Oleh Rozdan Mazalanmailto:Mazalanrozdan@bharian.com.my
Sunday, January 18, 2009
MENGHIBURKAN !!
Pengembaraan bermula
Oleh Rozdan Mazalanmailto:Mazalanrozdan@bharian.com.my
Filem animasi Upin & Ipin terbitan tempatan tetap menghiburkan dengan babak dramatik, lucu dan santai.Filem animasi Geng: Pengembaraan Bermula... terbitan Les’ Copaque Production Sdn Bhd diakui kualiti penerbitannya hampir menyamai filem animasi luar negara, malah dilihat lebih berjaya dalam pelbagai aspek.Biarpun penggunaan teknologi animasi yang digunakan tidak secanggih dengan peralatan yang digunakan oleh penerbit animasi luar negara, namun kemampuan Les’Copaque menghasilkan Geng: Pengembaraan Bermula tetapi sesuatu yang membanggakan. Malahan ia boleh dijadikan sebagai penanda aras bagi filem bercorak animasi tempatan pada masa akan datang. Pengarahnya, Mohd Nizam Abdul Razak berkata, dia dan rakan-rakan dalam pasukan produksinya mengambil masa selama dua tahun untuk menyiapkan filem ini dengan bantuan 40 animator tempatan yang sebahagiannya terdiri daripada graduan universiti tempatan saja.“Ini sebenarnya suatu jangka masa yang sangat cepat dapat kami laksanakan dalam menghasilkan filem ini. Jika di barat mereka menggunakan lebih kurang 130 hingga 150 animator yang mengambil masa selama tiga hingga lima tahun untuk menyiapkannya.“Namun dengan ketekunan semua yang terbabit dalam penghasilan ini, kami dapat menyiapkan filem ini lebih awal daripada jangkaan,” katanya yang ditemui sebaik saja pratonton filem itu baru-baru ini. Menerusi kos sebanyak RM4 juta, penonton usahlah membandingkan filem Geng: Pengembaraan Bermula ini dengan filem animasi dari Barat yang selalunya membabitkan kos daripada RM15 juta hingga RM40 juta bagi sebuah filem. Sebaliknya, penonton tempatan patut memberi sokongan dan berbangga kerana ia adalah filem yang dihasilkan oleh anak muda tempatan dengan sumber kewangan yang terbatas. Apa yang penting, semangat karyawan muda tempatan perlu diberikan sokongan padu supaya terus menghasilkan karya lebih bagus dan pada masa dapat menarik minat lebih ramai pelabur untuk membiayai kos penerbitan filem animasi buatan tempatan. Kekuatan cerita dalam Geng: Pengembaraan Bermula adalah kerana adunan elemen seram, thriller atau suspen, dramatik serta lucu dengan semuanya itu dapat dirasai menerusi kesan kesan bunyi dan suara yang mantapSementara itu, Pengarah Urusan Les’Copaque Production, Burhanuddin Md Radzi berkata, sebagai langkah permulaan, menghasilkan penerbitan animasi ia sudah cukup memadai.“Bagi mengelakkan penggunaan kos yang tinggi, pelbagai aspek cuba kami elakkan. Antaranya kami tidak menggunakan suara artis atau personaliti popular untuk melakonkan semua watak di dalam filem ini. “Kebanyakannya adalah kenalan terdekat yang tidak berpengalaman namun masih mampu memberikan kualiti yang diharapkan.“Selain itu, kami juga tidak menggunakan peralatan teknologi animasi yang biasa digunakan oleh negara-negara luar. Semua peralatan seperti komputer hanya dibeli di Plaza Low Yatt dan mengubah sendiri mengikut sistem kami.“Kita juga banyak mendapat bantuan dan sokongan daripada Multimedia Development Corporatian (MDeC), Mimos Bhd dan Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar,” katanya yang berhasrat untuk memasarkan filem ini ke Indonesia, Korea Selatan dan India. Temui penonton 12 FebruariFILEM Geng: Pengembaraan Bermula... yang akan menemui seluruh pawagam tanah air bermula 12 Februari ini turut mensasar kutipan sebanyak RM5 juta dalam masa dua minggu bagi tempoh percubaan Wajib Tayang.Filem yang mengambil durasi selama 90 minit ini mengisahkan pengembaraan Badrol, Lim, Rajoo, Ros, Upin dan Ipin yang tersesat di dalam hutan.Badrul dan Lim yang baru saja sampai ke kampung Durian Runtuh untuk berjumpa datuknya berhajat untuk melihat suasana kampung disamping meninjau dusun durian datuknya.Badrul dan Lim ditemani Rajoo untuk ke dusun, Upin dan Ipin yang mengetahui hajat mereka untuk ke dusun turut sama mengikutinya. Ros yang pada mulanya ingin mencari adiknya Upin dan Ipin turut sama dalam perjalanan mereka ke dusun.Pengembaraan mereka bermula apabila Rajoo, Upin dan Ipin ternampak seekor binatang yang pelik sedang membawa durian. Mereka mengekori sehingga tersesat ke dalam hutan. Badrul, Lim dan Ros mula mencari dan turut sama tersesat di dalam hutan.Kesemuanya terpaksa menghadapi pelbagai cabaran di dalam hutan apabila bertembung dengan pelbagai makhluk yang ingin mengecam mereka. Apakah dan siapakah makhluk itu yang sebenar? Saksikanlah filem animasi yang menarik dalam jalan penceritaannya, muzik, perwatakan dan kesan khas bermula 12 Februari depan di seluruh pawagam tanah air.
Sumber :Berita Harian 19/01/09
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment