Friday, August 29, 2008

CANTIKNYA COVER MAJALAH NONA EDISI SEPTEMBER

Erra & Emran - Ramadan & Lebaran Dinanti Penuh Debaran

Dalam dakapan senja yang berbalam, laungan azan meletuskan lega di jiwa tiap Muslim berpuasa. Alunan kalimah suci membisikkan irama syahdu, menggamit sepasang tangan agar merafakkan syukur pada Yang Satu. Di kesempatan Ramadan Al-Mubarak penuh berkat dan rahmat ini, alangkah riangnya ibadah dapat dikerjakan bersama pasangan di sisi, manisnya bertarawih dan bangun sahur sekali. Oh... barangkali juga sudah ramai yangterhitung-hitung suasana Syawal di rumah mertua, apakah seindah beraya di rumah sendiri?

Dari ruang jendela yang kelam, menara KLCC kian gelap disimbah sinaran mentari senja. Namun jejari Nurul Shukor tetap lincah menata wajah Erra, sambil diperhatikan Engku Emran di sampingnya. Baru mendirikan rumah tangga tanggal 25 Oktober tahun lalu, pasangan yang telah 10 bulan diijabkabulkan ini bakal mengukir pengalaman baru apabila menjalani ibadah puasa bersama-sama buat pertama kalinya sebagai suami isteri. Andai penghayatan Ramadan lalu buat bekas Ratu Malaysia 1992 ini dengan Ketua Pegawai Operasi Suria.fm berseorangan tanpa teman hidup di sisi, tahun 2008 pasti mengungkap lebih makna dalam mencari makrifat yang diredhai-Nya.

Patuh pada syariat Tuhan, kunjungan bulan mulia kali ini turut mengundang debaran buat pasangan Erra dan Emran. Mungkin bagi Erra, pengalaman hidup yang lalu sudah tidak ingin diingati, malah jelasnya dia tidak mahu keluarga barunya berkecil hati dengan kisah lama yang pahit untuk ditelan.

Kala ditanyakan rancangan beraya di mana tahun ini, pintas Emran menggeleng-geleng sambil tertawa kecil. “Masih terlalu awal lagi! Kami sendiri pun belum plan, entah rumah siapa dulu pun kami belum tahu. Tapi yang pastinya, Erra akan mengikut saya pulang sama ada ke kampung emak saya di Pulau Pinang atau ke kampung bapa di Terengganu.” Sambil tersenyum manja, sempat Erra menyampuk bahawa kediaman keluarganya di Sg. Choh juga lokasi wajib untuk menyambut lebaran bersama Emran.

Menurut Erra yang kini sedang sibuk menjalani rakaman album terbarunya, setiap pagi Syawal dia pasti akan bangun pagi untuk mengerjakan solat sunat Syawal. Ia seolah-olah satu kemenangan besar buat muslimin dan muslimat sesudah berjaya menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan. Bergandingan dengan aktor Adlin Aman Ramli, wajah jelitawan ini juga bakal menghiasi kaca televisyen menerusi sebuah telemovie raya di saluran Astro, berjudul Joe & Faridah.

Ditanya mengenai persiapan raya, Engku Emran menyerahkan seluruh kuasa memilih pakaian dan konsep kepada isteri untuk menentukannya. Memang kebiasaannya sesudah berumah tangga, golongan lelaki jarang ingin mengambil tahu tentang imej mereka kerana percaya segalanya dapat diuruskan isteri dengan baik. Perkara ini turut dipersetujui Erra kerana baginya lelaki tidak banyak menimbulkan masalah untuk memilih baju Melayu yang bersesuaian. Cukuplah sekadar pilihan warna yang berpadanan dengan pakaian isteri yang dikenakan.

Bersama pasangan sejoli ini seterusnya di dalam NONA edisi September 2008.

1 comment:

natni said...

hai awak
sy tau blog awk dr blog mr.ee
awk kn salu post komen kt sna
me too minat erra..heee
nk tny psl mag nona ni
org da pusing sme tmpt xjmpe pon mag ni..maybe da abes stok kot...nk jugak tau ape story lanjut...kalo awk terlebih rjn ke...scan kn tuk sy ke since sy xjumpe mag ni da..huhu boley ke? maap ye kaco jek =)