Saturday, October 18, 2008

PERPADUAN


Rumah terbuka eratkan perpaduan kaum



Dalam menyambut Aidilfitri, baik pemimpin-pemimpin negara, ahli-ahli yang berhormat, orang-orang kenamaan hatta bagi rakyat sekali pun sudah seperti terbiasa akan mengadakan rumah terbuka. Malah acara ini juga turut menjadi kayu pengukur kepada perpaduan kaum apabila tidak kira bangsa, Melayu, Cina mahu pun India akan bersama-sama meraikan Aidilfitri, sekali gus membuktikan perpaduan masyarakat negara ini kepada negara luar.Jika isu lepas mengupas kesanggupan masyarakat untuk terus mengadakan rumah terbuka meski pun dalam kegawatan ekonomi, minggu ini sekali lagi kupasan tentang rumah terbuka dilakukan tapi berbeza perspektifnya. MW kali ini mahu melihat adakah rumah terbuka yang sering diadakan sewaktu sambutan Aidilfitri menjadi kayu pengukur kepada perpaduan kaum yang dipegang sejak zaman nenek moyang kita lagi. Ikuti tinjauan di kalangan orang ramai mengenai isu perpaduan ini.


Zahir rasa kesyukuran

Menurut Ustaz Azhar Tuarno, Imam Masjid Negara, Kuala Lumpur, konsep rumah terbuka ini tidak salah di sisi Islam. Cuma, yang menjadi salahnya apabila ia bercanggah dan berlawanan dengan syarak.“Salah satu cara untuk menzahirkan rasa kesyukuran adalah dengan ziarah menziarahi. Islam sendiri tidak pernah menghalang untuk kita membuat rumah terbuka. Ia seperti jemputan kenduri juga, namun perkara perlu diberi perhatian ialah konsep rumah terbuka itu sendiri.“Aidilfitri itu adalah kurniaan Allah dan ia sendiri bermaksud kembali kepada fitrah, bersih dan diampunkan dosa-dosa di bulan Ramadan. Banyak perkara yang tidak sesuai dilakukan. Jadi, bila membuat rumah terbuka, biarlah jangan berlaku perkara berlawanan dengan Aidilfitri itu. Banyak perkara yang tidak sesuai seperti berhibur dengan cara melampau, mendedahkan aurat, membazir dan pelbagai perkara lain yang tidak sesuai dengan syarak.“Kemudian, ada pula majlis-majlis yang diadakan, tetamu datang dengan pakaian yang tidak sesuai. Generasi muda kini tidak dititikberatkan. Tidak menutup aurat, malah mengadakan persembahan yang tidak sesuai. Jadi, ia tidak melambangkan ibadah. Kita disuruh bergembira, dan saling berziarah, tetapi bukanlah bergembira atau menyambut perayaan semata-mata. Ini juga perkara yang perlu diberi perhatian.“Konsep Aidilfitri itu ibadah dan ia sebagai tanda kesyukuran dibersihkan dosa. Kita tak tau dosa-dosa kita semua dibersihkan, tetapi mudah-mudahan saja kita dibersihkan dari dosa. Memang baik, jemput orang datang ke rumah dan saling menziarah. Yang berziarah, dapat pahala dan yang menjemput juga dapat pahala. Masing-masing dapat pahala. Tetapi, dalam masa yang sama jangan sampai melanggar syarak. Silap-silap tidak dapat pahala, barangkali dosa pula, nauzubillah,” komen Ustaz Azhar Tuarno.Tambahnya lagi, selain beribadah dan menzahirkan rasa kesyukuran, rumah terbuka ini bertujuan untuk mengeratkan silaturahim, mengeratkan yang jauh dan hubungan kekeluargaan. “Yang jauh didekatkan, yang dekat kita mesra-mesrakan. Maklum sahaja, tidak semua ahli keluarga dapat berkumpul dan bertemu setiap hari. Kadang-kala, setahun sekali baru dapat berjumpa. Ini dituntut dan menjadi sunnah Nabi s.a.w. Ia perlu diteruskan.
“Tambahan, rumah terbuka ini merupakan aktiviti komuniti yang baik. Lebih baik lagi kerana di zaman sekarang ini ramai yang suka hidup bersendirian sehingga membataskan hubungan mereka dengan orang di sekeliling, hubungan sesama manusia. Mereka lebih senang bergantung hidup pada teknologi dan ia memang satu gejala yang kurang sihat. Perlu diperbetulkan demi masyarakat dan generasi yang akan datang.“Nabi sendiri, kalau pergi ke tempat sembahyang raya, baginda akan pergi dan balik mengikut jalan yang berbeza agar sepanjang perjalanan pergi dan baliknya nanti, baginda akan dapat berjumpa dengan ramai orang. Baginda juga, akan membuat sembahyang raya di kawasan lapang supaya semua umat Islam tidak kira tua atau muda, kecil atau besar, lelaki mahupun wanita, boleh datang dan mendengar khutbah, bersembahyang dan berjumpa dengan orang ramai. Inilah konsep silaturahim.“Dan, jangan lupa cabaran di zaman kini. Media massa sekarang, terutama media elektronik merencanakan pelbagai program menarik dan berbentuk hiburan. Jadi, orang susah nak keluar kerana lebih senang berhibur di rumah, di depan televisyen. Padahnya, saudara mara sendiri, jiran tetangga dan rakan lama tidak kenal dan dilupakan. Inilah kesunyian masyarakat sekarang. Sudah terang ia satu gejala yang tidak sihat.,” tambah Ustaz Azhar lagi.



Sumber : Mingguan Wanita Karangkraf

No comments: