Thursday, August 28, 2008

ADA LAGI.....

Orang ketiga’ yang dinanti

SEBELUM ini Sinar Harian pernah menyiarkan berita penyanyi dan pelakon tersohor, Fazira Wan Chek (Erra Fazira) mengalami keguguran ketika kandungannya baru berusia tiga minggu. Perkara ini didedahkan sendiri oleh suaminya yang merupakan Ketua Pegawai Operasi Suria FM, Engku Emran Engku Zainal Abidin. Menurut Emran, perkara itu berkemungkinan besar berlaku kerana mereka melakukan urutan refleksologi yang tidak sesuai dilakukan oleh wanita mengandung. Begitu pun, impian untuk memiliki cahaya mata yang didambakan oleh pasangan ini mungkin akan menjadi kenyataan pada penghujung bulan Mac tahun hadapan. Ini kerana Erra dikhabarkan sudah pun mengandung sembilan minggu. Menurut Emran yang dihubungi semalam, perkara ini disahkan oleh doktor setelah mereka berkunjung ke sebuah pusat perubatan untuk mengesahkan berita gembira ini. “Setelah melakukan ujian kehamilan sendiri, kami berjumpa doktor untuk membuat pengesahan. Apabila sah Erra hamil, doktor menasihatkan kami supaya menjaga kandungan ini dengan baik dan tidak boleh terlalu gembira kerana ia masih dalam peringkat awal. Jadi hanya keluarga terdekat sahaja yang mengetahuinya,” ujar Emran dengan nada ceria. Kini setelah kandungan semakin kuat, Emran menyatakan mereka merancang untuk mengadakan sebuah majlis doa selamat di samping kenduri sempena menyambut Ramadan di kediaman ibunya. Fikir mereka, hanya setelah itu berita kehamilan Erra dapat dihidu oleh pihak media. Namun perancangan itu tidak menjadi kenyataan apabila berita gembira ini ternyata diketahui lebih awal. Tidak mahu tahu jantina Menyentuh keadaan isterinya setelah berbadan dua, Emran menyatakan Erra masih belum mengalami ‘morning sickness’ atau alahan yang kadangkala dialami oleh wanita mengandung. Bagaimanapun ujarnya, perubahan yang ketara ialah isterinya itu semakin berselera makan. “Ini mungkin kerana usia kandungannya yang masih terlalu muda. Tapi pada usia beginilah kandungan perlu dijaga dengan baik. Kerana itu, saya sentiasa berpesan padanya supaya tidak lagi bersukan atau terlalu aktif. Serta merta saya juga ‘banned’ dia daripada naik motor. Beg dia pun saya yang angkatkan sekarang,” cerita Emran. Berkongsi lebih lanjut kegembiraannya, Emran turut menyatakan rancangannya untuk menahan diri daripada mengetahui jantina bakal anak sulungnya hinggalah ia lahir ke dunia. Namun pendirian ini nampaknya tidak dikongsi bersama isteri tersayang. Erra; menurut Emran tidak sabar-sabar lagi mahu mengetahui jantina anak mereka. “Oleh sebab itu saya meminta Erra merahsiakan jantina anak setelah dia mengetahuinya kelak. Mungkin ketika dia mahu melakukan imbasan untuk mengetahui jantina nanti, saya akan duduk di luar dahulu,” ujarnya sambil tertawa kecil. Menurut Emran lagi, bayi mereka dijangka akan lahir pada 25 Mac 2009. Apa yang menarik, keluarga di sebelahnya ramai yang lahir pada bulan berkenaan. Ini termasuklah ibunya sendiri, Toh Puan Salmah Abu Bakar yang lahir tanggal 24 Mac. “Eloklah kalau bayi kami nanti lahir pada bulan Mac. Tak seperti ibu bapanya yang lahir pada bulan Februari dan agak agresif, kebanyakan bayi bulan Mac saya lihat ‘baik-baik’ belaka. Semoga nanti dia akan menjadi sebaik ibu saya,” ujarnya yang kini seboleh mungkin tidak mahu meninggalkan isterinya itu seorang diri di rumah kecuali terpaksa kerana urusan kerja. Berat naik mendadak Erra yang dihubungi turut bernada ceria. Seperti Emran, dia tidak kisah jantina bakal anak sulungnya kelak asalkan bayi mereka sihat. Namun kongsinya dengan Sinar Harian, selera makan yang bertambah membuatkan berat badannya naik agak banyak. “Kata doktor, berat Erra yang naik empat kilo sejak mengandung agak mendadak memandangkan usia kandungan baru sembilan minggu. Mana tidaknya, pagi-pagi lagi Erra sudah rasa hendak makan. Nampaknya kenalah Erra jaga pemakanan sedikit selepas ini,” ujarnya. Tambah Erra, dia bersyukur kerana ibu Emran mempunyai pengetahuan dalam bidang kejururawatan (perbidanan). Justeru, ibu mentuanya itu memantau keadaan kesihatannya dan memberi pelbagai nasihat berguna kepadanya yang baru pertama kali bakal bergelar ibu. “Risau juga kerana kata doktor, alahan kadangkala hanya akan dialami setelah kandungan berusia lebih tiga bulan. Harap-harap tidaklah terlalu teruk (alahan) itu nanti. Tentang jadual kerja, Erra sudah pun membuat jadual yang sesuai sebaik sahaja mendapat tahu diri sudah hamil. Selagi mampu, Erra akan menyudahkan penggambaran drama yang membabitkan Erra,” ujarnya yang kini sedang menjayakan sebuah drama untuk siaran Astro. Kegembiraan Emran dan Erra sudah tentu sesuatu yang normal buat bakal ibu bapa seperti mereka. Jika diizinkan Yang Maha Kuasa untuk si kecil lahir ke dunia kelak, anak sulung mereka ini bakal menjadi cucu pertama dalam keluarga Erra dan cucu keempat buat keluarga Emran - Sinar Harian 29/8/08

Erra sah hamil 2 bulan
Rudy Imran Shamsuddinimran@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Selepas setahun mendirikan rumah tangga kali kedua, akhirnya pelakon popular Fazira Wan Chek, 33 atau Erra Fazira disahkan mengandung dua bulan.Berita gembira itu disahkan suami Erra, Ketua Pegawai Operasi Suria FM, Engku Emran Engku Zainal Abidin. Ketika dihubungi, Emran menjelaskan dia mengetahui hal terbabit selepas mendapatkan pengesahan doktor awal Julai lalu.“Erra berasa dia mengandung selepas lewat datang bulan sewaktu bercuti bersama kakitangan Erra Fazira Entertainment di Pulau Tioman, Johor. “Sangsi dengan keadaan itu, dia melakukan sendiri ujian menggunakan alat ujian kehamilan di sana. Bagaimanapun, dia tidak memberitahu saya hingga pulang ke rumah.“Keesokannya saya membawa dia melakukan ujian. Syukur apabila doktor mengesah Erra mengandung. “Bagaimanapun, di peringkat awal doktor menasihatkan kami tidak menghebohkan perkara itu terlebih dulu, hingga dua minggu berikutnya Erra sekali lagi menjalani ujian. “Selepas melakukan ujian imbasan, doktor mengesahkan jantung bayi dalam kandungan mula berdenyut,” katanya.Sebelum ini, Erra pernah mengalami keguguran selepas doktor mengesahkan dia mengandung dua minggu sewaktu menghadiri majlis Anugerah Bintang Popular Berita Harian, Mac lalu.Emran meminta peminat mendoakan keadaan kesihatan isterinya dan bayi yang dikandung sihat sehingga selamat melahirkan

No comments: