Wednesday, February 11, 2009

KEJUTAN RAKAN - RAKAN


SIAPA yang sebenarnya hamil? Erra Fazira (lima dari kanan) bersama rakan-rakan yang mengenakan pakaian mengandung membuat kejutan pada majlis hari lahirnya pada 9 Februari lalu.

Erra yang hamil, suami mengidam garam



JIKA tiada aral melintang, bulan depan, pasangan suami isteri popular Erra Fazira dan Engku Emran Engku Zainal Abidin bakal bergelar ibu dan ayah.Bakal menimang cahaya mata perempuan, ketika ini ada dua perasaan yang beraja di hati pasangan itu iaitu gembira dan berdebar.
Gembira kerana hajat Erra dan Emran untuk menambah jumlah ahli keluarga diperkenankan oleh Yang Maha Esa.
"Siapa yang tidak gembira untuk menimang anak sulung. Inilah anugerah yang cukup indah buat saya dan suami," Erra ringkas menggambarkan kegembiraan yang sedang dinikmatinya bersama suami yang juga Ketua Pegawai Operasi stesen radio Suria FM.
Manakala debaran yang mula kencang bersarang di fikiran Erra dan Emran pula ialah untuk melalui fasa kelahiran.
Apatah lagi ini kelahiran pertama buat Erra, sudah tentu dia tidak dapat lari daripada memikirkan pekara yang 'bukan-bukan'.
"Bila usia kandungan memasuki lapan bulan, saya mula rasa takut. Macam-macam yang bermain di fikiran.
"Mujur suami memberi kekuatan dan motivasi. Begitu juga dengan ahli keluarga yang lain serta rakan-rakan yang berpengalaman.
"Saya percaya ini semua hanyalah mainan perasaan sahaja. Doa saya semoga Allah memudahkan urusan kelahiran sulung saya ini," katanya yang memilih untuk bersaling di salah sebuah pusat perubatan swasta di Bangsar, Kuala Lumpur.
Bagi Erra yang bakal melalui pengalaman baru dalam fasa hidup sebagai seorang wanita, dia mengambil inisiatif menambah pengetahuan berhubung hal ehwal kelahiran menerusi pembacaan.
Banyak bahan bacaan bermula mengenai peringkat awal kehamilan sehingga menjelang penghujung kehamilan yang sudah dihabiskan Erra.
Bahan-bahan bacaan itu katanya, memberi banyak pendedahan serta perspektif yang lebih jelas mengenai kehamilan.
Dan Emran pula biarpun tidak bercerita secara jelas mengenai perasaan yang sama, namun berjanji akan menemani isterinya itu ketika di bilik kelahiran kelak. Itu janji Emran pada Erra.
Pasangan ini juga merancang untuk merakamkan detik-detik kelahiran puteri yang bakal menambah cahaya baru dalam kehidupan mereka.
Sentiasa memastikan Erra berada dalam keadaan selesa, Emran menurut isterinya itu, sangat memanjakan dia.
Menurut pelakon dan penyanyi jelita itu, Emran sentiasa akan mengawasi keadaan fizikal dan emosinya.
"Memang Emran manjakan saya ketika saat-saat begini. Kadang-kadang faham sajalah perempuan mengandung, nak bangun pun payah dan kaki kejang. Jadi, Emran sedia maklum keadaan saya dan dia banyak membantu," kata Erra berkongsi pengalaman kehamilan sulungnya itu.
Bagaimanapun, apa yang menghairankan Erra ialah ketika dia tidak mengidam perkara-perkara yang pelik, Emran pula mempunyai tabiat yang cukup menghairankan.
"Saya tidak mengidam apa-apa, tapi Emran pula mengidam makan garam. Saya pun terkejut tengok dia suka tambah garam dalam makanannya walaupun hidangan itu sudah cukup perisa," ujar artis itu sambil tertawa.


Kejutan rakan-rakan

Ketika fikiran berserabut memikirkan persiapan mengenai kelahiran yang bakal tiba, Erra yang menyambut ulang tahun ke-35 pada hari Isnin lalu dikejutkan dengan sambutan hari lahirnya dan meraikan bakal bayinya itu.
Bertempat di kediaman Erra dan Emran di Damansara, Petaling Jaya, Selangor, kejutan itu diketuai oleh aktres Umie Aida yang turut membawa beberapa rakan artis lain.
Beberapa jam sebelum Erra dan Emran tiba di kediaman mereka, Umie dan rakan-rakan seperti Zahida Rafik, Jasmin Hamid, Betty Banafe, Noniswara (kesemuanya mengenakan pakaian hamil) bersama-sama dua penerbit drama dan filem terkenal, Habsah Hassan dan Raja Alawiyah menghias salah sebuah bilik di rumah pasangan itu menjadi bilik bayi.
Erra yang tergamam dengan sambutan luar jangkaan itu begitu terharu atas inisiatif rakan-rakan karibnya.
"Mula-mula saya diberitahu oleh Umie mahu buat majlis hari jadi saja secara kecil-kecilan, tapi bila sampai rumah nampak lain macam jadinya.
"Apapun, saya terharu dengan kejutan yang dibuat oleh Umie dan kawan-kawan," kata Erra sambil memberitahu ulang tahun kelahiran ke-35 cukup bermakna kerana dia bakal bergelar seorang ibu.
Dan rakan-rakan artis yang memenuhi kediamannya tempoh hari seperti juga Erra sudah tidak sabar-sabar lagi untuk menyaksikan rakan karib mereka itu bergelar ibu.
Kesemua mereka yang berhimpun di situ bagaikan sebuah keluarga dan masing-masing sudah mula merancang untuk menghabiskan masa bersama Erra semasa di dalam pantang kelak.
Bahkan aktres Zarina Zainuddin yang mengusahakan perniagaan jamu pula awal-awal lagi sudah berjanji akan mengirimkan bekalan jamu buat Erra kelak.
"Insya-Allah saya hanya akan berada di rumah saya untuk menjalani pantang. Apa yang membuatkan Erra bertuah ialah ibu dan ibu mertua Erra bersedia untuk membimbang dan membantu Erra ketika menjalani pantang kelak," ujar Erra lagi. - SAHARUDIN MUSTHAFA





Sumber:Utusan Malaysia 12/2/09


No comments: