Thursday, October 16, 2008

BELAJAR TERUS BELAJAR

RAMAH MESRA: Raja Zarith Sofiah bersama penerima Anugerah Diraja, Siti Nabilah Misti dan Kong Chin Tuan di Konvokesyen ketujuh UTHM di Batu Pahat,baru-baru ini.


'Usah berangan jadi selebriti'

Oleh Mohd Roji Abdullahmdroji@bharian.com.my

Generasi muda digesa kejar kecemerlangan dalam bidang akademik BATU PAHAT: Generasi muda tidak harus leka dengan sentiasa memasang impian untuk menjadi selebriti terkenal sehingga mengabaikan pelajaran yang menjadi bekalan sebenar mereka untuk menghadapi cabaran masa depan. Isteri Tunku Mahkota Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris, berkata ketika ini, banyak program yang menawarkan peluang menjadi selebriti terkenal diadakan dan ia dikenal pasti menyebabkan ramai anak muda tidak berminat untuk meneruskan pelajaran.
Beliau berkata, kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan pendidikan, termasuk prasarana pendidikan tinggi bertaraf dunia dan agak merugikan jika ia tidak dimanfaatkan sebaiknya untuk mencapai kecemerlangan dalam akademik. “Janganlah hanya memasang impian untuk menjadi selebriti terkenal, tetapi ingatlah kepentingan pendidikan kerana ia yang sebenarnya akan menjamin masa depan anda. “Anak muda kita seharusnya menetapkan matlamat untuk mencapai kecemerlangan dalam pendidikan seterusnya menjadi ahli profesional seperti jurutera atau doktor,” katanya.
Beliau memberitahu pemberita demikian selepas menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Pendidikan dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) sempena Majlis Konvokesyen Ketujuh universiti itu, semalam. Raja Zarith Sofiah, menerima Ijazah Kehormat itu daripada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail Sultan Iskandar, yang juga Canselor UTHM. Anugerah itu disampaikan sebagai menghargai sumbangan Raja Zarith Sofiah dalam pembangunan pendidikan negara kerana sering mengadakan ceramah di institusi pengajian tinggi (IPT) selain turut menyumbang artikel khusus mengenai pembangunan pendidikan dalam beberapa akhbar, termasuk New Straits Times (NST). Raja Zarith Sofiah, memperoleh Ijazah Sarjana Muda daripada Universiti Oxford pada 1983 dan kemudian berjaya menggenggam segulung Ijazah Sarjana dari universiti sama pada 1986.

Sebelum itu, ketika berucap pada majlis konvokesyen itu, Raja Zarith Sofiah yang juga Pro Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), mengajak rakyat negara ini supaya meningkatkan perpaduan supaya kemerdekaan yang sedang dikecapi berkekalan.
Sumber : Arkib Berita Harian 25 /8/08

No comments: