Thursday, August 28, 2008

MANUSIA ATAU BINATANG SANGGUP LAKUKAN INI????

Tangisan di masjid
Oleh Rashidi Karim

KANGAR: Seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat dan berbalut dengan kain batik ditemui ditinggalkan dalam Masjid Sungai Baru, dekat sini, semalam.Bayi comel berketurunan Melayu itu dipercayai ditinggalkan individu tertentu sebelum dijumpai seorang guru Sekolah Rendah Kebangsaan Sungai Baru, dikenali Saida Basir, 37, kira-kira jam 10.30 pagi.Guru terbabit mendengar tangisan bayi itu sebelum mendapati seorang bayi berbalut kain batik ditinggalkan berseorangan di situ.Dia kemudian menghubungi Balai Polis Simpang Empat.Ketua Polis Daerah Kangar, Superintenden Yusof Mohd Diah, yang mengesahkan kejadian itu, berkata bayi itu ditemui seorang guru yang secara kebetulan pergi ke tandas masjid terbabit.Katanya, polis sedang menyiasat penemuan bayi terbabit dan berdasarkan fizikalnya bayi itu dipercayai baru beberapa jam dilahirkan sebelum ditinggalkan di masjid berkenaan.“Kami tidak pasti sama ada bayi itu dilahirkan penduduk sekitar kawasan itu atau dibawa dari luar kerana siasatan terperinci masih dijalankan,” katanya.Beliau meminta kerjasama orang ramai membantu mengesan ibu bayi terbabit dengan melaporkan kepada balai polis berhampiran.Katanya, perbuatan membuang bayi itu yang pertama dilaporkan di Perlis sejak beberapa tahun lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.Mengikut seksyen terbabit, mereka yang membiar dan membuang bayi atau kanak-kanak berusia bawah 12 tahun boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.Sementara itu, tinjauan Harian Metro mendapati bayi comel seberat tiga kilogram itu dalam keadaan sihat dan dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini, untuk pemeriksaan lanjut.Bayi perempuan itu kini dalam pemerhatian pihak wad kanak-kanak HTF dan selepas ini kemungkinan besar akan diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarkat (JKM) Perlis untuk tindakan lanjut.- Harian Metro 28/8/08

No comments: