Suami baca doa sempena ulang tahun Erra
Setiap kali menjelang 9 Februari, artis popular Erra Fazira sering mendapat kejutan dari kawan-kawan. Begitu juga tahun ini, Umie Aida yang menjadi teman karibnya sejak seminggu awal telah membuat perancangan bagi ibu mengandung ini. Bagaimanapun, kali ini kejutannya agak berlainan dari selalu. Kali ini, Umie dan teamnya membuat tema 'baby shower' untuk majlis itu. Biarpun sekadar teman-teman rapat yang hadir tetapi yang pasti ia tetap meriah tambahan lagi disambut bersama suami tersayang iaitu Engku Emran. Tetamu yang datang di'wajib'kan memakai baju mengandung dan kemudian membawa hadiah untuk anak yang bakal lahir. Bukan itu sahaja, tetamu juga membawa 'pot luck' untuk jamuan makan tengah hari. Selalunya tuan rumah yang menunggu tetamu tetapi kali ini tetamu yang menunggu tuan rumah. Erra dan Emran yang dijangka sampai ke rumah lebih kurang jam 2 petang tetapi sampai lebih awal dari yang dijangkakan. Biarpun kononnya satu kejutan tetapi yang pasti, Erra memang sudah mengagak dan menduga majlis itu diadakan. Banyak tanda-tanda awal yang telah membuatkan Erra mengesyaki majlis 'kejutan' diadakan di rumahnya. Paling utama bila banyak kereta kawan-kawan rapatnya sudah tersadai di hadapan rumahnya. Dan bila masuk sahaja ke rumah, lagu 'happy birthday' dari kawan-kawan membuatkan Erra nampak teruja. Tambahan lagi bila Umie dan Zahidah terus memeluknya dengan ucapan hari lahir.
Peminat setia hadiahkan 10 helai gaun
Kemudian, Erra dan Emran terus dibawa ke tingkat atas rumahnya. Sebuah bilik 'baby' yang sudah tersedia dengan pelbagai kelengkapan. Ini membuatkan Erra lebih lagi teruja kerana hadiah ulang tahunnya kali ini dia dapat hadiah tambahan... "Erra dah syak mesti ada sesuatu kejutan untuk Erra kerana banyak kereta kat luar tetapi tak sangka pula ramai kawan-kawan yang datang meraikan sama. Lebih mengejutkan lagi bila semua barangan dan kelengkapan untuk anak yang bakal lahir nanti boleh dikatakan semuanya dah cukup. Terima kasih la kepada Umie dengan Zahidah kerana merancang semua ni....Tak payah nak keluar duit banyak-banyak lagi untuk baby,” ujarnya dengan gelak bercerita. Selepas itu, barulah majlis memotong pulut yang disediakan oleh Raja Alawiyah dan kemudian bacaan doa dari suami Erra sendiri. Kucupan ikhlas daripada Emran untuk isterinya memang membayangkan pasangan ini sedang dalam kebahagiaan hidup berumah tangga tambahan lagi akan menimang cahaya mata pertama. Selain dari teman-teman rapat yang sudah membeli katil, kereta sorong dan kelengkapan yang lainnya ada juga beberapa orang peminat setia Erra telah menghantar hadiah untuk bakal cahaya mata yang lahir nanti. Dan antara yang istimewanya ialah lebih kurang 10 helai gaun serta buku penjagaan bayi.
Suami hadiah Erra bertemu idolanya
Selepas majlis berlangsung, sempat Sinar Harian bertanya kepada Erra sendiri apakah hadiah paling istimewa dari suaminya di hari lahir. Erra hanya tersenyum dan begitu berat pada awalnya bercerita kerana dia mahu biarlah kenangan indah itu disimpannya sendiri. ”Alhamdulillah, umur Erra 35 tahun ni, rasanya Erra sudah lengkap sebagai seorang wanita. Erra dah ada suami yang begitu penyayang dan bakal mendapat cahaya mata. Memang Erra rasa bersyukur kepada Allah dengan segala kurniaannya ni “Dan tahun ini juga, Emran buat satu kejutan yang memang Erra rasa tak sangka langsung iaitu dia telah menemukan Erra dengan seorang lelaki yang menjadi idola Erra. Betul-betul, Erra rasa tak percaya dapat bertemu dengannya kerana kejutan itu dibuat tiga hari sebelum hari jadi Erra. Emran telah temukan Erra dengan Tun Dr Mahathir secara empat mata. Memang ketika itu, Erra betul-betul rasa terkejut dan terharu sekali. Tak sangka rasanya dan inilah hadiah paling istimewa sepanjang usia Erra,” cerita Erra lagi.
Debar menanti kelahiran 'baby girl'
Seperti yang diketahui, kini kandungan Erra sudah menjangkau usia 8 bulan. Tanggal 26 Mac nanti di jangka akan lahir seorang 'baby girl' comel yang akan menyerikan lagi rumah tangga Erra dan pasangannya Engku Emran. "Insya Allah doakan Erra akan melahirkan dengan sempurna, selamat dan normal. Setakat ini memang doktor kata yang Erra boleh bersalin secara normal melainkan kalau 'baby' nanti terlalu besar. Itu yang Erra risaukan kerana sekarang ni, memang 'baby' membesar dan Erra kena diet yang mana kurangkan makan nasi. "Ikut doktor memang Erra akan dapat anak perempuan tetapi kami memang tak kisah tentang jantina asalkan dia akan sihat dan Erra selamat melahirkannya nanti,” ujar Erra bercerita tentang bakal cahaya mata pertamanya nanti.
Erra sedia tiga nama
Sumber: Sinar Harian dan Harian Metro 11/2/09
No comments:
Post a Comment