Monday, September 1, 2008

HANYA ALLAH SWT YANG LEBIH TAHU

ANTARA keistimewaan Islam yang agung ini adalah jalan pulang ke pangkuan agama ini amat luas terbuka dan tidak membebankan. Peluang seorang insan kembali ke pangkuan keampunan dan keredaan Allah tidak pernah disekat oleh sebarang jarak waktu, latar diri, keturunan, atau harta.Sesiapa yang ingin pulang ke pangkuan Allah tidak pernah dihalang oleh agama ini disebabkan jenis dosanya atau keturunan, usianya yang lanjut, atau apa sahaja. Seseorang yang ingin kembali kepada Allah diterima oleh kerahmatan-Nya dengan syarat insan tersebut menyesali kesilapannya, benar-benar memohon keampunan dan berazam tidak mengulangi kesalahan lalu. Jika kesalahan itu sesama insan lain, dia memohon maaf dari yang dizalimi. Jika tidak mampu, bimbang mudarat yang lebih besar jika permohonan maaf dibuat, serahkan sahaja urusannya itu kepada Allah dan Allah Maha Mengetahui kadar kemampuan hamba-hamba-Nya. Islam bukan seperti sesetengah ajaran yang menyuruh seseorang yang berdosa membuat pengakuan di hadapan orang agama, atau melakukan upacara yang menyeksa diri demi penghapusan dosa seperti melukakan diri atau berjalan atas bara api atau membuat bayaran penebusan.Keampunan dan rahmat Allah bukan dijual di jalanan. Ia sangat berkaitan dengan keluhuran jiwa yang ikhlas ingin kembali kepada Allah Yang Maha Pengampun. Jika keampunan hanyalah bayaran yang dibayar kepada pihak tertentu, tentulah semua orang kaya tempatnya di syurga.

Seseorang yang berdosa pula, tidak disuruh mendedahkan dosanya kepada orang lain sekalipun di hadapan ulama atau siapapun di kalangan manusia. Bahkan dia disuruh bertaubat antara dia dengan Allah dan menutup keburukan dirinya daripada orang lain. Nabi s.a.w. bersabda: Sesiapa yang menutup (keburukan) seorang Muslim, Allah tutup (keburukannya) di dunia dan akhirat. (Riwayat Muslim). Termasuk dalam perkataan Muslim itu diri insan yang berdosa itu sendiri, dia juga tentu seorang Muslim. Maka dia wajib menutup keaiban dirinya. Maka dalam Islam tidak ada ??pengakuan dosa di hadapan paderiâ??. Sesiapa sahaja yang berasa berdosa dan ingin kembali kepada Allah, maka dia bertaubat di mana sahaja dia berada. Sabda Nabi: Sesungguhnya Allah menerima taubat seorang hamba selagi nyawa belum sampai ke halkumnya. (Riwayat al- Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani). Aduhai luasnya rahmat Allah dalam agama ini. Bahkan dalam sebuah hadis kudsi, Allah berfirman: Wahai anak-anak Adam, selagi mana engkau memohon dan mengharapkan dari-Ku, Aku ampunkan engkau walau apapun dosamu, Aku tidak peduli. Wahai anak-anak Adam, jika dosamu sampai ke puncak langit, lalu engkau pohon keampunan dari-Ku, Aku ampunkan engkau, aku tidak peduli. Wahai anak-anak Adam, engkau jika datang kepada-Ku dengan dosa yang hampir memenuhi bumi, namun engkau menemui-Ku tanpa mensyirikkan Daku dengan sesuatu, nescaya aku datang kepadamu dengan penuh keampunan. (Riwayat al-Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani). Bahkan kita dilarang kecewa dengan hidup disebabkan dosa yang lalu. Sebaliknya, disuruh agar sentiasa memohon keampunan daripada Allah dan jangan kecewa dari rahmat-Nya. Firman Allah dengan penuh syahdu dalam surah al-Zumar ayat 53: (maksudnya), Katakanlah: Wahai hamba- hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.Al-Imam Ibn Kathir (meninggal 774H) ketika mentafsirkan ayat ini menyebut: â??Ayat yang mulia ini adalah panggilan untuk semua pembuat dosa dari kalangan yang kufur dan selain mereka agar bertaubat dan kembali kepada Allah. Ayat ini juga adalah pemberitahuan Allah Yang Maha Berkat Lagi Maha Tinggi bahawa Dia mengampunkan segala dosa untuk sesiapa yang bertaubat dan meninggalkannya, walau bagaimana besar dan banyak sekalipun dosa tersebut. Sekalipun bagaikan buih di lautanâ??. (Tafsir al-Quran al-â??Azim, 4/74, Beirut: Mussasah al-Rayyan).

Maka tidak ada kecewa bagi insan yang berdosa. Sekalipun kadangkala ada dosa yang tidak dapat dimaafkan oleh perasaan insan lain, namun Allah tidak pernah menutup pintunya selagi insan yang berdosa itu insaf, benar-benar kembali kepada-Nya.Agama ini begitu lunak. Pintu untuk mendekati Tuhan tidak pernah hanya dikhususkan untuk orang tertentu semata. Bahkan sesiapa sahaja yang menerima Islam ini dan berusaha mendekatkan diri dengan jalan Rasulullah SAW maka dia akan sampai ke dalam rahmat Allah. Tiada perbezaan antara mufti, ustaz, imam dan orang biasa. Tuhan tidak pernah menilai insan dengan gelaran-gelaran yang diberikan oleh sesama manusia. Dia melihat keluhuran jiwa dan kesahihan amalan. Entah berapa ramai orang biasa lebih mulia di sisi Tuhan dibandingkan mereka yang bersandar dengan berbagai-bagai gelaran dan pangkat. Jalan pulang ke pangkuan Tuhan tidak pernah mendIkriminasikan manusia. Kadangkala amat menakutkan kita mendengar ucapan sesetengah orang. Saya pernah mendengar seseorang menyebut â??dosa- dosa si polan tidak akan diampunkan Allah.â?? Ringan perkataan itu di lidah kita, amat berat kesalahannya di sisi Allah. Sejak bilakah pula kita menjadikan wakil Tuhan dalam memutuskan rahmat atau kelaknatan di kalangan hamba-hamba-Nya. Kita menolak manusia ingin kembali dataran keampunan Allah hanya kerana emosi kita, sedangkan Allah sendiri mengisytiharkan keluasan rahmat-Nya untuk semua.Marilah kita berkempen untuk manusia mendapatkan rahmat keampunan Allah ini. Bukan untuk orang masjid dan surau sahaja, tetapi juga semua muda-mudi di jalanan, artis di pentas, pemimpin di gelanggang politik dan seterusnya. Jangan menghukum seseorang itu sebagai tidak berpeluang menerima rahmat Allah sedangkan roh masih di jasadnya dan hukuman Allah belum pun kita tahu.Janganlah perbincangan agama hanya menggambarkan seakan semua manusia akan memasuki neraka semata, lalu kita lupa Allah ialah Tuhan Yang Maha Rahmat. Ungkapan-ungkapan agama ini adalah ungkapan memberikan harapan, bukan menimbulkan kekecewaan. SUARA MIMBAR DARIPADA - DR. MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN ialah Mufti Kerajaan Negeri Perlis.

“Kehidupan ini dipenuhi dengan seribu macam kemanisan tetapi untuk mencapainya perlu seribu macam pengorbanan. Orang yang paling mampu menguasai dirinya ialah yang paling mampu menguasai rahsianya”

No comments: