Friday, October 17, 2008

BERKONGSI REZEKI SYAWAL


Hikmah rumah terbuka




"SILALAH masuk, jangan segan!". Walaupun Syawal sudah melepasi sempadan pertengahannya, suasana heningnya masih segar, malah tradisi berkunjungan makin rancak dan ada saja undangan ke rumah terbuka. Begitulah unik dan indahnya masyarakat Islam, khususnya di negara ini yang menjadikan budaya berkunjungan dan rumah terbuka sebagai satu tradisi sekali gus mencerminkan keindahan dalam Islam.Islam menganjurkan umatnya menjalinkan hubungan silaturahim kerana melaluinya akan mewujudkan kesepakatan dan perpaduan.Mereka yang mengunjungi saudaranya ikhlas kerana Allah, akan disukai dan dicintai-Nya, sebagaimana ditegaskan Rasulullah s.a.w melalui sabdanya bermaksud:"Ada seseorang yang berziarah ke tempat saudaranya kerana seagama (bolehlah dianggap saudara) dalam suatu kampung, lalu Allah mengutus malaikat untuk mendatangi jalan yang dilalui. Setelah bertemu, lalu mailaikat bertanya, "Ke mana saudara akan pergi?" Jawabnya: "Hendak ke tempat saudara saya di dalam kampung ini. Malaikat bertanya: "Apakah kedatangan saudara itu kerana ada sesuatu kenikmatan daripadanya yang akan saudara dapatkan?" Jawabnya: "Tidak, saya datang semata-mata kerana saya mencintainya untuk mengharapkan keredaan Allah." Kemudian malaikat itu berkata lagi: "Ketahuilah sesungguhnya saya adalah utusan Allah (untuk menemui saudara dan untuk mengatakan) bahawa Allah mencintai saudara sebagaimana saudara mencintai orang itu." (Riwayat Bukhari, Muslim dan Ahmad daripada Abu Hurairah r.a)Bagi mereka yang mengadakan rumah terbuka dengan penuh keikhlasan juga sudah tentu mendapat limpahan rahmat dan keberkatan yang datang bersama tetamu dan jiran tetangga sekalipun sesetengahnya bukan seagama dan sealiran.Satu hadis daripada Ibnu Umar yang diriwayatkan Bukhari, Tirmidzi, Ahmad dan Ibnu Majah, bermaksud: "Seseorang Mukmin yang bergaul dalam masyarakat dengan manusia lainnya dan dia sabar menahan suka duka masyarakat itu, adalah lebih baik daripada seorang Mukmin yang hidup tidak bergaul dalam masyarakat umum..."Rumah terbuka Aidilfitri adalah antara wadah yang perlu digunakan untuk memupuk persefahaman, semangat pemuafakatan dan menyuburkan hubungan sesama manusia tanpa mengira bangsa dan agama.Hubungan silaturahim, baik sesama Muslim atau yang lain adalah suatu yang sangat bernilai dan sewajarnya sentiasa dipupuk. Melalui majlis keramaian seperti rumah terbuka ini, hubungan silaturahim dapat disemai, toleransi terserlah, saling mengenali antara satu sama lain, bertegur sapa dan bertanya khabar.Al-Quran menegaskan penciptaan manusia dengan pelbagai bangsa dan kaum supaya manusia dapat berkenal-kenalan dan berbaik-baik, bukannya berjauhan dan menjadikan musuh antara satu sama lain."Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami menjadikan kamu pelbagai bangsa dan suku puak, supaya kamu saling berkenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa di antaramu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya." (al-Hujuraat:13)Dalam sejarah hidup Rasulullah s.a.w, banyak contoh mengenai keindahan dalam hubungan kemasyarakatan ini. Sikap keterbukaan baginda sangat terserlah, menerima kunjungan dan mengunjungi. Malah, baginda menunjukkan sikap bersahabat terhadap pemeluk agama lain, menziarahi keluarga berlainan agama yang ditimpa kematian, menghadiri jamuan makan mereka dan menziarahi orang sakit. Pada suatu ketika Nabi s.a.w dikunjungi utusan kaum Nasrani dari Najran. Baginda membentangkan serban dan mempersilakan mereka duduk di atasnya. Tindakan positif Nabi s.a.w itu memberikan pengalaman yang manis kepada utusan terbabit. Mereka dapat rasai kemurnian dalam Islam dan tidak lama kemudian mereka memeluk Islam dengan kerelaan sendiri.Pendek kata tiada pertikaian lagi dengan budaya berkunjungan dan rumah terbuka selagi kebaikan menjadi matlamat dan mengisi ruangnya.Cuma timbul persoalan di kalangan masyarakat Islam hukum turut merayakan perayaan agama lain kerana khuatir tindakan terbabit boleh menjejaskan akidah atau secara tidak langsung akan membawa pemahaman semua agama adalah sama.Ada pandangan mengatakan haram, lebih-lebih lagi jika merelakan kekufuran orang bukan Islam dan bermuamalah dengan mereka atas nama agama mereka yang bercanggah dengan ajaran Islam.Ahli panel fatwa kebangsaan dan bekas pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Dr Abdul Hayei Syukor ada menjelaskan: "Sebaliknya jika merayakan hari perayaan kaum lain sekadar hanya ikut bercuti pada hari itu atau menyertai perayaan mereka atas tujuan merapatkan perhubungan sesama manusia maka ia adalah di luar daripada konteks meraikan akidah mereka atau merelakan agama mereka".Menurut Dr Ahmad al-Syarbashi, seseorang Muslim boleh menyertai hari perayaan orang bukan Islam setelah memastikan majlis yang dihadiri itu tidak mengandungi perbuatan yang bercanggah dengan akidah atau upacara bertentangan dengan ajaran Islam seperti penyajian arak dan sebagainya (Dr Ahmad al-Syarbashi, Yas'alunaka Fid Din Walhayah, hal 390, jilid 4, Darul Jail, Beirut).Hukum yang melarang orang Islam turut merayakan perayaan orang bukan Islam berdasarkan pandangan seperti Abu al-Qasim Hibbatullah bin Al- Hussain bin Mansur al-Tabari, yang berkata tidak harus bagi orang Islam menghadiri perayaan orang bukan Islam kerana kemungkaran mereka.Bagaimanapun, asas bagi orang Islam dalam membuat pertimbangan untuk ke mana-mana majlis, termasuk majlis orang bukan Islam ialah memastikan tiada acara bertentangan dengan Islam, baik dari sudut akidah, syariah atau akhlak.



Sumber : Ad - din Mymetro

No comments: