Sunday, February 22, 2009

COKLAT ERRA FAZIRA







SEMENTARA menunggu kelahiran anak sulung, Erra Fazira mengambil peluang itu belajar masak, menjahit dan apa saja kemahiran termasuk mengikuti kursus membuat coklat di Kolej KDU, Damansara Jaya dibawah seliaan Chef Amer Hamzah. Sudah lama Erra ingin belajar semua itu tetapi keadaan tidak mengizinkan kerana sibuk dengan kerjaya seni, berlakon, menyanyi dan mengacara.
Erra belajar buat coklat
"Saya minat kerja tangan tetapi sebelum mengandung saya sibuk dengan kerjaya seni. Sekarang sesuai untuk belajar kerana banyak masa terluang. Saya suka menggubah hantaran kahwin dan hamper. "Kemahiran itu dapat membantu saya membuat hiasan gubahan sendiri. Buat sendiri lebih murah daripada dibeli siap. Dunia kraftangan semakin berkembang dan permintaan tidak bermusim. Majlis perkahwinan diadakan sepanjang tahun tanpa mengira cuti sekolah."Begitu juga dengan permintaan hamper yang sesuai dijadikan buah tangan dalam sebarang acara. Tidak rugi belajar kerana kemahiran itu boleh digunakan bila-bila masa. Kelengkapan membuat kraftangan banyak dijual, cuma perlu disuaipadan. Tetapi perlu belajar teknik yang betul. "Saya belajar membuat coklat kerana keunikan dan keenakannya. Chef Amer bukan saja mengajar buat coklat tetapi dia juga beri pelbagai tips untuk menghasilkan coklat yang baik. "Barulah saya tahu adunan coklat tidak boleh terkena air kerana ia akan mengeras. Pelik bukan? Biasanya kalau adunan kuih dicampur air ia menjadi lembut tetapi coklat bertindak balas sebaliknya."Patutlah coklat mahal kerana semua bahan untuk membuatnya diimport. Acuannya saja berharga beratus ringgit," katanya.Erra berhasrat membuat coklat untuk hampernya nanti dan pasti pemberian tersebut lebih bermakna kerana dibuat sendiri.Kursus membuat coklat itu diadakan setiap Sabtu bermula 7 Februari lalu, selama lapan minggu.Selain Erra, pengasas Jamu Mak Dara, Halimah Shuib, 65, juga belajar bersama 10 yang lain. Baginya usia bukan halangan untuk menambah ilmu kerana selagi bernafas manusia digalak menimba ilmu. "Sabda Rasulullah SAW, belajarlah sehingga ke Negara China. Proses pembelajaran tidak pernah berhenti. Kebanyakan daripada kita bila dah berusia malas hendak belajar. Ia menjadikan fikiran kita lemah dan badan tak cergas. Jangan mengalah pada usia."Dari muda hingga sekarang saya belajar apa saja termasuk bertukang. Apa kerja dibuat kaum lelaki saya boleh buat. Walaupun mahir dalam bidang masakan, saya masih pergi kelas memasak kerana ada saja ilmu baru."Apa saja ilmu berguna untuk kita dan generasi seterusnya. Kalau malas tiada kerjaya dalam diri kita dan kehidupan tidak akan berubah. Dalam mempelajari sesuatu jangan cepat putus asa, buat sampai jadi. Tiada apa yang terlambat dalam hidup ini. Belajarlah untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemajuan diri," katanya.Chef selebriti juga Pensyarah Kanan Fakulti Hospitaliti, Pelancongan & Seni Kulinari Kolej KDU, Chef Zamzani Abdul Wahab bertanggungjawab mengelolakan kursus jangka pendek menerusi program projek khas KDU berkata, sambutan menggalakkan dan ramai berminat untuk menghadiri kursus ini walaupun yuran agak mahal."Ia mahal kerana negara kita tidak ramai pakar membuat coklat. Yang ada sekarang chef dari luar negara. Jadi apabila kita berjumpa Chef Amer yang pakar membuat coklat, barulah KDU anjurkan kursus ini. Kami menempah Chef Amer dari tahun lepas kerana dia sibuk. "Kursus membuat coklat ini mahal kerana bayaran chef mahal, coklat dan acuan mahal kerana semuanya diimport dari Belgium. Kursus ini juga dibuat dalam dapur selesa dan profesional dilengkapi peralatan memasak serba moden. Penggunaan coklat tidak terhad. Tamat kursus, peserta diberi sijil diiktiraf dari Switzerland. "Ramai berminat tetapi tidak sanggup membayar yuran tetapi kepada mereka yang tahu nilainya anggap ia sebagai pelaburan. Chef Amer memberi petua membuat coklat berkualiti. Selepas tahu asas membuat coklat, anda boleh membuat coklat kegemaran dengan pelbagai perisa. Bukan saja untuk dimakan sendiri tetapi boleh berniaga," katanya.Pada 7 dan 8 Mac pula, jabatan projek khas itu akan mengadakan kursus menghias kek secara profesional. Yuran sebanyak RM950 dan semua bahan disediakan. Peserta akan mendapat sijil pengiktirafan dari Switzerland. Kepada berminat hubungi Chef Zam, 03-77288123. Boleh juga layari emel, zamzani@kdu.edu.my atau www.kdu.edu.my/h&tshortcourses.



Sumber:Mymetro 21/2/09

No comments: