Thursday, August 28, 2008

KESELAMATAN ATAU KESELESAAN?

"Helmet kura-kura diharam"
KUALA LUMPUR: Topi keledar separuh atau lebih popular dengan panggilan helmet kura-kura yang sinonim dengan golongan Mat Rempit tetap menjadi pilihan kebanyakan pembonceng motosikal walaupun menyedari ia tidak dapat menjamin keselamatan bahagian kepala sekiranya terbabit dalam nahas jalan raya.Difahamkan, menjadi trend dan gaya terkini pembonceng motosikal terutama golongan muda memakai topi keledar berkenaan manakala orang dewasa pula menggunakannya kerana sifatnya yang ringan. Pelajar, yang hanya ingin dikenali sebagai Ahmad, 23, berkata topi keledar berkenaan lebih ringan dan selesa dipakai ketika menunggang motosikal.“Mungkin disebabkan ciri-cirinya yang kecil dan ringan membuatkan saya lebih selesa,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.Menurutnya, helmet kura-kura yang dipakainya itu lebih murah jika dibandingkan topi keledar yang lain dan biarpun memakai topi keledar apa sekalipun ia tidak menjamin keselamatan. Seorang guru, Shauki Ariffin, 35, berkata dia gemar memakai topi keledar separuh kerana lebih ringan berbanding topi keledar yang lain.“Saya tahu ia tidak diluluskan Sirim Berhad (Sirim), tetapi kenapa pihak berkuasa benarkan topi itu dijual.“Saya yakin selagi topi keledar itu berada di pasaran ia tetap akan menjadi pilihan pengguna,” katanya.Shauki berkata, sekiranya topi itu tidak diluluskan kenapa kebenaran menjualnya diberikan kepada pihak kilang dan pengeluar.Tinjauan Harian Metro di beberapa premis yang menjual topi keledar separuh itu mendapati ia menjadi pilihan golongan muda terutamanya Mat Rempit dan hanya segelintir orang dewasa yang memilih menggunakan topi keledar itu.Malah, topi keledar berkenaan hanya dijual sekitar RM25 hingga RM28 menyebabkan ia menjadi pilihan golongan muda.Bagaimanapun, terdapat juga pelbagai jenis topi keledar separuh yang dijual dengan harga yang mahal mencecah ratusan ringgit berdasarkan jenis dan trend terkini.Sementara itu, Menteri Pengangkutan Datuk Ong Tee Keat, berkata penjualan topi keledar kura-kura mungkin diharamkan kerana tidak menjamin keselamatan penunggang dan pembonceng motosikal.“Ramai penunggang masih tidak sedar mengenai wujudnya penguatkuasaan larangan memakai topi keledar berkenaan.“Penunggang perlu peka tentang larangan tersebut dan berhenti membeli serta menggunakan topi keledar berkenaan walaupun ia ada dijual di pasaran.“Kita sedang usahakan rundingan dan penyelarasan dengan agensi yang terlibat mengenai penjualannya,” katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) Kempen Kemalangan Sifar antara Jabatan Keselamatan Jalan Raya dan Plus Expressway Berhad (Plus) di sini, baru-baru ini.Menurutnya, dari Januari hingga Julai tahun ini jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya meningkat tujuh peratus iaitu 3,814 kes berbanding 3,564 kes pada tempoh yang sama tahun lepas.
© Hak cipta terpelihara 2007 The New Straits Times Press (M) Berhad

No comments: