Oleh DIYANA ROSE KAMALLUDEEN
Rawatan anti-stres Universal Tao melalui teknik Chi Nei Tsang (CNT) mudah dipraktikkan untuk kesihatan mental dan fizikal menyeluruh.
STRES merupakan satu penyakit yang semakin teruk melanda masyarakat pada masa ini. Satu kajian oleh institut pengajian tinggi awam (IPTA) baru-baru ini mendapati seorang daripada lima rakyat mengalami stres atau tekanan.
Ini kerana kepesatan teknologi dan perubahan gaya hidup menuntut manusia lebih banyak menggunakan otak berbanding organ lain dalam badan ketika menjalani aktiviti harian.
Sehingga kita tidak lagi mendengar kata hati sebaliknya membuat keputusan didorong emosi-emosi negatif yang berpunca daripada tekanan mental yang dihadapi sama ada di dalam mahupun luar pejabat.
Ia turut dicetuskan akibat lebih kerja, tekanan, kemalangan, pembedahan, penggunaan dadah, toksin, bebanan kemiskinan dan amalan makanan serta postur badan yang tidak betul.
Naib Presiden Healing Tao Instructors Association of the Americas, Andrew Fretwell berkata, emosi negatif seperti perasaan takut, marah, cemas, murung dan bimbang boleh mencetuskan kerosakan terhadap sistem tubuh badan.
"Emosi negatif dan tenaga bertoksik mewujudkan kitaran perasaan negatif dan stres yang berterusan serta menjejaskan sistem pencernaan.
"Jika emosi negatif itu tidak dapat dikeluarkan, ia akan 'bersarang' dalam organ atau bergerak ke abdomen yang merupakan 'tempat pembuangan sampah' badan manusia. Disebabkan itulah orang yang stres sering mengalami sakit perut,'' jelas beliau.
Fretwell yang juga Senior Master Rawatan Universal Tao mempunyai pengalaman 25 tahun dalam bidang perubatan China termasuk 13 tahun dalam menuntut seni rawatan Timur itu daripada guru Tao terkemuka, Master Mantak Chia di Chiang Mai, Thailand.
Beliau dikenali di peringkat antarabangsa termasuk Amerika Syarikat, Kanada, Australia, Eropah dan Timur bukan sahaja menerusi sistem Tao malah Shiatsu, Tai Chi, Qi Gong (Chi Kung) dan Chi Nei Tsang (CNT).
Menurut Fretwell, CNT merupakan sebahagian Sistem Rawatan Tao oleh Mantak Chia yang mengaplikasikan disiplin China kuno sebagai sistem pembaikan diri lengkap, sesuai untuk semua orang.
Rawatan ini mampu 'mengitar semula' tenaga negatif dan meningkatkan kapasiti kuasa pemulihan semulajadi tubuh badan yang lazimnya tersekat atau terhalang di bahagian abdomen.
CNT menggunakan kaedah sentuhan yang selamat, mendalam dan lembut terus ke atas abdomen atau dipanggil 'tan tien' dalam bahasa China. Tan tien dianggap sebagai pusat tumpuan badan juga tempat bermulanya kuasa, daya hidup dan pergerakan tubuh badan manusia.
Sesi rawatan CNT membabitkan teknik urutan organ dalaman dan latihan pernafasan mendalam di samping mempelajari cara-cara mengurut diri sendiri serta teknik penjagaan diri seperti Chi Kung dan meditasi. Urutan dibuat tanpa menanggalkan baju, sebaliknya pesakit hanya perlu memakai pakaian longgar atau selesa.
Ia bukan sahaja dapat mengembalikan tenaga malah menguatkan dan mengeluarkan toksin dalam sistem organ dalaman di samping memperkuatkan sistem imunisasi, sembelit, dan masalah pencernaan.
Selain itu, rawatan CNT juga melegakan sakit belakang, bahu dan tengkuk serta kekejangan akibat datang haid.
Fretwell menjelaskan, urutan abdomen atau perut menerusi rawatan CNT membantu merehatkan organ penting itu apabila perasaan emosi terpendam berjaya dibebaskan keluar.
"Sifat sebenar seseorang manusia yang benar-benar bebas dan tenang itu boleh dibangkitkan tanpa halangan seperti rasa tidak yakin pada diri sendiri.
"Teras kehidupan adalah perasaan gembira, ketenangan dan penyelesaian tetapi untuk 'mendapatkan' teras itu ada lapisan perasaan-perasaan emosi yang perlu diselesaikan agar rasa lega itu dapat diperoleh semula,'' katanya.
Penganut agama Tao menemui bahawa kawasan di sekeliling dan belakang pusat merupakan tumpuan tenaga kuat yang paling penting untuk sistem tubuh badan. Tisu di bawahnya dan otot abdomen itu sepatutnya lembut seperti perut bayi bagaimanapun bahagian tersebut lazimnya mudah tegang dan keras bagi kebanyakan orang.
Kini, sesiapa sahaja boleh mengikuti sesi rawatan dan latihan Rawatan Universal Tao melalui pakar perubatan tempatan, Dr. Aminah Amin di Amanur Skin & Spa, Rumah Kelab Mont' Kiara Sophia 2, Jalan Kiara 1, Mont' Kiara Kuala Lumpur.
Untuk maklumat kunjungi laman web www.amanurbeautyspa.com atau hantarkan emel kepada amanur33@gmail.com.
No comments:
Post a Comment