Wednesday, October 29, 2008

ANIMASI KESUKAAN

TULANG belakang dan tenaga kerja yang terbabit dalam pembikinan drama animasi Upin dan Ipin serta Geng Pengembaraan Bermula.

Upin dan Ipin popular di Indonesia
Oleh Farihad Shalla Mahmudfarihad@bharian.com.my

Siri animasi dua beradik akan dipanjangkan tempoh siaran
SEJAK bersiaran di saluran Dekat Di Hati, TV9 sepanjang dua bulan lalu, drama animasi Upin dan Ipin begitu pantas meraih populariti penontonnya. Karakter lucu dan bersahaja dua beradik ini berjaya membuatkan sesiapa saja yang menonton terhibur dengan gelagat mereka. Berlatar belakangkan pemandangan kampung yang indah lagi permai serta dibarisi watak-watak yang begitu dekat di jiwa penonton membuatkan drama animasi ini sentiasa di nanti-nantikan kemunculannya.Namun, selepas dua musim drama ini menamatkan siarannya, ramai ternanti-nanti apakah akan ada sambungannya untuk musim ketiga. Begitupun, jangan risau kerana pihak yang mencipta watak ini berjanji pada musim ketiga Upin & Ipin tetap akan menemui peminatnya. “Kami gembira kerana sejak disiarkan sepanjang bulan puasa lalu, Upin dan Ipin berjaya memperolehi rating sehingga 1.5 juta penonton. Dan kami juga mendapat permintaan daripada TV9 yang meminta kami untuk membuat sambungannya.“Memang kami sedang merancang ke arah itu. Walaupun kami dapat tawaran, namun itu tidak bermakna kami harus membuat drama animasi ini tergesa-gesa. Kualiti harus dijaga dan kami akan pastikan piawaian untuk musim ketiga Upin dan Ipin lebih baik dari yang terdahulu. Sebab itu kami perlukan perancangan yang teliti dari segi pembikinannya selain mencari skrip yang sesuai,” Ketua Render Artis Les' Copaque Production Sdn Bhd, Mohd Zarin Abdul Karim ketika ditemui pada majlis jamuan Aidilfitri rumah produksi terbabit di Shah Alam, Selangor petang Sabtu lalu.Tambah Zarin lagi, untuk siaran akan datang, tempoh siarannya mungkin menjadi lebih panjang. "Kalau ikutkan, setiap siaran memakan masa lima minit. Untuk siaran akan datang, kami menambah menjadi tujuh minit menjadikan tempoh siarannya kira-kira 30 minit. "Penambahan masa ini dilakukan kerana ada pihak dari luar berminat untuk membeli animasi ini. Ada pihak dari Timur Tengah yang menyatakan hasrat untuk membeli animasi ini dengan syarat kami menukar format tempoh siarannya menjadi lebih kurang setengah jam,” kata Zarin sambil dipersetujui Pengarah Produksi Animasi Les' Copaque, Kee Yong Pin.Bukan saja dari negara Timur Tengah, malah populariti Upin dan Ipin turut menular di negara seberang. Drama animasi ini kini menjadi sebutan di stesen TPI (Televisi Publi Indonesia)"Stesen TPI seperti TV9 di Indonesia. Pemiliknya memberitahu sejak musim pertama animasi itu disiarkan, ia mencecah rating yang tinggi. Jadi, mereka melahirkan hasrat untuk menyiarkannya pada musim kedua,” katanya. Labur RM 4 juta untuk Geng Pengembaraan BermulaPADA awalnya, animasi Upin dan Ipin adalah sebuah spin off kepada filem pertama mereka berjudul Geng Pengembaraan Bermula. Namun, atas sebab tertentu animasi itu muncul terlebih dulu sebelum filem itu ditayangkan. Selepas empat tahun menjalani proses pembikinan, filem animasi pertama terbitan Les’ Copaque ini sudah bersedia untuk ditayangkan kepada umum.Apa yang menarik, kos pembikinannya saja mencecah RM4 juta, satu angka yang cukup besar untuk penerbitan filem animasi di Malaysia. Namun ketika ditanya apakah rasionalnya melabur sebanyak itu untuk industri yang tidak menjanjikan apa-apa, Pengarah Urusan Les’ Copaque Production Sdn Bhd, Burhanuddin Md Radzi mempunyai jawapan tersendiri berhubung perkara itu."Apa yang membuat saya berani membuat pelaburan ini adalah kerana saya begitu percayakan bakat muda yang bekerja di syarikat ini. Saya tahu saya bakal berdepan dengan risiko yang tinggi tetapi apa yang saya lakukan ini adalah kerana saya begitu menghargai usaha mereka.“Industri animasi di negara kita sebenarnya sudah wujud sejak 15 tahun dulu tetapi di Malaysia, saya lihat potensi untuk berkembang ada cuma tak banyak yang memberi sokongan. Disebabkan itu saya berasa terpanggil untuk membantu anak-anak muda ini. Mereka amat kreatif dan setanding dengan animator dari luar, dan sayang andai bakat yang mereka ada itu disia-siakan. “Saya juga mahu melihat animasi menjadi satu industri. Bukan sekadar dilihat di sekitar nusantara ini, tidak banyak negara yang mahir dalam bidang ini," jelas Burhanuddin sambil memberitahu kos RM4 juta itu merangkumi keseluruhan pembikinan termasuk untuk perisian dan perkakasan.Mengulas pembikinan filem Geng Pengembaraan Bermula, jelas Burhanuddin, apa yang membanggakannya adalah ia adalah sebuah produk buatan Malaysia sepenuhnya. ."Untuk filem ini, kami menggunakan animator tempatan, kebanyakannya graduan yang baru saja menamatkan pelajarannya. Bukan saja tenaga kerja tetapi juga dari segi perisian," katanya.
Sumber:Berita Harian 30/10/08

No comments: