Thursday, October 9, 2008

SERI IBU MENGANDUNG



Tampil cantik ketika hamil

Oleh ROSMAWATI MIONBLAUS

Berperincian renda cantik dipadankan dengan seluar mahupun skirt labuh. Penampilan yang cantik untuk digayakan ke majlis malam.HAMIL merupakan saat paling indah dalam kehidupan diri seorang wanita. Apatah lagi jika kehamilan itu adalah yang pertama buat mereka.Dalam keseronokan melalui tempoh kehamilan, segelintir wanita suka mengambil mudah pakaian yang disarungkan ke tubuh. Bagi mereka, mengandung bukan masa sesuai untuk bergaya. Ada juga di kalangan wanita, sebelum hamil mereka kelihatan cukup bergaya di samping berpakaian mengikut perkembangan fesyen semasa. Namun, semuanya berubah apabila berbadan dua. Tidak salah dikatakan, kehamilan umpama menyekat gaya mereka.Hakikatnya, hamil bukan bererti zaman untuk bergaya sudah berakhir. Malah, kehamilan juga bukan alasan buat wanita tampil selekeh termasuk memilih pakaian bersaiz besar untuk menyesuaikannya dengan bentuk badan yang telah berubah. Menurut pereka fesyen Modernmum Maternity, Yvonne Soo, ada segelintir wanita biar perutnya sudah membesar, mereka masih memakai pakaian biasa tanpa menukarnya kepada baju mengandung. Sedangkan, kedua-dua pakaian itu sebenarnya ada perbezaan yang ketara. Pakaian wanita normal tidak mementingkan keselesaan terutama dari segi fabrik, sedangkan baju mengandung cukup menitikberat aspek tersebut di samping memberi tumpuan pada potongan."Apabila mengandung, suhu badan seseorang itu akan meningkat menyebabkan mereka sering berasa panas. Oleh itu, pemakaian fabrik yang sejuk amat penting agar mereka selesa sepanjang tempoh kehamilan seperti penggunaan fabrik cita, viscose, jersey, lycra dan sifon. "Selain fabrik, potongan buat pakaian mengandung juga berbeza dengan baju biasa terutama di bahagian perut. Lebih-lebih lagi seluar yang memerlukan sokongan tambahan untuk menutup perut. Seluar perlu terletak kukuh dengan pinggangnya boleh dikecil atau dibesarkan mengikut kesesuaian individu."Biarpun ingin bergaya kala hamil, tidak semestinya perlu menyarungkan baju biasa sedangkan pakaian mengandung kini juga semakin trendy. Jangan pilih baju yang tidak sesuai semata-mata untuk kelihatan bergaya,'' katanya ketika ditemui di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.Yvonne menambah, ramai wanita dilihat suka membeli baju yang salah, tidak kira memilih baju biasa atau mengandung. Silap mencari, pakaian yang digayakan akan membuatkan penampilan anda kelihatan tidak menarik dan selekeh.Ada sesetengah baju biasa tidak sesuai digayakan wanita mengandung biarpun potongannya mengembang di bahagian bawah seperti potongan Babydoll. Apatah lagi jika bertindak menambah saiz agar baju yang dipilih itu muat di bahagian perut.Tidak kira apa juga baju yang dibeli, sebaiknya ia diukur mengikut kelebaran bahu. Justeru, andai tubuh memakai saiz M, jangan beli saiz yang lebih besar termasuk untuk baju mengandung. Buang tanggapan bahawa jika tidak beli baju dengan satu saiz lebih besar dikhuatiri ia tidak muat dipakai apabila perut semakin membesar. "Tanggapan itu sebenarnya salah kerana baju mengandung direka setelah memikirkan keadaan perut wanita yang akan membesar sehingga usia kandungan sembilan bulan."Malah, jika menggayakan baju besar dengan bahunya jatuh hanya menampakkan penampilan diri wanita tidak menarik dan selekeh,'' ujarnya. Konsep suai dan padanMengandung memerlukan wanita menukar pakaian di almari mereka. Bagaimanapun, untuk menukar keseluruhan almari pakaian adalah sesuatu yang mustahil. Ini kerana pakaian itu mungkin tidak dipakai lagi buat beberapa tahun mendatang, perubahan itu juga meminta satu perbelanjaan yang besar. Namun, untuk mengelakkan pembaziran dan menjimatkan belanja di samping memberi lebih gaya menarik buat wanita hamil, mereka boleh mengamalkan konsep suai dan padan.Sebelum membeli baju mengandung, rancang lebih awal agar pakaian yang dibeli dapat dipelbagaikan gayanya. Sebagai contoh, dengan hanya satu gaun, wanita boleh menggayakan ia ke pelbagai majlis malah turut cantik dan selesa dipakai ke pejabat.Yvonne memberitahu, konsep itu juga cuba diterapkan dalam pakaian Modernmum. Wanita boleh membeli satu gaun yang dicipta untuk dwi gaya. Gaun dua lapis ciptaan Modernmum ini cukup praktikal. Lapisan dalamnya berona polos manakala luarnya disarungkan satu lagi gaun bercorak. Kedua-duanya boleh digayakan secara berasingan. Lebih menarik, dua helai gaun itu dijual dengan satu harga.Membuat rombakan di almari, sebaiknya pastikan ada beberapa pasang seluar, kemeja-T, blaus dan sepasang dua gaun mengandung dalam himpunan. Tidak dilupa, kasut yang dikhususkan buat wanita mengandung. Jelas Yvonne, kasut yang selesa dan mampu memberi sokongan kepada kaki sepanjang proses kehamilan amat penting. Sebabnya, kala itu wanita akan memberikan lebih tekanan kepada kaki mereka selain kaki cepat berpeluh dan berkemungkinan akan berbau.Bagi mengelakkan kaki dan tumitnya berasa sakit, pilihlah kasut bertumit leper atau rendah. Paling tepat adalah membeli kasut yang diperbuat daripada kulit lembut dan selesa supaya kaki tidak berasa sakit apabila ia mula membengkak.Selain itu, pilih kulit yang tidak berkuap agar kaki boleh bernafas dan kasut tidak berbau.


Sumber: Utusan Malaysia 8/10/08

No comments: