Antara simbolisme “Malaysiana” yang mewarnai layar ‘Geng’ termasuklah lembu, kerbau, ayam, itik, angsa dan pelbagai lagi makhluk (hairannya, kucing sekor pun takde) yang bagaikan sudah ditelan “kemajuan” dengan metropolis bangunan dan binaan kosong yang menjadi lambang negara kita.
Tabiat kepercayaan mistik rakyat kita juga dipancarkan melalui babak-babak yang melibatkan makhluk Oopet dan ibunya (yang boleh membesar dan mengganas serupa hantu raya, ataupun, ok la, Hulk) serta juga alam maya, bunian dan dimensi lain. Tidak lupa juga, durian, wayang kulit, Milo, bas kilang Cina dan macam-macam lagi ikon kehidupan kita yang turut menjelma di merata-rata skrin. Naluri orang Malaysia memang sebenarnya lebih dekat dengan alam semulajadi dan kampung; kita kekok di bandar kosmopolitan, dan filem ini menang di sini kerana ia membawa kita pulang.
by Izuan Shah 15 Jan 2009
Genre:Kanak-kanak, Famili, Animasi 3DUlasan:Sambutlah ‘Geng the Movie: Pengembaraan Bermula’ dengan hati terbuka dan beri laluan! Ya, beri laluan kepada generasi baru pembikin filem tanahair yang berkebolehan, berjiwa seni, bermaruah dan berwawasan.
Izinkan saya menyatakan bahawa saya tidak sama sekali terlibat dengan pembikinan ‘Geng’. Hanya sebagai penonton saya mengulas dan menyuarakan apa yang benar, seadanya saya alami di dalam panggung pada malam pra-tonton Selasa lepas. Rasanya saya mengalami sejarah dalam pembikinan. Kot? Iya, iyalah kot...
Berlapis dan BerisiPenulisan cerita asal serta susunan plot ‘Geng’ tidak tipikal. Jalan ceritanya berlapis dan berisi walaupun menghiburkan pada permukaannya.‘Geng’ menceritakan tentang Badrol, seorang budak bandar yang pulang ke kampung bersama rakan karibnya, Lim, untuk menetap di rumah Tok Dalang di Kampung Durian Runtuh untuk sehari dua. Orang kampung mula berkata-kata tentang Hantu Durian (siap keluar berita!) yang menjaga dusun Tok Dalang.
Apabila Badrol, Lim dan geng baru mereka, Ros (kakak ‘cun’ kepada Upin dan Ipin), serta Rajoo, yang pandai berbicara dengan haiwan, bertemu dengan Oopet, makhluk yang memegang rahsia sebenar ketakutan penduduk kampung, penonton dipelawa masuk ke dalam hutan belantara ala Malaysia untuk bersama mereka...
Filem ini seolah-olah komposit semua filem-filem kegemaran pembikin ‘Geng’, yang juga menjadi filem-filem kegemaran saya. Ada iras dan bau ‘The Incredibles’, ‘Lord of the Rings’, ‘Brother Bear’, ‘Harry Potter’, ‘Narnia’, ‘Monster Inc’, ‘King Kong’, ‘Ratatouille’, ‘Matrix’ dan terlalu banyak lagi! Kawan-kawan tonton sendiri dan cuba kira babak-babak yang diilhamkan dari filem lain.
Tak kisah diambil inspirasi ini sebagai sumber ‘reference’, janji kualiti dan diusahakan di atas nama inovasi, bukan bongok-bongok mencuri sahaja. Team kreatif ‘Geng’ memang membuat sedemikian untuk semua sebab yang betul. Hasilnya? Memang menghiburkan, alangkah riang rasanya menonton.
Antara Cerita dan LawakKesinambungan Upin dan Ipin, kembar kanak-kanak yang telah menjadi ikon comel sejak kemunculan mereka di dalam siri TV Astro yang disiarkan sepanjang bulan Ramadhan dua tahun lepas, menjadi faktor penjamin kepada kejayaan yang bakal menemui ‘Geng’. ‘Geng: Pengembaraan Bermula’ memang sesuai dijadikan tajuk kerana Les’ Copaque mampu menjadikan ‘Geng’ sebuah francais kreatif serta penggerak yang berwibawa dalam industri filem tanahair.
‘Geng’ dihidupkan oleh cerita asal dan lakonlayar yang begitu ‘inspired’ sekali, ilham, ekpresi dan hasil ‘ribut otak’ Mohd Nizam, Mohd Anas dan Hajjah Zainon. Keajaiban ‘Geng’ adalah ia menggambarkan fabrik Malaysia sebenar sepertimana yang kita ingati sewaktu membesar di kampung. Namun, itu sentimen untuk orang dewasa yang menonton; hakikatnya filem ini dibuat untuk kanak-kanak zaman sekarang, ibarat sebuah hadiah untuk mereka, dan juga satu khazanah.
Arahan dan persembahan dialog yang cukup bernyawa sekali oleh barisan pelakon suara kecil, dihidupkan dengan selitan lawak jenaka yang saya gerenti anda akan tergelak ataupun sekurang-kurangnya tersipu.
Watak Boleh Percaya dan Berwarna-Warni‘Geng’ mengembalikan kita ke akar umbi kita. Banyak metafora yang menggambarkan minda seorang anak Malaysia sewaktu kanak-kanak terkandung di dalam binatang-binatang comel seperti Oopet dan Sapy.
Bangga rasanya anak jati Melayu dapat menonjolkan diri di dalam industri dengan suara kreatif yang segar, asli dan ‘inclusive’. ‘Geng’ membawa nafas baru yang tidak lagi memperbodohkan rakyat Malaysia.
- Segala animasi 3D ‘Geng’ direka dan dikendalikan oleh artis dengan khidmat sistem ‘pipeline’ 3D yang dijana khas oleh penggerak Les’ Copaque untuk membantu staf kreatif menemui tarikh penghantaran filem ini.
- Les’ Copaque Production juga mengembangkan sayap ‘branding’ mereka dengan membuka cabang ‘World of Geng’ ataupun WOG yang menghasilkan barangan dan cenderahati jenama ‘Geng’.
- Dikatakan sebanyak RM4 juta dihabiskan untuk produksi filem 90 minit ini, dengan hanya seramai 40 staf bekerja siang malam tanpa henti di markas utama, Geng Korner, Shah Alam untuk menyiapkannya sepanjang enam bulan terakhir 2008. Untuk peminat, lawatilah Geng Korner di Seksyen 13 Shah Alam – senang sahaja untuk mencarinya, carik katak di atas tempurung...
No comments:
Post a Comment