Thursday, October 9, 2008

ALHAMDULILLAH

HASBULLAH (dua dari kanan) berbual bersama sebahagian artis dan tetamu.
Saudara Baru....Adam Corrie
Ramadan tinggalkan kesan mendalam
Oleh Nurulhisham Abdul Latiffnurul@bharian.com.my

Setahun selepas memeluk Islam, Adam Corrie bertemu gadis yang bakal menjadi suri hidupnyaBULAN puasa yang baru berlalu tentu sekali meninggalkan kesan begitu mendalam buat pelakon dan pereka tari, Adam Corrie Lee Abdullah, 40. Pada bulan penuh keberkatan itu, dia bukan saja berjaya menunaikan ibadat puasa sebagai seorang Muslim buat kali kedua, malah bulan mulia itu juga menemukannya dengan seorang wanita yang berjaya mencuri hatinya.Pertemuan singkat pada hari kedua puasa tidak pernah disangka Corrie akan membawa dirinya dan Fazidah Mohd Fuad, 30, ke alam pertunangan yang sudah pun selamat dilangsungkan pada hari Nuzul al-Quran baru-baru ini."Kami diperkenalkan oleh rakan pada bulan puasa yang lalu. Selepas dua pertemuan, saya terus melamarnya. Saya dapat berasakan dialah wanita yang akan menjadi suri di hati kerana setiap kali bertemu dengannya, saya berasa cukup tenang sekali. Dia juga menerima saya dengan seadanya," katanya.Corrie berkongsi berita gembira itu tatkala ditemui pada Mesra Iftar Ramadan Bersama Artis Saudara Muslim anjuran Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) dan Shila Lama Sdn Bhd di ibu pejabat pertubuhan itu di ibu kota, 27 September lalu. Hadir sama pada majlis berbuka itu ialah Penolong Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Datuk Hasbullah L Isa dan teman seperjuangan Corrie, Shila dan Farid Amirul.Kata Corrie, jika tiada aral melintang, mereka akan dinikahkan di kampung halaman bakal isterinya di Kedah pada 21 November ini, diikuti majlis persandingan pada keesokannya. Majlis resepsi akan turut diadakan di Kuala Lumpur pada 24 November depan."Pada mulanya kami merancang untuk berkahwin pada 3 Syawal. Nampaknya rancangan itu terpaksa ditunda berikutan kesibukan saya sendiri dengan pelbagai kerja. Jadi, kami bersetuju untuk menundanya sehingga November depan," ujar Corrie.Menurut jejaka berasal dari Taiping, Perak ini, dia kini sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang suami dan ketua keluarga. Justeru, dia tidak teragak-agak menyunting Fazidah sebagai isteri."Saya sendiri sebenarnya sudah lama mencari wanita yang sesuai dijadikan isteri. Tidak saya sangka, pada Ramadan yang lalu, Fazidah muncul dalam hidup saya. "Pada ketika yang sama, saya juga terkena tempias sindiran sesetengah pihak yang mengatakan, saya memeluk Islam kerana ingin memperisterikan gadis Melayu. Padahal, saya hanya menemui Fazidah selepas lebih setahun saya menganut agama ini," kata Corrie yang sah bergelar seorang Muslim pada 13 Julai 2007.Jelas pelakon yang sering melakonkan watak jahat ini, dia sudah pun didedahkan dengan agama Islam sejak kecil. Kali pertama dia melangkah masuk ke masjid pula ketika berusia tujuh tahun. "Ramai rakan saya terdiri daripada orang Islam. Daripada merekalah saya belajar sedikit demi sedikit mengenai agama suci ini. Tahun lalu, saya dengan rasmi bergelar seorang Muslim. Saya tidak mahu memeluk Islam dengan niat sebarangan. Biarlah saya menjadi seorang Muslim dengan keikhlasan di hati."Saya juga berniat ingin mengerjakan umrah setelah bergelar seorang Muslim. Dan, saya memang tidak menyangka, hanya dalam masa yang singkat, saya diizinkan Tuhan untuk menjejakkan kaki ke Makkah dan Madinah, 19 Mei hingga 1 Jun lalu. Saya amat bersyukur apabila niat saya termakbul dalam masa yang begitu singkat," ujar Corrie yang berada di Tanah Suci selama hampir dua minggu.Menceritakan detik awal dirinya bergelar seorang Muslim, pelakon ini berkata, dia terlebih dulu memaklumkan keinginannya itu kepada ibu tercinta. Namun, sudah tentulah hajatnya itu bukan mudah diterima orang tua.Begitupun, mereka amat mengenali perangai Corrie yang sejak kecil lagi agak ‘degil’ dan akan berusaha untuk mendapatkan sesuatu yang diingini."Namun, saya memeluk Islam bukan dengan niat untuk berbuat perkara tidak baik pada keluarga. Ibu juga berpesan, saya boleh lakukan apa saja yang saya suka, asalkan bukan berbuat kejahatan," katanya.Menyentuh soal karier seninya, jejaka peramah ini memberitahu, kini dia sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri berjudul Katsarin untuk siaran RTM. Drama 26 episod itu turut dilakonkan Farah Putri, Julia Hana, Aman Graseka dan Qazem Nor. Dalam drama arah Nuad dan Azrin itu, dia memegang watak peninju tomoi Siam.Pelakon ini pernah dimasukkan ke pusat rawatan di Pangkor kerana terlalu kepenatan ketika menjayakan babak pertarungan dalam drama berkenaan. Penggambaran yang berlangsung sehingga awal pagi pada bulan puasa akhirnya membuatkan Corrie ini terlalu letih, sehingga rebah di lokasi.Bercerita mengenai lakonan, Corrie sempat meluahkan rasa terkilan apabila dia sering kali dianggap sebagai pelakon pengganti atau pilihan kedua oleh kebanyakan produser. Apabila ada saja pelakon yang menarik diri saat-saat akhir, maka dialah pelakon yang diminta mengisi kedudukan terbabit."Bayaran yang diberikan kepada saya juga berbeza daripada apa yang mampu dibayar kepada pelakon asal. Kadangkala bayarannya tiga atau empat kali lebih kecil daripada apa yang sepatutnya diterima. Jika keadaan seperti ini berterusan, memanglah saya sakit hati. Bagai ada diskriminasi pula dalam industri lakonan hari ini," katanya.
Sumber : Berita Harian 10/10/08

No comments: