Tuesday, October 7, 2008

LUPA VS TAK INGAT !


PHILIP POI JUN HUA

KESIHATAN



Kemerosotan fungsi memori



Oleh NORHAFIZAH ABD RANI



Saintis berpendapat, Alzheimer dikaitkan dengan pembentukan dan perubahan pada sel-sel saraf yang normal yang berubah menjadi serat.



ANDA mempunyai nenek atau ibu yang sudah lanjut usia? Pernahkah mereka secara tiba-tiba dia tidak mengenali anda? Jangan berasa takut atau tidak mempedulikan mereka.
Sebenarnya mereka menghidap penyakit mental pada usia lanjut. Penyakit-penyakit mental pada lewat usia termasuklah seperti nyanyuk (demensia) dan kemurungan. Penyakit demensia terbahagi kepada dua iaitu Alzheimer dan meracau (delirium).



Alzheimer merupakan sejenis penyakit penurunan fungsi saraf otak yang kompleks dan progresif.



Alzheimer merupakan kemerosotan fungsi intelektual dari segi pemikiran, kognitif dan ingatan yang mengganggu kehidupan seseorang.



Ia merupakan satu masalah untuk orang yang lanjut usia terutamanya di kalangan umur 65 tahun ke atas tanpa mengambil kira faktor kaum, bangsa dan latar belakang ekonomi. Walaupun demensia juga menyerang dewasa pertengahan iaitu di kalangan umur 40-an hingga ke 50-an, tetapi ini jarang berlaku.



Pesakit Alzheimer memerlukan perhatian. Ini kerana mereka tidak mampu melaksanakan rutin seperti sediakala. Antara ciri-ciri Alzheimer ialah kehilangan memori jangka masa pendek, sebaliknya ingatan mereka lebih kepada memori lama.



Pesakit ini pada kebiasaannya dalam kekeliruan, sebagai contohnya masa dan tempat berlakunya sesuatu perkara.



Mereka juga mengalami kemerosotan penilaian dan pengurangan kemahiran bahasa dan komunikasi. Sebagai contoh, sukar untuk mereka menyebut apatah lagi mengingat nama. Penukaran dari segi personaliti dan perangai. Contohnya rasa tidak tenang dan mencurigai orang lain.



Hingga kini, punca sebenar penyakit ini tidak diketahui. Tetapi, ia bukanlah disebabkan penuaan. Bagaimanapun, saintis berpendapat, ia dikaitkan dengan pembentukan dan perubahan pada sel-sel saraf yang normal menjadi serat.



Penyakit Alzheimer sukar dikesan kerana ramai yang beranggapan warga tua yang mula lupa, adalah sesuatu yang lazim kerana faktor usia. Sebaliknya kemungkinan itu adalah tanda-tanda awal seseorang itu menghidap penyakit Alzheimer.



Turut dikenali juga sebagai penyakit The Long Goodbye, penyakit ini lazimnya meliputi tempoh lebih hingga 20 tahun. Walaupun penyelidikan intensif dijalankan kebelakangan ini, penyakit ini masih belum difahami sepenuhnya dan tiada penawar yang diketahui lantas pengesanan dan rawatan awal merupakan satu-satunya pilihan untuk menguruskan penyakit dengan berkesan.
Peringkat Alzheimer



Antara gejala ringannya ialah lupa meletakkan kunci kereta, mengambil baki wang, tidak tahu membeli barang ke kedai, lupa nombor telefon atau dos ubat yang biasa dimakan.



Apabila pesakit lupa mencampurkan gula dalam minuman, garam dalam masakan atau cara-cara membancuh air ia dikategorikan sebagai peringkat sederhana.



Apabila pesakit tidak mampu melakukan perkara asas seperti menguruskan diri sendiri, keliru dengan keadaan persekitaran di rumah, tidak mengenali rakan-rakan atau ahli keluarga terdekat, ia menandakan tahap pesakit di peringkat yang serius.
Bagi individu yang terlibat dengan pesakit ini, berkomunikasi dengan mereka adalah sesuatu yang sukar sekali.



SEHINGGA kini punca sebenar penyakit Alzheimer tidak diketahui dan terus menjadi misteri.
Berkomunikasi dengan penghidap Alzheimer adalah sesuatu perkara yang mencabar. Cadangan berikut mungkin boleh diaplikasi semasa berkomunikasi dengan mereka:



* Tidak menjerit



* Tidak memberi pesakit itu terlalu
banyak pilihan



* Tanya soalan secara berhati-hati



* Jika anda ingin mengulangi sesuatu,
gunakan perkataan atau ayat yang
sama



* Tunggu atau bersabar menerima
jawapan pesakit



* Bertutur secara perlahan



* Tidak menggunakan bahasa bayi
atau kanak-kanak



* Sebut nama pesakit dengan kerap



* Sentuhan yang lembut pada tangan
atau lengan



Sempena Hari Penyakit Alzheimer Sedunia, Novartis telah melancarkan Exelon Patch. Ubat yang berupa tampalan ke atas kulit pesakit. Ubat tersebut disarankan ditampal sehari sekali pada belakang, dada atau lengan pesakit.



Khusus bagi pesakit peringkat ringan hingga sederhana serta dimensia penyakit Parkinson peringkat ringan hingga sederhana.



Menurut Pakar Runding Geriatrik di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof Dr. Philip Poi Jun Hua, perkara yang sering dikhuatiri ialah kepatuhan pesakit pengambilan ubat.



"Maklum balas daripada para penjaga pesakit menunjukkan bahawa seringkali mereka enggan mengambil ubat kerana merasakan diri mereka tidak menghidapi sebarang penyakit. Kaedah pemberian ubat baru ini memberikan pilihan tambahan yang amat dihargai kepada kira-kira 50,000 rakyat Malaysia yang lanjut usia yang menghidap penyakit ini," katanya.



Sementara itu menurut Ketua Perubatan Novartis Corporation (Malaysia) Sdn. Bhd., Dr. Premila Paranchothy, Exelon Patch menawarkan manfaat terapeutik yang unik dengan mengekalkan kandungan ubat yang sama dalam aliran darah dan mengurangkan kesan sampingan gastrousus seperti loya dan muntah. Ubat ini juga membolehkan lebih ramai pesakit mencapai dos yang optimum.



"Gabungan semua manfaat ini ia berpotensi untuk memberikan pesakit hasil rawatan yang lebih baik dan membolehkan mereka mematuhi arahan rawatan," katanya.




Sumber : Kosmo 8/10/08

No comments: