Thursday, August 28, 2008

PERMATA HATI

RENCANA UTAMA

Hasilkan 2,623 bayi

MASALAH kesuburan tidak boleh dijadikan alasan kepada pasangan suami isteri untuk tidak mencuba menimang cahaya mata.
Ini kerana pelbagai teknik terbaru wujud dan terbukti berjaya membantu pasangan yang mengidam-idamkan cahaya mata.
Kaedah teknologi bantuan konsepsi penghamilan adalah rawatan yang ditawarkan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) bagi membantu pasangan mendapatkan zuriat.
Sejak diperkenalkan pada tahun 1979 sehingga tahun lepas, 20,000 pasangan telah mendapatkan rawatan kesuburan itu melalui kaedah seperti permanian dalam rahim (IUI), pindahan gamet dalam fallopio (GIFT), persenyawaan in vitro (IVF) dan induksi ovulasi (ICSI).
Ketua Pengarah LPPKN, Aminah Abdul Rahman berkata, seramai 2,623 bayi telah dilahirkan melalui khidmat ini sejak ia diperkenalkan.
"LPPKN, selaku agensi di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah mengambil inisiatif mewujudkan Klinik Subfertiliti bagi membantu pasangan yang berkahwin dan mengalami masalah ketidaksuburan," katanya.
Jika sebelum ini ada yang ragu-ragu dengan kemampuan perkhidmatan kesuburan di bawah LPKKN, angka itu membuktikan badan itu sedang bergerak seiring dengan pusat swasta.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) masalah ketidaksuburan merupakan satu daripada elemen kesihatan reproduktif yang memerlukan rawatan.
LPPKN mengambil inisiatif mewujudkan klinik subfertiliti bagi membantu pasangan berkahwin yang mengalami masalah ketidaksuburan atau subfertiliti.
Kadar subfertiliti global adalah sekitar 15 peratus manakala kadarnya di Malaysia antara 10 dan 15 peratus.
Pemangku Pengarah Bahagian Reproduksi Manusia, Dr. Norliza Ahmad berkata, Klinik Subfertiliti LPPKN menawarkan kos rawatan yang berpatutan.
"Antara faktor penyumbang kepada masalah ketidak-suburan adalah 30 peratus kes masalah kesuburan isteri, 30 hingga 40 peratus masalah kesuburan suami manakala 30 peratus gabungan masalah suami dan isteri dan ada juga kes tiada punca penyebab, tetapi keadaan ini dikaitkan dengan kemungkinan wujudnya masalah tekanan," katanya.
Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah dalam teks ucapannya yang dibacakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Dr Ng Yen Yen pada Majlis Jalinan Kasih 2008 anjuran LPPKN, baru-baru ini turut menasihati pasangan yang belum mendapat anak selepas setahun berkahwin supaya menjalani ujian kesuburan dan tidak menunggu sehingga umur meningkat.
Beliau berkata, pasangan tidak digalakkan menunggu lama kerana purata tahap kesuburan bagi wanita dan lelaki akan menurun apabila umur meningkat.
Katanya, hasil kajian penduduk dan keluarga Malaysia 2004 oleh LPPKN mendapati, umur purata perkahwinan pertama bagi lelaki ialah kira-kira 28 tahun dan wanita 25 tahun.
Bagi pasangan yang berjaya mendapat zuriat selain daripada berdoa dan memohon kepada Allah, kaedah rawatan dari LPPKN melalui kecanggihan sains dan teknologi banyak membantu bagi mengatasi masalah ketidaksuburan.
Rosli Othman, 36, dan isteri Siti Safura Abd Aziz, 36, ketika ditemui berkata, pengalaman sedekad berkahwin tanpa cahaya mata amat menyuramkan suasana rumah tangga dan sentiasa dibelenggu kesedihan.
ADI FAZLI AHMAD dan isterinya, Masidayu antara pasangan yang berterima kasih kepada perkhidmatan LPPKN.
Pasangan guru yang mendirikan rumah tangga pada 1995 itu hampir berputus asa untuk mendapatkan zuriat. Namakan sahaja pelbagai rawatan, semua telah dicuba namun masih tidak berkesan.
"Kami berkahwin ketika menuntut di tahun akhir universiti, selepas habis belajar, proses mencari kerja bermula dan tanpa disedari usia sudah meningkat dan sudah lima tahun kahwin tapi tidak ada anak.
"Kami juga pernah disarankan doktor di klinik swasta untuk mengambil anak angkat kerana diberitahu tiada harapan untuk mendapatkan anak. Tetapi selepas mengunjungi klinik LPPKN di Klang, kami diberitahu ada pelbagai kaedah untuk mendapatkan zuriat," kata Siti Safura.
Kini, setelah lima tahun menjalani rawatan di bawah Dr. Abd Ghafar Abd Razak menerusi kaedah ICSI, pasangan ini semakin ceria dengan kehadiran Luqmannur Zahin, 4, yang dilahirkan pada tahun 2005.
Beliau mengakui, jumlah keseluruhan wang yang telah dibelanjakan dari awal hingga berjaya mengandung sememangnya berbaloi dan berpatutan berbanding dengan swasta.
Terumi Shikata, 41, dan suami Alex Danker, 44, pula yang sudah sepuluh tahun berkahwin. Mereka mengambil masa empat tahun berusaha untuk mendapatkan zuriat.
Beliau yang bekerja di sebuah syarikat Jepun di Kuala Lumpur berkata, melalui kenalan mereka dirujuk kepada LPPKN untuk menjalani ujian dan mendapatkan rawatan.
"Kami menghabiskan hampir RM10,000 bagi mendapatkan rawatan di LPPKN menerusi kaedah Permanian Dalam Rahim (IUI), sejak tahun 1998. Kami bersyukur dikurniakan sepasang cahaya mata kembar, Mako Danker dan Marina Danker, 5 tahun," kata beliau. - Bernama /Kosmo

No comments: