Thursday, August 28, 2008

LAGU PATRIOTIK KITA

Nyanyi Lagu Patriotik Di Rumah, Apa Salahnya? 23-08-2008 12:13:46 PM

KUALA LUMPUR: "Malaysia kita sudah berjaya, Aman, makmur bahagia, Malaysia abadi selamanya, Berjaya dan berjaya? "
Ini rangkap permulaan lagu ciptaan Saiful Bahri "Malaysia Berjaya", lagu patriotik yang dinyanyikan Jamaludin Alias dan kerap disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dalam tahun 1960-an dan awal 1970-an.
"Lagu ini masih segar dalam ingatan saya kerana ibu bapa saya biasa menyanyikannya semasa saya kecil," kata ahli akademik Fatimah Mansur.
Dengan sendirinya beliau suka bernyanyi-nyanyi kecil lagu seumpama ini terutama ketika hampirnya sambutan kemerdekaan negara atau meraikan sesuatu kejayaan yang dicapai anak Malaysia.
"Lagu patriotik Malaysia sebenarnya sesuai untuk pelbagai peristiwa dan acara seperti perjumpaan masyarakat, semasa kursus dan sukan," katanya.
Kerana Mu Malaysia
Antara lagu patriotik popular dalam kalangan semua generasi Malaysia ialah 'Kerana Mu Malaysia.
"Lagu ini merangsang semangat menghargai negara dan begitu memikat hati semua, tidak mengira usia dan kaum," kata bekas pensyarah Abu Hashim Haniffa.
Beliau mencadangkan semua stesen televisyen dan radio supaya lebih kerap menyiarkan lagu-lagi patriotik seperti ini dan tidak menyerahkan tanggungjawab itu semata-mata kepada RTM.
"RTM memang patut dipuji kerana tidak keberatan menyiarkan lagu-lagu patriotik.
"Lebih-lebih lagi sesetengah lagu patriotik itu mempunyai nilai komersil dari segi lirik dan muzik," katanya.
Kalau tak percaya beliau mengajak semua orang mendengar beberapa lagu seangkatan dengan "Kerana Mu Malaysia" dan lagu-lagu popular serta malar segar seperti `Warisan(Sudirman Arshad), `Setia' (Francesca Peter) dan `Sejahtera Malaysia (Roy).
Dimasukkan dalam kelas sivik
"Mungkin kita boleh masukkan perkara mengenali lagu-lagu patriotik ini dalam kelas sivik di sekolah rendah. Oleh yang demikian semangat patriotik mudah ditanam melalui lagu-lagu yang indah liriknya sejak mereka dalam usia muda lagi," kata Zaidah Zainal, kakitangan awam yang mempunyai tiga orang anak.
Lagu-lagu ini juga boleh menjadi lagu ketika mendodoi tidur bayi dan anak kecil.
"Kenapa tidak. Ibu saya pernah mendodoikan saya dengan lagu "Putera-Puteri" dan "Tanjung Puteri" untuk menidurkan saya," katanya.
Dalam suasana negara menyambut ulang tahun kemerdekaan, Abu Hashim mengambil kesempatan untuk mencadangkan supaya penghayatan lagu patriotik ini dimasukkan atau diperkembang pada Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).
Begitu juga sekolah-sekolah supaya semangat kesetiaan, kekitaan dan kebanggaan kepada negara ditanam di peringkat kanak-kanak lagi, katanya merujuk kepada lirik penutup "Malaysia Berjaya", "Satu Bangsa Satu Negara, "Malaysia berjaya". BERNAMA

No comments: