Monday, September 1, 2008

BELAJAR TERUS BELAJAR

AKADEMI

Berterusan menuntut ilmu

Oleh IZYAN LIYANA MOHD DARIFizyanliyana.mdarif@kosmo.com.my

Golongan yang bekerja dan berusia kini berpeluang melanjutkan pengajian di Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya.

UNIVERSITI Malaya sentiasa melahirkan graduan yang menepati kehendak industri.
Kejayaan dan ilmu tidak mengenal usia. Tidak pernah tercatit atau termaktub bahawa menuntut ilmu itu hanya wajib dilaksanakan kepada kanak-kanak dan golongan muda sahaja manakala individu yang berusia hanya sesuai bekerja.

Inilah yang dibuktikan oleh 500 graduan sijil dan diploma eksekutif dan profesional, Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya (UMCCed) yang berjaya menamatkan pengajian dalam bidang masing-masing.

Meskipun rata-rata graduan terdiri daripada golongan bekerja di sektor swasta dan kerajaan serta sudah berumahtangga tetapi itu bukan halangan untuk menimba ilmu.
Bahkan, ia memberi dorongan kuat kepada para pelajar untuk lebih berjaya dalam bidang pendidikan.

Pusat Pendidikan Berterusan UM (UMCCed) yang ditubuhkan pada 1 April 1998 bertujuan memenuhi komitmen universiti tersebut dalam menyumbang kepada pembangunan masyarakat. Ia sejajar dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara industri yang maju menjelang tahun 2020.

Masyarakat disaran supaya meningkatkan pengetahuan dan kemahiran untuk menjadi lebih kreatif dan inovatif serta berdaya saing dalam menghadapi perubahan global.
Justeru dengan wujudnya UMCCed yang berteraskan pendidikan sepanjang hayat, ia menjadi satu wadah di mana UM berfungsi sebagai penghubung kepada masyarakat dengan menyediakan pelbagai peluang latihan dan kemahiran tanpa mengira sempadan umur.

Matlamat utama mereka ialah untuk melahirkan sumber manusia yang berpengetahuan dan terlatih. Menurut Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaya, Tan Sri Datuk Arshad Ayub, tujuan pendidikan itu sendiri adalah untuk pembangunan sahsiah dan membentuk keupayaan pelajar secara holistik melalui pembelajaran kemahiran khusus.

"Menerusi pendidikan, kita juga dapat merealisasikan keupayaan intelektual, fizikal dan kerohanian serta melahirkan modal insan kelas pertama seperti yang diimpikan oleh pihak kerajaan.
"Saya gembira dan mengucapkan tahniah kepada graduan bagi Majlis Sijil dan Diploma Eksekutif kali ke-19, UMCCed ini. Mereka telah berusaha gigih dan bijak membahagikan masa yang seimbang antara kerjaya, keluarga dan pengajian. Akhirnya usaha ini membuahkan hasil yang lumayan," jelas Arshad yang berharap masyarakat terus menimba ilmu di peringkat tinggi supaya negara tidak ketandusan kumpulan cendekiawan, terutamanya dalam penghasilan teori dan penyelesaian baru.

Tambah beliau lagi, statistik graduan UMCCed juga semakin meningkat dan bilangan pelajar baru bertambah pada setiap sesi. Pada tahun 1998, graduan UMCCed hanya berjumlah 11 orang dan bertambah 136 orang pada tahun berikutnya. Kini, UM boleh tersenyum lega apabila graduan kursus ini sudah mencecah angka 500 orang.


Peningkatan jumlah graduan UMCCed ini, menunjukkan bahawa masyarakat tempatan sudah mula membuka minda dengan pendapat pentingnya memperoleh ilmu sehingga ke akhir hayat.
Namun begitu, sebelum merealisasikan impian menerima segulung ijazah, para pelajar perlu mengikuti program pembangunan eksekutif sepenuh masa. Kelas akan diadakan pada setiap hari Sabtu dan Ahad. Jangka masa program sijil selama tiga hingga enam bulan manakala bagi program diploma eksekutif dan profesional, ia dijalankan untuk tempoh 13 bulan.

Sementara itu, penerima Anugerah Naib Canselor, Uma Vijayaletchumi Rajasingam, berasa gembira dan tidak menyangka peluang melanjutkan pelajaran dalam program UMCCed begitu menguntungkan. Ibu kepada tiga orang anak yang kini menjangkau usia 48 tahun itu dinobatkan sebagai graduan terbaik.


"Mengapa memilih untuk belajar pada usia ini? Selepas melihat kejayaan anak-anak di universiti, hati saya mula berdetik untuk belajar lagi. Walaupun sebelum ini saya merupakan graduan Botani dari universiti luar negara, tetapi keinginan untuk belajar masih lagi menebal.
"Memandangkan anak-anak sudah dewasa dan untuk mengisi masa terluang, saya mendaftarkan diri dalam bidang Diploma Eksekutif Kaunseling. Jika diizinkan Tuhan, saya ingin meneruskan pengajian di peringkat ijazah sarjana dalam bidang yang sama di UM," kata Uma ketika ditemui Kosmo! selepas majlis konvokesyen tersebut.

Selain Uma, seorang graduan kelahiran Korea turut mendapat tepukan gemuruh daripada para graduan yang lain. Ini kerana Lee Sang Yong, 34, mendapat Anugerah Pengarah Keseluruhan. Kecemerlangannya mengungguli pelajar lain dalam jurusan Sijil Kecekapan Bahasa Melayu begitu menakjubkan.

Selama dua tahun belajar di UM, Sang Yong menunjukkan prestasi yang baik terutamanya dalam menguasai bahasa Melayu.

"Saya memilih jurusan ini kerana ingin membuka empayar perniagaan fabrik di Malaysia. Ini akan memudahkan urusan perniagaan saya.

"Pada mulanya, agak sukar untuk fasih berbahasa Melayu tetapi saya tidak cepat mengalah. Setiap hari, saya membaca suratkhabar dan majalah Dewan Bahasa untuk melihat penggunaan kata dan struktur ayat yang betul," jelasnya yang turut mengeksport fabrik ke Amerika Syarikat, Itali, Jepun dan Eropah.

Sebanyak 26 program pembangunan eksekutif peringkat sijil dan diploma eksekutif ditawarkan dalam program UMCCed ini.
Program ini membantu golongan bekerja meningkatkan pengetahuan dan kemahiran tanpa mengganggu tugas hakiki mereka.

No comments: