Thursday, August 28, 2008

PENGETAHUAN AM RAKYAT MALAYSIA....MERDEKA !

Jalur Gemilang: Simbol kebanggaan kita28-08-2008 12:28:01 PM

KUALA LUMPUR: Ahad ini, 31 Ogos ini, rakyat Malaysia akan menyambut ulang-tahun ke51 kemerdekaan negara.
Bendera Malaysia, Jalur Gemilang, kelihatan dikibarkan di sepanjang jalan, bangunan-bangunan kerajaan dan awam, rumah serta kompleks dan premis komersil di bandaraya ini dan juga bandar-bandar lain di seluruh negara.
Ciri-ciri serta maksud lambang dan warna bendera Malaysia memang di ketahui umum tapi tidak ramai yang mengetahui asal-usul bendera kebanggaan kita ini.
PERTANDINGAN
Menurut Arkib Negara, bendera Persekutuan Tanah Melayu muncul dengan rasminya pada 26 Mei 1950 setelah dilahirkan melalui satu pertandingan khas untuk menciptanya.
Pertandingan itu menarik 373 penyertaan.
Dengan persetujuan Majlis Raja-Raja, satu jawatankuasa khas ditubuhkan pada Mei 1948 untuk mengelolakan pertandingan itu serta memilih reka bentuk untuk dijadikan bendera Persekutuan Tanah Melayu ini.
Daripada 373 penyertaan, hanya tiga reka bentuk dipilih dan dipersembahkan kepada Raja-Raja Melayu untuk diputuskan.
Pada 19 April 1950, atas nasihat Majlis Perundangan Persekutuan dan persetujuan Raja-Raja Persekutuan Tanah Melayu, bendera Malaysia yang ada sekarang ini dipilih sebagai bendera rasmi Persekutuan Tanah Melayu.

WARNA PUTIH
Pada asalnya, bulan sabit dan bintang berwarna putih, tetapi atas persetujuan Raja-Raja Melayu, warna putih itu ditukar kepada warna kuning bagi melambangkan warna Diraja.
Pada 26 Mei 1950, buat pertama kalinya bendera itu dikibarkan di Istana Sultan Selangor di Kuala Lumpur.
Antara yang hadir pada majlis pengibaran bendera Persekutuan Tanah Melayu ini ialah Sultan Selangor serta wakil-wakil Sultan iaitu Abdul Wahab Abdul Aziz (Menteri Besar Perak), Datuk Mahmud Mat (Menteri Besar Pahang), Datuk Onn Jaafar (Menteri Besar Johor), Nik Ahmad Kamil Mahmud (Menteri Besar Kelantan), Raja Ahmad Raja Endut (Menteri Besar Perlis), Tunku Ismail Tunku Yahya (Menteri Besar Kedah) dan Datuk Abdul Malek Yusuf (Menteri Besar Negeri Sembilan).
Pada 9.38 pagi hari itu Bendera Persekutuan Tanah Melayu dinaikkan oleh Sir Henry Gurney iaitu Pesuruhjaya Tinggi British di Malaya bagi pihak pembesar-pembesar negeri.
Bermula dari saat yang bersejarah itulah, Persekutuan Tanah Melayu mempunyai benderanya sendiri yang menjadi lambang kemegahan serta simbol sebuah negara yang mempunyai rakyat yang bersatupadu.

PENYELIDIKAN ARKIB NEGARA
Menurut penyelidikan yang dijalankan Arkib Negara, berdasarkan dokumen-dokumen Clerk of Councils , The Council Chamber, Kuala Lumpur serta koleksi fail Jabatan Kerja Raya, Johor, besar kemungkinan pencipta bendera Persekutuan Tanah Melayu itu ialah arkitek kerajaan negeri Johor, Mohamed Hamzah.
Bendera ini dinamakan Bendera Malaysia dengan penubuhan Malaysia pada tahun 1963.
Empat belas jalur merah dan putih menunjukkan empat belas buah negeri di Malaysia.
Di samping mempunyai empat belas jalur, bintangnya juga pecah empat belas.
Bagaimanapun tiada sebarang perubahan warna dan lambang.

JALUR GEMILANG
Pada tahun 1997, mesyuarat Jemaah Menteri memutuskan untuk memberi nama khas Jalur Gemilang pada bendera kebangsaan, satu nama yang amat sesuai untuk diabadikan oleh rakyat Malaysia.
Perisytiharan nama bendera Malaysia, Jalur Gemilang diadakan pada 30 Ogos 1997, pukul 11.58 malam oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri (Tun) Dr Mahathir Mohamad, di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. BERNAMA

No comments: