episod pada 2008 kami mendapat maklum balas yang positif.

"Bukan sahaja di Malaysia, malah di Indonesia juga sudah banyak barangan seperti baju, gelas dan alat-alat permainan telah dipasarkan menggunakan gambar-gambar Upin dan Ipin. Lebih daripada itu CD cetak rompak juga turut bersepah-sepah dijual. Di sudut positifnya, semakin ramai meminati watak Upin dan Ipin.

"Apa yang saya banggakan, kesemua 57 pakar animasi dan krew yang terlibat menyiapkan filem animasi ini terdiri daripada 100 peratus remaja yang juga graduan daripada pelbagai pusat pengajian tinggi tempatan. "Bagi saya orang muda lebih kreatif dan tahu kehendak semasa. Walapun bajet filem ini hanyalah RM5 juta termasuk RM1 juta daripada bantuan kerajaan, kita sudah mampu hasilkan filem yang nampak jauh lebih mahal daripada jumlah bajet itu. Bayangkanlah, filem animasi Hollywood biasanya menelan kos sekitar AS$60 juta dan menggunakan beratus-ratus tenaga kerja. Syabas saya ucapkan kepada 3 anak muda iaitu Nizam Razak, Mohd Safwan dan Usamah Zaid (kesemuanya berusia 26 tahun) yang berjaya menerajui pembikinan animasi ini. Manakala isteri saya, Ainon, bertanggungjawab dalam menghasilkan jalan ceritanya.

Filem sepanjang 90 minit itu menggunakan perisian penting termasuk Maya dan MentalRay selain menggunakan teknik perkomputeran grid. Apa yang membanggakan, kesemua peralatan canggih bagi menghasilkan filem ini hanyalah dibeli di pusat komputer Plaza Low Yatt di Bukit Bintang. Geng: Pengembaraan Bermula antara lain mengisahkan misteri kewujudan hantu durian di Kampung Durian Runtuh. Lalu sekumpulan anak muda termasuk Upin dan Ipin cuba membongkar misteri yang melanda kampung hingga membawa mereka menempuh satu pengembaraan yang menakjubkan.Ia turut menyelit babak ala filem Hollywood seperti Journey to the Centre of the Earth, King Kong, Hulk dan Ice Age. Pujian juga harus diberikan kerana menonjolkan kesan bunyi sungguh hebat selain penggunaan animasi 3-D yang mempesonakan.
Sumber: Murai.com.my

http://www.murai.com.my/article/default.asp?article_id=3424&c=1&s=1


No comments: