Thursday, November 13, 2008

TAHNIAH DR FAZLEY!!


Melodi untuk Payish

HANYA sembilan hari menjelang majlis ulang tahun perkahwinan mereka, Dr Fazley Yaakob dan isteri, Azrene Soraya Abdul Aziz dikurniakan hadiah paling istimewa. Malah, hadiah yang merupakan kelahiran putera sulung mereka, Ahmad Fariedz Shah pada 29 Oktober lalu bukan sahaja menggembirakan pasangan ini, tetapi juga keluarga kedua-dua belah pihak. Bagi keluarga sebelah Fazley, Ahmad Fariedz yang diberi jolokan Payish merupakan cucu pertama yang ‘membuka’ salasilah generasi keempat keluarga mereka yang tinggal bersama dalam satu rumah. “Maksud bagi nama yang dipilih bersama keluarga ini ialah ketua penunggang kuda atau firasat. Pada saya, nama itu sesuai buat Payish memandangkan ia melambangkan kepimpinan selaku anak sulung,” kata Fazley ketika ditemui di kediamannya baru-baru ini. Tambah artis versatil yang juga ahli perniagaan dan pakar motivasi ini, kehadiran bayi turut membawa bersama pelbagai ilmu baru buatnya dan isteri. “Buat pertama kali dalam hidup, saya belajar bagaimana untuk menanam uri dengan tunjuk ajar bapa. Saya juga mencuci sendiri uri tersebut sebelum menanamnya di depan rumah. Apa yang paling saya syukur ialah ibu dan nenda saya banyak membantu kami yang mulanya kekok untuk mengendalikan bayi. Azrene sendiri banyak menerima dan mengamalkan petua daripada ibu saya,” ceritanya yang cukup gembira kerana Payish dikatakan menyerupai dirinya sewaktu kecil terutama jika dilihat pada jari jemarinya yang runcing. Katanya lagi penuh bahagia, dia kini tidak betah untuk berlama-lama meninggalkan rumah kerana hati sentiasa diruntun untuk menjenguk si kecil. Keterujaan itu bukan sekadar dirasakannya seorang, tetapi juga anggota keluarganya yang lain sehinggakan biliknya dan isteri kini bagaikan ruang tamu yang sentiasa dikunjungi. Ibu Fazley, Datin Umi Kalsum Abdol Latib turut berkongsi cerita lucu bagaimana Fazley yang terlalu seronok menimang cahaya mata enggan tidur bagi memastikan Payish berada dalam keadaan selesa apatah lagi isterinya menghadapi kesukaran untuk menyusukan anak mereka setelah menjalani pembedahan. “Setiap kali Azrene menyusukan bayi, saya dan Fazley akan berada di sampingnya untuk membantu. Rupa-rupanya dia langsung tidak tidur semalaman pada hari pertama anaknya lahir kerana terlalu risau. Hinggakan, dia pulang ke rumah dengan mata sembap dan satu ketika sewaktu saya dan dia sedang memerhatikan Azrene menyusukan Payish, dia tiba-tiba terduduk lalu tertidur di kaki katil kerana terlalu letih,” kata ibunya sambil menjeling Fazley yang tersipu-sipu. Bagaimanapun, perkara itu tentunya akan kekal menjadi kenangan terindah buat Fazley yang kini sudah pun betah melakukan rutin seorang bapa seperti bangun pada waktu malam untuk memeriksa dan menukar lampin dan memakaikan bedung buat anak. Malah ujarnya, dia kini sudah mahir hingga mampu menukar lampin anaknya itu dalam keadaan gelap! Lagu buat insan istimewaApalagi yang lebih istimewa buat seorang penyanyi selain mengabadikan lagu buat insan teristimewa dalam hidupnya? Itulah juga yang bakal dilakukan oleh Fazley menerusi album keempatnya yang bakal dikeluarkan selewat-lewatnya penghujung bulan ini. Album ini mempertaruhkan single berjudul Superheromu di samping sebuah lagu ciptaan penulis lirik yang disegani Fazley, Kak Chah (Habsah Hassan) berjudul Rindu Tak Tertanggung. Jika lagu ciptaan Kak Chah ditujukannya khas buat ibu dan isteri, untuk si kecil Payish pula Fazley titipkan lagu nyanyian Cascade, Rhythm Of The Falling Rain yang ditukarkan kepada versi Bahasa Melayu dengan tajuk Melodi Titisan Hujan selain Indah Kernamu yang ditulisnya sendiri khas buat isteri tercinta. “Melihat pengalaman Azrene mengandung banyak menginsafkan saya. Ia sekali gus membuatkan saya cukup menghargai ibu yang mengandungkan saya ketika keadaan keluarga kami susah dari segi kewangan dan hidup,” luah Fazley. Barangkali dek kerana itulah juga, ibunya sendiri memuji Fazley yang disifatkan sangat banyak membantu isterinya dalam keadaan sekarang. Bukan memuji anak sendiri, namun sesiapa sahaja yang menyaksikan gelagat Fazley mengendalikan anak isterinya pasti mengesahkan kenyataan ini. Akui ibunya lagi, bapa Fazley sendiri, Datuk Yaakop Mohammad dahulunya tidak berani memegang anak-anak sebelum berusia tiga bulan kerana risau dan kekok namun Fazley tega melakukan perkara ini kerana mahu berkongsi segala kepayahan bersama isteri. “Apabila isteri saya melahirkan anak menerusi pembedahan, bukan bayi sahaja yang perlu dijaga tetapi isteri juga. Pada waktu malam, ibaratnya tangan kiri saya ini memegang Azrene manakala tangan kanan pula memegang anak kami,” kata lelaki penyayang ini. Beg tangan dari kulit ikan talapiaJika berbual dengan Fazley, pasti ada sahaja projek terbaru yang diusahakannya. Malah jadualnya boleh dikatakan sentiasa penuh dengan pelbagai urusan kerja. Ketika bertemu baru-baru ini pun, Fazley sempat menguar-uarkan projek terbarunya iaitu perniagaan beg tangan dari Indonesia dan skirt labuh serta selendang yang ditempah khas dari Sarawak. Apa yang menarik, beg tangan yang dijualnya diperbuat daripada kulit ikan talapia dan tahan lasak jika terkena air. “Syarikat kami berjaya mendapatkan hak untuk menjual beg tangan ini di Malaysia. Setiap satu beg ini merupakan hasil buatan tangan dan boleh dibeli di laman web www.fazleycollection.com. Selain beg tangan, skirt dan selendang, kami juga bercadang untuk menjual baju-baju bayi secara online menggunakan label Fazley Baby dan gajet-gajet terbaru yang susah untuk diperoleh di negara ini menerusi Fazley Gadjet. Akan datang, saya dan Azrene juga merancang untuk menubuhkan Fazley International Dance Academy memandangkan Azrene mempunyai pengalaman lebih 10 tahun sebagai penari kebudayaan,” ujar Fazley.




Sumber: Sinar Harian 14/11/08

No comments: