Sunday, September 7, 2008

SEMOGA TABAH MENGHADAPI DUGAAN

Penduduk Pulau Pinang berbuka puasa dalam banjir

07-09-2008 03:08:56 PM

PULAU PINANG: Penduduk di sekitar bandar raya Georgetown dan beberapa kawasan perkampungan di Seberang Perai terpaksa berbuka puasa dalam banjir kerana kawasan rumah mereka dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat sejak awal pagi semalam.
Air mula menenggelami beberapa kawasan rendah sejak pukul 3 petang dan menyebabkan kebanyakan jalan utama di sekitar Georgetown sesak dengan kenderaan yang cuba mengelak laluan yang dilanda banjir.
Jurucakap polis ketika dihubungi berkata antara kawasan yang teruk dinaiki air ialah Jalan P.Ramlee, sebahagian Jalan Perak, Kampung Dodol, Ayer Itam, Farlim dan Pulau Betong.
Di Seberang Perai, kawasan yang dinaiki air ialah di beberapa kampung di Sungai Rambai, Taman Desa Damai Bumbung Lima, Kepala Batas dan Permatang Pauh.
Polis menempatkan anggotanya di persimpangan Jalan P.Ramlee, Jalan Perak dan Sungai Pinang serta beberapa jalan lain untuk menyuraikan lalu lintas.
Jalan P.Ramlee ditutup kepada lalu lintas setelah dinaiki air separas pinggang. Lebih 30 rumah di sekitarnya dimasuki air.
Kenderaan yang bergerak ke arah jalan itu terpaksa dilencongkan ke Jalan Sungai Pinang dan Jalan Perak bagi meneruskan perjalanan keluar dari Georgetown.
Siti Nuriani Abu Bakar, 27, berkata, rumahnya yang terletak di Jalan Perak, tidak jauh dari pejabat Bernama Pulau Pinang, mula dinaiki air sejak pukul 4 petang.
"Ketika ini, air melebihi paras pinggang di dalam rumah saya dan masih belum surut. Saya hanya sempat mengalihkan beberapa barang dan peralatan ke tempat yang lebih tinggi.
"Nasib baik saya belum buat persiapan untuk Hari Raya, kalau tidak sudah tentu semuanya rosak, tapi hari ini terpaksa la berbuka dalam banjir," kata Siti.
Hasmah Bakar, 62, berkata beliau tidak sempat menyediakan sebarang juadah untuk berbuka kerana sibuk mengalihkan barang-barang ke tempat yang lebih tinggi kerana air melimpah begitu cepat.
Beliau yang tinggal bersama empat anaknya di Jalan Perak berkata kejadian banjir itu merupakan kali kedua berlaku dalam tempoh terdekat ini.
"Minggu lepas pun air dah masuk dalam rumah kami, ini kejadian kedua. Makcik tak sempat masak apa-apa pun, lagipun air naik begitu cepat, nampaknya terpaksalah makan apa yang ada untuk berbuka puasa petang ini," katanya.
Dua buah rumah berkenaan adalah antara 30 buah rumah di kawasan itu yang ditenggelami air lebih lima jam selepas hujan lebat sejak awal pagi ini.
Kebanyakan rumah yang terletak di sekitar Sungai Pinang dinaiki air sehingga berlaku kemusnahan persediaan untuk berbuka puasa dan sedikit sebanyak persiapan Aidilfitri.
Di Jambatan Pulau Pinang, kenderaan bergerak perlahan sejak petang akibat pemandangan pemandu yang tidak begitu jelas akibat hujan lebat.
Banyak kenderaan keluar dari bahagian pulau ke arah tanah besar dan sebaliknya berikutan cuti hujung minggu.
Tinjauan di Plaza Tol Juru mendapati kenderaan beratur panjang dan laluan dari arah selatan menuju ke plaza tol itu sesak yang turut berpunca daripada kemalangan antara beberapa buah kenderaan semasa hujan lebat.
Pejabat Ketua Menteri mengeluarkan kenyataan sebuah pusat penempatan mangsa banjir telah dibuka di Sekolah Kebangsaan Francis Light di Georgetown dan semua jentera bencana alam negeri diaktifkan untuk bertindak.
Ramalan cuaca daripada Jabatan Kajicuaca menunjukkan hujan lebat akan berlarutan sehingga petang esok. BERNAMA

No comments: