Wednesday, September 17, 2008

MULIANYA HATI INSAN INI.....






Hari ini 17 2008 September bersamaan dengan 17 Ramadhan 1429. 17 Ramadhan merupakan cuti umum bagi negeri Selangor. Saya dan berberapa orang pentadbir rumah Ijabah merancang untuk membawa warga al-Ijabah ke Sunway Piramid. Tujuannya ialah untuk membelikan mereka buku bacaaan di kedai buku Popular dan baju raya di Jusco. Beberapa orang kakak dari Shah Alam menawarkan diri untuk menjadi penjaga warga al-Ijabah seramai 50 orang ini ketika membeli di Sunway Piramid.Hari ini Sunway Piramid sesak dengan pengunjung. Rombongan kami sampai dan kami bersama-sama berjalan, menuruni escalator untuk ke destinasi pertama iaitu kedai buku Popular.Sewaktu melintasi orang ramai, saya melihat berbagai-bagai memek muka. Ada yang memandang kami dengan tersenyum gembira, ada yang memandang kami dengan senyuman kelat. Maklumlah, pada pandangan mereka rombongan kami tidak class. Seolah-olah kedatangan kami ke sini hasil belas orang yang menderma. Jika tidak, mana mungkin kami mampu menjejaki kaki ke sini.Saya hanya tersenyum melihat gelagat mereka memandang ke arah rombongan kami yang ramai. Ah.. pedulikan senyuman orang pada kita walauapa pun jenisnya, yang penting saya rasa cukup bahagia melihat anak-anak ini tersenyum riang.Kami mula memasuki kedai buku ini. Anak-anak ini terus membelek-belek buku yang ada. Yang besar memilih buku cerita, yang kecil memilih buku bergambar.Walaupun mereka memilih sendiri buku-buku ini, mereka akan menunjukkan kepada kami adakah buku ini baik untuk mereka. Dari gelagat mereka, sebenarnya mereka bukan sahaja gembira dapat memilih buku-buku ini sendiri, tetapi mereka lebih bahagia apabila penjaga memberi perhatian kepada mereka.Setelah selesai di kedai buku, kami pergi ke Jusco. Mereka memilih sendiri baju yang mereka inginkan. Pengiring-pengiring yang ada melayan mereka dengan baik sekali.Ada di antara pengiring yang berkata,"terima kasih Ustaz sebab ajak saya temankan anak-anak ini, saya bukan sahaja gembira malahan rasa bahagia sekali."Sebenarnya, anak-anak ini bukan sahaja memerlukan perhatian lahiriyyah mereka malahan mereka juga memerlukan kasih sayang ataupun perhatian batiniyyah mereka.Saya teringat kisah beberapa bulan yang lepas. Ada seorang artis yang menjemput kami ke rumahnya. Ia mahu meraikan hari jadinya dengan anak-anak yatim. Ada wartawan yang dijemput sama di dalam majlis ini. Tujuannya untuk diminta menulis artikel yang mengatakan bahawa dia menyambut hari jadinya bersama anak-anak yatim.Tetapi, ketika berada di dalam rumahnya, ditengkingnya anak ini, Ketika sedang makan, diarah-arah dengan kasar anak ini,"sini jangan duduk, duduk dekat sana" dan lain-lain lagi.Apa yang paling mengejutkan, ketika majlis tamat, dia mengatakan anak-anak yatim ini nakal, gelojoh, seolah-olah tidak cukup makan dan lain-lain lagi. Sehinggakan dia mengatakan bahawa, lain kali tak apalah, kita tak payah jemput mereka ini, jika nak makan, nanti kakak hantar sahaja makanan ke rumah mereka.Semua tetamu yang bersama saya pada malam itu merasa terkejut dan kesal dengan sikap artis ini. Akhirnya mereka semua mengucapkan perkataan yang sama,"inilah kali pertama dan terakhir kita datang ke sini"..Sesungguhnya, setiap orang bukan sahaja memerlukan perhatian lahiriyyah, malahan mereka juga memerlukan kasih sayang yang datang dari hati yang ikhlas.Kita tidak bahagia dengan banyaknya material disekeliling kita, tetapi kita akan lebih bahagia jika orang disekeliling kita menerima kewujudan kita di samping mereka.Inilah fitrah setiap manusia, mereka mahu menyayangi dan mahu di sayangi. Tetapi tidak ramai orang yang sedar hakikat ini. akhirnya, kita kaya dengan material tetapi miskin dengan jiwa.Semoga kita menjadi orang yang sentiasa memburu cinta Allah. Dengannya, kita akan menyayangi manusia dengan ikhlas, bukan dengan kepentingan yang ada.


No comments: