Wednesday, October 29, 2008

SYUKUR KEPADA - NYA

ABU Abdullah mencium anaknya Mohd Aidil berusia 31 hari di rumahnya di Kampung Galing, Kuantan, semalam


Bayi dilarikan tujuh jam ditemui semula
Oleh Rosli Abdul Jalilbhnews@bharian.com.my

KUANTAN: Seorang bayi lelaki berusia 31 hari, yang dilarikan dari rumahnya di Jalan Galing di sini, dipercayai untuk dijual, diselamatkan polis selepas tujuh jam kehilangannya disedari.Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam kelmarin, bayi berkenaan, Mohd Aidil Abu, dilaporkan dilarikan oleh dua lelaki dan seorang wanita ketika ibunya, Zaiton Awang Besar, 37, membuang sampah di belakang rumah.Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff, berkata sebelum itu ibu bayi berkenaan dikunjungi wanita terbabit yang mendakwa mengenali anak saudaranya.“Ketika berbual, Zaiton meninggalkan sebentar bayinya untuk membuang sampah. Sekembalinya ke dalam rumah, Zaiton terkejut apabila mendapati Mohd Aidil dan wanita itu sudah tiada,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini, semalam.Ibu bayi itu membuat laporan mengenai kehilangan anaknya di Balai Polis Air Putih, kira-kira jam 11.30 malam kelmarin selepas gagal mencari Mohd Aidil.Berikutan itu, polis menjalankan gerakan mencari serta membuat hebahan mengenai kehilangan bayi itu.Mohd Jasmani berkata, kira-kira jam 2 pagi semalam pasukan peronda menahan dua lelaki dan seorang wanita dalam keadaan mencurigakan di depan sebuah pasar raya dan selepas disoal siasat mereka membawa polis ke sebuah rumah di Kampung Razali, Batu Empat Jalan Gambang."Di rumah berkenaan, polis menahan tiga lelaki dan seorang lagi wanita bersama bayi itu. Mereka ditahan reman sehingga Sabtu ini untuk membantu siasatan," katanya.Beliau berkata, hasil siasatan mendapati bayi berkenaan dilarikan untuk dijual kepada pihak tertentu. Siasatan polis juga mendapati ada antara suspek yang berusia antara 18 dan 30 tahun itu, mempunyai rekod jenayah termasuk melakukan kes ragut dan pecah rumah.Sementara itu, Zaiton yang ditemui berkata, beliau dan suaminya, Abu Abdullah, 33, bersyukur apabila polis menemui semula anak sulungnya itu."Dalam tempoh tujuh jam kehilangan Mohd Aidil, pelbagai persoalan bermain di fikiran saya, terutama apabila teringatkan kes culik bayi yang pernah berlaku sebelum ini," katanya.
Sumber: Berita Harian 30/10/08

No comments: