Saturday, February 28, 2009

TAHNIAH SEMUA TENAGA PRODUKSI DRAMA MERTUA VS MENANTU





murai.com.my.


Erra membawakan watak Nurul Ain dalam drama Mertua vs Menantu.


Aqasha merupakan anak Datin Faridah bernama Rosyam dan dia berkahwin dengan Nurul Ain.

Rozie Othman melakonkan watak Datin Faridah iaitu mertua kepada Nurul Ain.







Rabu Februari 25, 2009




David: Anak Erra mampu naikkan dua kali ganda rating ‘Mertua vs Menantu’



Oleh SITI AZIRA ABD. AZIZ



SELEPAS drama episod Mertua vs Menantu disiarkan di saluran 105 Astro Prima sejak 22 Oktober lalu, ternyata drama terbitan Metrowealth (MIG) ini berjaya berada dalam kelompok drama yang mendapat rating paling tinggi di antara drama-drama bersiri yang pernah disiarkan di saluran tersebut.

Drama ini dibintangi oleh aktres popular Erra Fazira, Aqasha, Raja Farah, Rozi Othman, Jehan Miskin dan ramai lagi.

Pada Mei nanti, MIG akan terus ke lokasi bagi sambungan Mertua vs Menantu dengan kehadiran bayi mereka yang pastinya akan menggamatkan lagi hubungan antara Mertua vs Menantu.

Memandangkan Erra selaku pelakon utama yang membawakan watak Nurul Ain juga bakal melahirkan bayinya pada bulan depan, jadi tidak hairanlah jika ramai yang menantikan kemunculan istimewa anak Erra di dalam drama arahan Feroz Kadir itu.
Menurut produsernya, David Teo, dengan kejayaan drama itu dia juga menyatakan perancangannya untuk memujuk suami Erra, Engku Emran Engku Zainal Abidin untuk membenarkan anak mereka berlakon sama di dalam drama tersebut

“Sekarang, kami sedang usahakan untuk mendapatkan anak Erra berlakon di dalam drama ini. Setakat ini kami belum berjaya lagi.

“Bagaimanapun, kami hanya berharap semoga anaknya selamat dilahirkan dan perkara ini hanya cadangan sahaja. Kami tak boleh janji apa-apa kerana anaknya belum dilahirkan.
“Jika berjaya menjadi kenyataan, drama ini boleh mencapai rating dua kali ganda lebih tinggi lagi.

“Jalan cerita juga akan berkembang dan semakin ramai watak yang diperlukan untuk berlakon di dalam drama itu.

“Tidak mustahil jika kita mungkin akan memanggil Lisa dan Farid untuk berlakon sekali,” ujar David yang merasakan drama itu berjaya disebabkan persembahan cemerlang daripada satu ‘team’ produksi drama tersebut.

Antaranya adalah plot cerita yang sememangnya pernah melanda keluarga dalam masyarakat kampung mahupun bandar, penceritaannya yang tidak berlandaskan kepada drama berat sahaja sebaliknya konflik digarap dengan unsur komedi serta lakonan daripada artis yang bagus seperti Erra, Aqasha dan Rozi Othman di mana mereka bukannya pelakon kaku.

"Kejayaan tersebut juga termasuk usaha pengarah yang menjalankan pengambaran serta suntingan yang baik dan promosi oleh pihak MIG dan Astro,” kata David mengenai drama yang akan memasuki musim kedua sebanyak 13 episod mulai Mei depan.

Selain itu, kata David, bagi menunggu Erra berehat untuk bersalin, pada awal Mac ini, MIG akan menerbitkan drama 3 Janda yang turut dilakonkan oleh Lisa di samping Rozita Che Wan dan dijangka akan meletup seperti drama Mertua vs Menantu nanti.
Drama 3 Janda dijangka bakal menggantikan drama Mertua vs Menantu yang sedang disiarkan pada setiap Rabu, 10 malam di saluran 105 Astro Prima selepas ini.

Dalam tahun ini juga, David bakal mempertaruhkan filem terbitannya seperti Jangan Tegur pada 9 April, Syurga Cinta (21 Mei), Jangan Pandang Belakang Congkak (Ogos) termasuk Rempit V3 dan Senario The Movie Episode 2: Beach Boys.







Selasa Februari 24, 2009



Anak Erra belum tentu berlakon drama Mertua vs Menantu




Oleh SITI AZIRA ABD. AZIZ




SEBELUM ini, pernah diuar-uarkan bahawa anak kepada pasangan pelakon Erra Fazira dan Engku Emran Engku Zainal Abidin yang bakal dilahirkan bulan depan, akan turut ditawarkan membintangi drama lakonan Erra yang sedang meletup sekarang di saluran 105 Astro Prima iaitu Mertua vs Menantu.

Memandangkan drama yang memasuki musim kedua ini memaparkan lakonan Erra yang sedang hamil sama seperti keadaannya di alam realiti sekarang, jadi tidak hairanlah sekiranya bayi yang dikandungkan itu juga mahu ditunjukkan secara realitinya.
Ulas Erra, produser David Teo yang menerbitkan drama itu ada memberitahu hajatnya untuk mengambil anaknya sebagai pelakon drama itu kelak.

Bagaimanapun, ketika ditanya kepada bakal ibu itu, Erra sambil tersenyum menjawab kemungkinan untuk anaknya berlakon nanti agak tipis.

“Kami merancang akan menyambung penggambaran drama itu dalam bulan Mei nanti. Tetapi bayi saya pula dijangka berusia dalam dua bulan pada waktu itu. Jadi, agak tidak sesuai sikitlah untuk anak saya 'berlakon' masa itu
“Suami saya pun tidak terlalu menggalakkan anak saya untuk dibawa bersama di dalam drama itu kerana dirasakan terlalu kecil,” jelas Erra ketika majlis doa selamat bagi meraikan kejayaan drama 26 episod Mertua vs Menantu musim pertama yang telah berjaya mencapai rating tertinggi dan antara drama tempatan top 10 sekarang ini.

Majlis tersebut diadakan di restoran milik David Teo iaitu Restoran Lemon, The Mines, Serdang, semalam.

Mertua vs Menantu mengisahkan tentang pergolakan antara seorang ibu mertua (Rozie Othman) dan menantu perempuannya (Erra).
Drama berkonsepkan komedi keluarga ini merupakan satu idea bagi mengupas isu ‘anak emak’ (Aqasha) yang berlegar dalam kehidupan sebuah rumah tangga.
Drama tersebut disiarkan pada setiap Rabu, pukul 10 malam di saluran 105 Astro Prima.
Dengan kejayaan drama tersebut, Erra turut meluahkan rasa senang hatinya apabila mendengar berita gembira itu.

“Apabila drama ini meletup, sudah tentu saya berasa gembira kerana ini merupakan skrip drama pertama yang saya rasakan menarik.
“Walaupun isu di dalam drama ini agak serius tetapi penyampaiannya bercorak komedi.
“Sebelum itu, saya ada juga mendapat tawaran lain untuk berlakon drama episod Rona Roni Makaroni,” luah Erra yang menerima drama Mertua vs Menantu kerana tertarik dengan skrip dan jalan ceritanya yang sempoi.

Tambah Erra, dia juga teruja berlakon di dalam drama arahan Feroz Kader itu kerana dia tidak perlu berdandan dan hanya berlakon tanpa mekap.
Ditanya tentang keadaan aktres yang sedang menantikan ‘due’ bersalin pada bulan depan ini, Erra berkata keadaannya sekarang agak baik dan tidak sabar untuk melahirkan bayi sulungnya itu.

Selepas selesai pengambaran drama ini, Erra akan berehat untuk melakukan persediaan persalinannya mulai 10 Mac depan.

“Sekarang ini, berat saya juga semakin bertambah, almaklumlah selera makan semakin bertambah tetapi suami saya selalu pesan supaya saya mengawal pemakanan.
“Jadi, dia hanya memberi saya makanan berprotein.

“Bukan itu sahaja, kalau dulu ketika membeli-belah, saya suka singgah di butik-butik seperti Zara tetapi sekarang dah tak pandang lagi sebab saya lebih suka ke kedai menjual pakaian bayi,” ujar Erra yang sudah mengetahui jantina bayinya iaitu perempuan.

Memandangkan Erra telah mengikat kontrak secara eksklusif selama setahun dengan Astro, jadi, dia hanya perlu menghabiskan projek masternya yang tinggal sebuah telefilem dan sebuah drama 13 episod.

Ternyata, Erra merasakan keputusan yang dilakukan sebelum ini berada di jalan yang betul dan tidak dinafikan dia juga berasa selesa walaupun terikat dengan pihak Astro sahaja tanpa diberi peluang untuk bekerjasama dengan stesen televisyen lain.

“Kontrak secara eksklusif adalah pilihan saya yang betul dan secara tidak langsung telah memenuhi hajat saya untuk berlakon drama kerana pada mulanya saya tidak pasti bagaimana cara untuk menceburi lakonan drama.

“Setelah ditawarkan oleh pihak Astro, saya merasakan ia sebagai suatu saluran yang baik dan diberi tawaran eksklusif merupakan suatu permulaan yang baik,” ulas Erra.

Mengenai perancangannya selepas selesai berpantang, Erra berkata dia juga tidak mempunyai masalah untuk bekerja semula.

“Saya akan pastikan semasa pantang itu saya akan berehat betul-betul. Semuanya diharapkan tiada masalah cuma yang merisaukan saya adalah ‘naik badan’.

“Saya akan fokuskan kepada album pula yang sudah hampir setahun dibekukan.
“Setakat ini, saya telah merakamkan empat buah lagu di mana hanya dua buah lagu yang baru selesai diadun dengan muzik.

“Selepas ini, pihak label Suria Records (SRC) akan merombak semula pemilihan lagu-lagu saya dengan membikin lagu yang bersesuaian dengan Erra yang baru.

“Kami rancang mungkin album ini akan disiapkan sebelum bulan puasa nanti,” jelas Erra mengenai albumnya yang antaranya mendapat khidmat produser Sharon Paul, Along Exist, Helen Yap dan Mohariz Yaakup.

Di dalam masa yang sama Erra berasa teruja apabila dia sudah mempunyai misi yang akan dilakukan selepas selesai berpantang nanti.



27-Feb-2009 Oleh: Ellyna Ali



Sambutan Hangat Mertua Vs Menantu


Teks oleh Ellyna Ali



KUALA LUMPUR, 27 FEB 2009: Kejayaan drama bersiri Mertua vs Menantu terbitan MIG Productions yang mencatat rating tertinggi di saluran Astro Prima sejak ke udara mulai 22 Oktober lalu semakin memberikan keyakinan buat Erra Fazira untuk terus berlakon drama bersiri."Sebelum ini saya pernah berlakon dalam telefilem Jo & Faridah bersama Adlin Aman Ramlie. Tapi untuk drama bersiri tidak pernah lagi. Jadi, Mertua vs Menantu adalah drama bersiri pertama saya.

"Tidak sangka pula percubaan saya berlakon dalam drama bersiri membuahkan hasil. Kalau hendak diikutkan, saya mempunyai satu lagi drama bersiri iaitu Rona Roni Makaroni.


"Tapi, apabila melihat skrip serta jalan cerita Mertua vs Menantu, ia lebih menarik perhatian saya kerana isunya serius walaupun penyampaiannya secara komedi.

"Memang sudah lama saya teringin untuk berlakon cerita yang seperti ini. Saya juga menyukai watak Nurul Ain yang ditampilkan. Dia seorang mekanik perempuan yang berpewatakan kasar tetapi bukan tomboy.

"Pendek kata, berlakon dalam drama ini adalah satu pilihan yang tepat. Saya juga tidak perlu banyak melaram atau mengenakan mekap. Sesuailah dengan situasi dan keadaan saya yang tengah sarat mengandung. Malas sangat nak berdandan," Erra kepada murai.com.my.

Erra ditemui sewaktu majlis kesyukuran Mertua vs Menantu di Restoran Lemon, milik produser MIG sendiri, David Teo. Dalam majlis itu, David turut memgumumkan penerbitan musim kedua drama bersiri tersebut selepas Erra selamat bersalin serta berpantang kelak.

Musim kedua Mertua vs Menantu ini akan menyaksikan kehadiran bayi dalam keluarga Datin Faridah (Rozie Othman) iaitu ibu mertua Erra (Nurul Ain). Malah David tidak keberatan untuk menonjolkan bayi Erra sendiri dalam musim kedua."Tapi itu hanya perancangan. Saya kena berbincang perkara ini dulu dengan suami saya (Engku Emran). Maklumlah ia membabitkan penggunaan lampu yang sangat terang di set penggambaran, jadi ia bukan sesuatu yang mudah.

"Namun untuk kembali bertugas semula selepas 44 hari berpantang, ia bukanlah satu masalah bagi saya, insya-Allah. Cuma yang risau berat badan dan mengembang," kata Erra.
Sejak mengandung, Erra mengakui berat badannya telah naik 21 kilogram.

"Bukan saya tak berusaha untuk kawal makan tapi kadang-kadang tak mampu. Kalau Emran ada di rumah, dia selalu akan pastikan saya mengambil makanan yang banyak protein. Tapi bila Emran pergi kerja, saya mulalah cari nasi semula!" kata Erra sambil ketawa.

Mertua vs Menantu arahan Feroz Khan turut dibintangi Aqasha, Jehan Miskin, Raja Farah, Almy Nadia serta Sheila Mambo. Ia kini masih lagi ditayangkan di Astro Prima setiap Rabu, jam 10 malam.






Sumber :Mstaronline dan murai.com.my.






No comments: