Monday, February 2, 2009

WALAUPUN SEDIKIT, IKHLAS MEMBANTU PALING PENTING

ERRA dan Emran bersama barang yang akan dilelong.



Lelong beg Christian Dior







Erra Fazira ditemani suami, Engku Emran sertai ABPBH2008 Untuk Gaza di Amcorp Mall, 31 Januari .Erra Fazira yang sedang sarat membawa kandungan bayinya berusia lapan bulan dan suaminya, Engku Emran Engku Zainal Abidin yang juga Ketua Pegawai Operasi Suria FM sudah mengesahkan kehadiran untuk menyertai acara lelongan amal ABPBH 2008 Untuk Gaza pada 31 Januari ini di Amcorp Mall, Petaling Jaya bermula jam 10 pagi hingga 6 petang.Malah minggu lalu, Hip sempat merakamkan barangan yang bakal dilelong milik pasangan suami isteri ini di pejabat Suria FM di Jalan Lumut, Kuala Lumpur. Erra akan melelong beg ‘pouch’ jenama Christian Dior berwarna merah jambu manakala Emran pula sepakat ‘mengorbankan’ jaket denim jenama Levis kegemarannya demi misi memenuhi Tabung NSTP Untuk Gaza yang kian mendapat sambutan dengan nilai kutipan yang cukup memberangsangkan hari demi hari.Kata Erra yang juga Wajah Eksklusif Astro ini, saban hari surat khabar naungan New Straits Times Press (NSTP) memaparkan peningkatan jumlah derma yang disumbangkan mereka yang bermurah hati dan bersimpati dengan nasib mangsa peperangan rakyat Palestin. “NSTP membuka laluan kepada rakyat Malaysia khususnya untuk menyalurkan derma kepada rakyat Palestin dan ini membuktikan NSTP dekat di hati serta menjadi pemudah cara. Lalu masyarakat di luar sana tahu saluran mana yang betul untuk menunjukkan keprihatinan kita sebagai rakyat Malaysia,” kata Erra yang dijangka melahirkan bayi perempuan pada 25 Mac ini. Menyedari ‘kuasa’ yang ada pada golongan selebriti yang selalu dianggap sebagai teladan terbaik kepada peminat, lalu kata Erra, inilah masanya golongan selebriti turun padang sebagai bukti menyokong usaha pihak media yang selama ini cukup berjasa menaikkan nama artis di Malaysia. “Tugas selebriti bukan setakat menghibur, malah inilah yang dinamakan tanggungjawab sosial yang boleh disumbang demi sebuah keamanan sejagat dalam menyokong usaha yang dibangkitkan kerajaan dan badan tertentunya contohnya seperti NSTP.“Ini juga satu acara berhibur sambil beramal dengan menderma. Ajaklah semua ahli keluarga, kawan-kawan dan semua yang anda kenali untuk sama-sama datang ke Amcorp Mall ya! Demi satu tujuan murni, kami golongan artis sama seperti orang lain yang ingin sekurang-kurangnya membantu mengurangkan keperitan yang dialami rakyat Palestin,” tambah Erra yang kini sudah muncul dengan single sulung di bawah syarikat Suria Records berjudul Ku Terima. Ia adalah sebagai strategi memastikan kewujudan Erra masih ada biarpun dia kini sedang bercuti demi memberi tumpuan kepada dunia barunya. Kepada yang ingin mendapatkan beg kantung Erra dengan harga lelongan, pastikan temu janji anda untuk hadir pada lokasi dan tarikh yang disebut.Menurut Erra yang gemar bergaya rugged, beg itu sudah bersamanya sejak empat tahun lalu dan antara koleksi beg yang digemari kerana memudahkannya untuk bergerak ke sana ke mari. Sambil berseloroh, Erra mengusik Emran dan memberitahu logo Harley Davidson yang ditampal di jaket Emran itu dijahit sendiri suaminya.Kata Erra lagi, pening juga Emran mahu membuat pilihan barangan peribadi mana yang ingin dilelong dan jangan hairan kalau Emran sendiri yang membida harga untuk mendapatkan jaket itu kembali ke tangannya. Pintas Emran, seperti Erra, dia juga gemar menunggang motosikal berkuasa tinggi dan jaket itu antara yang sering disarungnya. “Selepas membuat pertimbangan, akhirnya saya nekad memilih jaket ini untuk dilelong nanti. Saya memilikinya sejak 10 tahun lalu dan logo yang banyak ditampal ini membuktikan ia antara koleksi yang amat disayangi saya,” kata Emran ringkas berharap supaya pengunjung yang bakal hadir ke acara lelongan ini nanti akan menderma biarpun tidak membeli barangan yang dilelong. Umum juga sudah maklum, Suria FM kini dalam rangka mengadakan Siri Jelajah Lelongan Amal yang tertumpu kepada dua buah rumah kebajikan di Malaysia iaitu Rumah Nur Salam, Chow Kit dan Pusat Perlindungan Pernim. Siri jelajah itu sudah lama dirancang stesen radio yang dikenali dengan tagline, Muzik Terbaik Tanpa Henti ini dan hingga saat ini, akui Emran mereka masih tetap dengan pendirian itu. Biar tidak menyalurkan derma yang diperoleh kepada mangsa pertumpahan darah di Gaza, stesen ini bersedia memberi hebahan dan promosi ABPBH 2008 Untuk Gaza bermula 23 Januari lalu hingga ke tarikh ia berlangsung nanti. “Apa yang dilakukan NSTP adalah satu usaha murni dan NSTP antara pihak yang pantas bertindak untuk mengumpul dana kepada mangsa peperangan di Gaza. Ini juga peluang kepada pembaca NST, Berita Harian dan Harian Metro untuk memberi sumbangan derma kepada mereka yang memerlukan,” katanya sambil memberitahu penyampai radio Suria FM, Zizi dan Tuah juga akan turun padang ke acara amal ini.





Sumber: Berita Harian 28/1/09 Hak Cipta Terpelihara 2007 - Berita Harian Sdn. Bhd

No comments: