Thursday, September 4, 2008

AL - FATIHAH..MOGA DITEMPATKAN DIKALANGAN ORANG BERIMAN

Samad Ismail meninggal dunia
-09-04 20:24:15.0


KUALA LUMPUR: Tokoh kewartawanan dan pejuang kemerdekaan Tan Sri Abdul Samad Ismail meninggal dunia di Pusat Perubatan Pantai di sini pada 5.58 petang ini kerana jangkitan paru-paru. Abdul Samad, 84, yang lebih dikenali sebagai Pak Samad, dimasukkan ke hospital itu sejak 24 Ogos lepas setelah mengalami kesukaran bernafas. Anak kelahiran Singapura itu meninggalkan seorang balu Puan Sri Habibah Hamid dan 10 orang anak termasuk blogger dan bekas wartawan Nuraina dan Maria. Isteri pertamanya Hamidah Hassan meninggal dunia pada 2 Jun 1990.Jenazah Abdul Samad akan dibawa ke rumahnya di No. 2, Lorong 16/7C, Petaling Jaya di sini dan akan dikebumikan selepas sembahyang Jumaat esok, menurut menantunya Azmi Anshar kepada Bernama di sini hari ini. Nuraina dalam blognya "Nuraina A Samad's 3540 Jalan Sudin" hari ini berkata, dialisis kedua bapanya pada pukul 5.30 petang ini gagal, malah tekanan darahnya semakin menurun. Pak Samad telah menjalani dialisis sejak semalam apabila keadaan buah pinggangnya semakin lemah. Bagaimanapun keadaan jantungnya baik. Abdul Samad yang memulakan kariernya sebagai pemberita Utusan Melayu pada tahun 1940, begitu sinonim dengan sejarah persuratkhabaran negara serta sejarah Malaysia itu sendiri. Pemergiannya hari ini bersempena dengan sambutan ulang tahun kemerdekaan negara ke-51 yang baru sahaja berlalu begitu menyentuh kerana Abdul Samad adalah antara anggota rombongan delegasi negara ke London pada 1956 untuk rundingan kemerdekaan. Malah penglibatannya dalam sejarah negara tidak dapat diperkecilkan walaupun peranannya banyak di belakang tadbir, begitu juga dengan kemerdekaan Indonesia serta dalam merapatkan semula hubungan antara Malaysia dan Indonesia semasa konfrantasi. Abdul Samad yang banyak terlibat dengan aktiviti anti penjajah pada zaman penjajahan British dan Jepun, pernah keluar masuk penjara kerana fahaman politiknya itu.

Mstaronline- 4/9/08

No comments: