Sumber foto : Cari forum/ artikel arkib Berita Harian
Monday, November 17, 2008
ANAK DR FAZLEY
KEHADIRAN cahaya mata bernama Ahmad Fariedz Shah Ahmad Fazley pada pagi 29 Oktober lalu di sebuah hospital swasta menambahkan ceria bagi pasangan Fazley dan Azrene Soraya Abdul Aziz. Kehadiran bayi comel seberat 2.97 kilogram pada penghujung Syawal itu bagaikan hadiah paling bermakna bagi Fazley dan Azrene yang meraikan ulang tahun perkahwinan hari ini. Kemunculannya sudah lama dinantikan dan berkat Syawal yang sudah berlalu, Ahmad Fariedz yang mendapat jolokan panggilan Payish di kalangan keluarganya ini menjadi penyeri yang cukup bermakna. Lalu, tidak hairanlah si bapa, Fazley cukup teruja saat menghubungi Hip semalam. Istimewa juga untuk pembaca setia Hip, Fazley sudi berkongsi kegembiraan terindah ini dengan mengirimkan gambarnya bersama isteri dan anak tercinta. Menurut penyanyi yang juga ahli perniagaan dan pakar motivasi kacak ini, pada awalnya mengikut jangkaan doktor, Payish dijangka dilahirkan pada pertengahan November ini. Bagaimanapun, selepas melakukan proses pengimbasan, doktor mengesahkan ada tanda bayi ini dilahirkan lebih awal. “Sepanjang sembilan bulan lalu, kami sekeluarga sudah berdebar-debar dan tertunggu kehadiran cahaya mata sulung saya ini. Kelahirannya juga sebagai hadiah teristimewa buat kami sekeluarga. Debaran saya lebih memuncak saat menunggu di luar teater dewan pembedahan apatah lagi ditemani seluruh ahli keluarga sebelah saya dan isteri. “Adik saya Faizal yang belajar di Australiah juga bertuah kerana percutian singkatnya memberi rahmat kerana dapat sama-sama melihat kelahiran anak buahnya. Lucunya, setiap kali melihat bayi yang keluar dan disebut nama di dalam dewan pembedahan, kami akan memanjangkan leher kerana tidak sabar melihat anak saya sendiri. “Sebagai bapa, saya tidak lupa untuk mengalunkan azan dan membaca surah wajib ke telinganya. Orang yang pertama membetulkan keadaan Payish ialah ibu saya sendiri. Ibu saya juga sempat memberi rasa buah kurma dan air zam zam ke mulutnya. Pengalaman pertama yang tak dapat saya lupakan ialah membasuh dan menanam uri bayi sambil ditunjuk ajar bapa saya sendiri,” ungkap Fazley yang turut mendapat layanan baik daripada staf tempat anaknya dilahirkan. Saat berkumpul di rumah, tanpa disedari Fazley rumahnya ketika ini dipenuhi empat generasi keluarganya, bermula daripada nenek, ibu, Fazley dan anaknya. Kata Fazley, Azrene diuruskan bidan keluarganya daripada Johor dan Insya-Allah mengikut perancangan satu majlis cukur jambul akan diadakan tidak lama lagi. Istimewa umpama hadiah yang ditujukan khas kepada Payish, Fazley akan merakamkan semula sebuah lagu nyanyian Cascade berjudul Rhythm Of The Falling Rain yang ditukar kepada versi bahasa Malaysia menjadi Melodi Titisan Hujan. Ilham menyanyikan semula lagu itu tercetus ketika Fazley menunggu kelahiran Payish. “Alhamdulillah, keadaan isteri saya juga sihat seadanya. Hari kedua selepas bersalin, dia sudah boleh berjalan seperti biasa. Ibu saya banyak berkongsi petua menjaga bayi dan badan kepada dia. Malah sejak enam bulan sebelum kelahiran Payish, segala serba serbi persiapan sudah dibuat supaya tidak kelam kabut di kemudian hari. “Apabila sudah anak ini, saya mula rasa tidak sabar untuk balik ke rumah setiap kali keluar pejabat. Kalau dulu saya mendengar kisah si bapa kena berjaga malam dan kini ia dirasai saya sendiri yang kena bangun tidak menentu masa. Menjaga anak ini ibarat satu pengalaman yang baru buat saya. “Majlis cukur jambul itu akan dilakukan selepas tali pusat Payish tertanggal dan saya tidak akan lupa mengajak rakan media untuk hadir. Lagu Melodi Titisan Hujan itu saya akan abadikan sebagai sebuah hadiah istimewa buat Payish,” katanya yang memberitahu Payish juga mempunyai lesung pipit seperti Azrene dan Faizal. Dalam kesibukan menguruskan cahaya mata, Fazley juga sedang rancak menanti kelahiran ‘bayi’ seterusnya iaitu album keempatnya yang tidak lagi menggunakan judul H.U.J.A.N sebaliknya lagu Superheromu dipilih sebagai galang ganti. Satu sesi pradengar akan diadakan dijangka pada penghujung bulan ini. Album terbitan Fipro (Fazley International Production) ini akan diedarkan syarikat Maestro selewat-lewatnya sekitar Disember ini. Menurut Fazley, sudah sembilan lagu siap dirakam dan beberapa aspek sedang dikemaskini termasuklah membuat penggambaran semula untuk kulit muka depan album ini.
Sumber foto : Cari forum/ artikel arkib Berita Harian
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment