Sunday, January 11, 2009

APABILA ENGKU EMRAN MELARAM WOW !

GAYA 'macho' seorang lelaki maskulin




INILAH satu-satunya 'kekasih' hati Emran sebelum bertemu dengan Erra Fazira.

PEMANDUAN Emran tidak semestinya pada tahap kelajuan yang maksimum kerana dia juga suka memerhati keindahan alam semasa menunggang motosikal.

PEMOTORAN

Dulu bak teman wanita

Sebelum mendirikan rumah tangga Engku Emran mengakui motosikal Harley Davidson Dyna FXR itu umpama penawar laranya tatkala berdepan dugaan dalam hidup.
MOTOSIKAL Harley Davidson Dyna FXR ini memiliki cerita tersendiri buat Ketua Pegawai Operasi Suria FM, Engku Emran. Motosikal besar inilah yang membibit cinta awal bersama Erra Fazira yang kini menjadi isterinya.
Awal perkenalan, Erra sering membawa pembantu peribadi andai ingin keluar bertemu janji bersama Emran. Barangkali bagi mengelakkan sebarang gosip yang selama ini merajai diri setelah bergelar selebriti.

Bukan sekadar sekali dua, sebaliknya perjumpaan yang patut dilangsungkan dengan konsep 'berdua lebih baik' nampaknya belum lagi berhasil gara-gara Erra tetap muncul bersama PAnya.
Puas sudah berikhtiar semata-mata ingin keluar berdua tanpa diganggu orang lain, akhirnya Emran mula mendapat idea nakal secara spontan bagi 'mengenakan' Erra.
Menyedari si bunga adalah 'hantu' menunggang motosikal berkuasa besar, Emran mempelawa Erra untuk keluar sama dengan syarat menaiki motosikal masing-masing.
"Kalau tidak silap, ia sepatutnya menjadi perjumpaan kami yang keenam setelah berkenalan.
"Namun, perasaan saya terus-terusan kecewa kerana Erra tetap datang dengan PAnya walaupun dia membonceng motosikal seperti yang dijanjikan sebelum ini.
"Waktu itu saya memang tidak mampu berkata apa-apa lagi. Rasanya sudah hilang semangat dan putus asa," jelas Emran tertawa berdekah-dekah semasa ditemui di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Biarpun begitu, kekecewaan yang ditanggung Emran terubat sedikit apabila dia dengan Erra berpeluang mengembara ke Pulau Pinang.
"Itupun berkonvoi beramai-ramai. Memang tidak ada peluang kalau mahu berdua-duaan dengan Erra," akui Emran tertawa lagi.
Mengimbas sorotan mula-mula motosikal berkuasa besar menjadi barometer dalam dunia manusia bernama Engku Emran Engku Zainal Abidin, minat itu sudah terlihat sejak daripada bangku sekolah menengah lagi.

Cuma waktu itu motosikal berkuasa tinggi tidak banyak digunakan. Malah menginjak tahun 80-an sekalipun, tidak ramai yang menunggang pengangkutan jenis ini.
"Hobi suka motosikal ini bermula dengan keinginan sendiri. Bahkan, saya sering tengok TV terutama cerita berkaitan drama kepolisan sebelum ini.
"Dari situ, semangat untuk memiliki motosikal besar sendiri semakin membara. Hinggalah bapa saya beli motosikal untuk kegunaan dirinya.
"Saya pula yang teruja, sedangkan motosikal itu kepunyaan bapa. Kalau ada waktu terluang, saya akan minta izin untuk menunggang motosikal berkuasa besar miliknya," tambahnya.
Keinginan yang pada awalnya diumpama angan-angan kosong kini berubah menjadi kenyataan.
Sekarang saya cukup bersyukur dengan adanya Harley Davidson Dyna FXR dalam hidup saya.
"Sebelum mendirikan rumah tangga, motosikal ini diibarat macam teman wanita saya, malah saya menyayangi Harley Davidson Dyna FXR ini melebihi segala-galanya.
"Kiranya kereta yang saya ada waktu itu tidak digunakan sangat, melainkan keadaan terdesak. Saya akui saya lebih sayangkan motosikal daripada kereta yang ada.
"Penunggang motosikal berkuasa besar lain kalau berjumpa, mereka tetap akan bertanya khabar perkembangan motosikal milik masing-masing.
"Itu semua sudah menjadi tradisi pemilik motosikal berkuasa tinggi," jelas Emran dalam lontaran suara cukup teruja.

Gemar menenangkan diri

Bosan disebabkan asyik menatap wajah artis bersama kereta mereka? Kali ini, ruangan Ini Mobilku yang mulai disiar setiap Sabtu secara rasmi sengaja menampilkan kelainan.
Nah, lihat sahajalah Emran dengan lagak jantannya beraksi istimewa bersama motosikal kesayangannya khusus tatapan pembaca Kosmo!.
Bukan itu sahaja, Emran dilihat cukup stailo dengan pakaian daripada jenama Harley Davidson, yang juga sama dengan jenis motosikal berkuasa tinggi miliknya.
Bukan sahaja pakaian yang tersarung di tubuhnya itu, malah aksesori lain seperti beg, topi keledar dan rantai kunci, semuanya menggunakan jenama tersohor itu.
Sukar dinafikan, jiwa Emran terhadap Harley Davidson Dyna FXR ini cukup sebati. Lantaran itu, tidak hairan apabila Emran menerbitkan signifikan sendiri buat kenderaan beroda dua itu dalam kehidupannya secara total.
"Menunggang motosikal besar ini dianggap macam hobi saya, namun tidaklah sampai saya taksub macam sesetengah penunggang lain yang hidup matinya dengan motosikal besar.
"Jika ada kelapangan, saya akan membonceng Harley Davidson Dyna FXR ini mengelilingi kota atau pergi ke luar KL bersendirian.
"Semasa menunggang, saya akan mengalami satu perasaan yang tenang sekali. Rasa bebas dan segar sangat jika berpeluang bawa motosikal itu meskipun tidak tahu destinasi yang ingin dituju.
"Dulu sebelum berkahwin saya akan pandu Harley Davidson Dyna FXR itu sekiranya berdepan dugaan dalam hidup.

"Lepas puas berjalan ke sana ke mari, saya akan pulang ke rumah. Malah hati yang tidak tenteram itu juga mulai hilang sedikit demi sedikit setelah tekanan berjaya dilepaskan.
"Cuma selepas mendirikan rumah tangga, saya jarang keluar bawa motosikal itu. Lagipun saya kena berikan tumpuan buat Erra yang sedang sarat hamil," ungkap Emran yang tidak sabar untuk bergelar bapa Mac ini.
Ditanya pengalaman menunggang bersama isteri tercinta, lelaki berusia 33 tahun ini menerangkan, menunggang motosikal sudah menjadi minat mereka bersama apabila ada masa lapang.
"Itu memang aktiviti kegemaran kami berdua sejak dulu lagi. Selalunya kami hanya akan naik motosikal untuk pergi makan dan mahu mengelak diri daripada terperangkap dalam kesesakan jalan raya.

"Erra sendiri mempunyai motosikal Harley Davidson jenis Sportster 1200 yang sudah pun digunakannya sejak hampir sedekad lalu," katanya.
Emran yang menatang motosikal kesayangannya itu umpama minyak yang penuh berkata, dia pernah mengembara sehingga ke selatan tanah air bersama motosikal mewah itu.
"Sewaktu konsert Suria FM yang diadakan di Johor Bahru tahun lepas, saya dengan selamba pergi ke sana naik motor.
"Memang seronok dapat menunggang Harley Davidson Dyna FXR itu terutama untuk jarak jauh.
"Ingatkan hendak ajak sekali Erra ikut, tetapi memandangkan dia sibuk, maka saya seorang saja yang pergi," jelas si pemilik susuk tinggi lampai ini ramah.



Sumber : Arkib Berita Kosmo 10/01/09

No comments: