Thursday, October 23, 2008

HARGAI SEJARAH KITA

Minda: Sejarah mampu membina generasi kelas dunia

Oleh Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabrizaharsani@uum.edu.my


BARU-baru ini ketika berucap merasmikan Wisma Sejarah iaitu bangunan Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) di Jalan Tun Razak, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyarankan mata pelajaran sejarah diwajibkan di semua sekolah rendah di seluruh negara.Menurut beliau, sejarah adalah elemen penting dalam peradaban bangsa dan justeru, penting bagi generasi muda untuk mendalami pengetahuan mengenai sejarah bangsa dan pembangunan negara.Hakikatnya, ketika ini mata pelajaran sejarah bagaikan melukut di tepi gantang. Ia dianggap seperti subjek tempelan yang dipandang enteng pelbagai pihak, sedangkan negarawan dunia mengakui sejarah adalah ‘event of the past that create our future’.Mana mungkin sesebuah peradaban itu dapat dibentuk tanpa melihat apa yang sudah berlaku untuk mencorakkan pergerakan ketamadunan di masa depan.Kata orang, kita perlu belajar daripada sejarah kalau tidak mungkin mengulangi kesalahan atau kesilapan terdahulu.Perkataan sejarah yang kita gunakan pada masa kini berpunca daripada perkataan Arab iaitu Syajaratun yang bermaksud pohon atau pokok. Dari sudut lain, istilah ‘history’ terjemahan daripada perkataan Yunani iaitu ‘histories’ yang membawa makna satu penyelidikan atau pengkajian.Di Malaysia, seperti di negara lain, cerita dan pengalaman zaman lampau akan lenyap dengan cepat. Lebih-lebih lagi pada masa sekarang dengan manusia boleh berhubung dengan cepat melalui telefon, faks, e-mail atau bertemu muka.Tradisi menulis surat panjang, menyimpan catatan harian dan persediaan memo yang lengkap sudah menjadi kurang mustahak.Dalam keadaan seperti ini, kebanyakan perkembangan dilupai atau hilang sebagai bukti sejarah. Sesungguhnya perkara itu penting tetapi kita tidak boleh melupakan sejarah itu merangkumi juga cerita dan peristiwa rakyat biasa.Oleh itu, tajuk yang bercorak sejarah tempatan dan sejarah negeri perlu diberi tempat sewajarnya.Dalam ucapannya, Pak Lah menyarankan pengajaran sejarah di sekolah rendah ditampilkan secara lebih menarik, termasuk kaedah mengajar bagi menarik minat pelajar mempelajari mata pelajaran itu.Kurikulum mata pelajaran sejarah sedia ada juga harus diperbaiki serta diperkasakan lagi.Penulis menyarankan kaedah pengajaran sejarah berdasarkan penggunaan sejarah lisan. Penggunaan sejarah lisan sebagai satu alat pengajaran belum digunakan dengan sepatutnya.Sejarah lisan berdasarkan kenangan seseorang yang terbabit dalam peristiwa penting.Maklumat itu sungguh bernilai dalam memahami peristiwa yang saling berkait dari sudut yang luas. Sejarah lisan adalah unik kerana dapat menghubungkan zaman lalu dan sekarang melalui rakaman pengalaman bersejarah.Pita rakaman dan transkrip sejarah lisan boleh menghidupkan kaedah stimulasi pengajaran di sekolah dan institusi lain.Ketika ini, sejarah diajar berdasarkan sistem pameran. Cara itu tidak dinafikan sebagai satu cara pengajaran berguna dalam kelas. Bagaimanapun, nilainya terhad kepada keadaan pameran statik. Sebaliknya, pita rakaman wawancara dengan tokoh tertentu yang pernah memainkan peranan penting dalam masyarakat boleh memberi gambaran berkesan untuk memahami peristiwa lampau.Rakaman itu boleh menggambarkan perkara bersejarah yang berlaku di samping dapat menggambarkan aspek masyarakat yang sukar untuk dipamerkan.Rata-rata rakyat belajar sejarah sebagai satu mata pelajaran sahaja tetapi tidak ada kesan sejarah kepada diri mereka kecuali sekumpulan kecil. Ini berbeza sekali dengan masyarakat di Amerika Syarikat. Mata pelajaran sejarah dilatih tubi dan ditekankan begitu kuat dan dijadikan satu kemestian untuk setiap peringkat pelajaran dan persekolahan, juga untuk memasuki universiti dan menjadi prasyarat utama menjadi warga negara.Kesusasteraan mereka juga penuh bayangan, eksploitasi atau pendedahan tokoh dan ikon sejarah, memberi perasaan gagah dan bangga kepada pembaca. Malah, filem mereka dan video memberi kebesaran kepada bangsanya. Semua ini memperteguhkan sendi kekuatan bangsa.Ini tidak ada di Malaysia. Jarang sekali sejarah dijadikan tema penggambaran yang besar. Jadi orang tidak tahu perjuangan, misalnya Tok Janggut di Kelantan, Datuk Onn (pengasas Umno) atau Mat Salleh di Sabah secara mendalam. Mereka hanya tahu nama tokoh yang berada dalam catatan sejarah negara.Sistem pendidikan Malaysia semakin maju. Ia sekali gus menjadikan masyarakat majmuk bertambah kompleks untuk disatukan yang memerlukan kepakaran sejarawan menyuntik semangat cintakan sejarah di kalangan bangsa Malaysia.Agak sukar menjadikan sejarah sesuatu yang menarik jika perspektif masyarakat mengenai kepentingan sejarah adalah teks yang tidak mudah difahami.Di peringkat pengajian tinggi pula, sejarah sepatutnya dikupas dengan analitikal dan harus tepat faktanya dan sumbernya tanpa menimbulkan sebarang keraguan berhubung kesahihan peristiwa.Subjek sejarah disarankan menjadi subjek teras universiti dan bukan lagi subjek elektif. Aliran peristiwa pula digarap dengan ratusan, malah ribuan sumber agar peristiwa yang ditonjolkan benar-benar satu realiti dan menggambarkan hakikatnya sebenar. Peristiwa sejarah sewajarnya merangsang akal fikiran melihat bagaimana masyarakat dahulu membuat keputusan berdasarkan ilmu dan persekitaran.Sejarah penting untuk dipelajari kerana mampu membina generasi muda yang patriotik dan mempunyai minda kelas pertama serta menambah nilai kepada ilmu lain.Justeru, di tengah-tengah kepesatan pembangunan, kita diingatkan agar kembali kepada sejarah. - Penulis adalah Pensyarah Kanan Pengajian Kenegaraan Universiti Utara Malaysia
Sumber: Mymetro 24/10/08

No comments: