Thursday, September 4, 2008

NIKMAT WANITA MENGANDUNG

Pemakanan & Kesihatan: Petua berpuasa ketika hamil

Oleh Nor Afzan Mohamad Yusofafzan@bharian.com.my

Wanita mengandung dibenarkan berbuka jika mudarat kesihatan diri, bayiDARIPADA pandangan Islam, wanita hamil dan menyusukan bayi diberikan kelonggaran untuk berbuka puasa terutama sekiranya beliau bimbang berlaku kemudaratan pada dirinya, bayinya atau kedua-duanya.Sungguhpun begitu, daripada daripada sudut sains kemudaratan terhadap diri dan bayi tidak dapat dipastikan sejauh mana keadaannya kerana ia berbeza antara setiap individu. Dalam segelintir kes, ketika hamil ada ibu menyatakan bayinya kurang bergerak atau aktif apabila berpuasa dan ada juga yang tidak mengalami sebarang perubahan.Pakar Perunding Kanan Jabatan Obstetrik & Ginekologi, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Prof Dr Zaleha Abdullah Mahdy, berkata kajian sains menunjukkan implikasi secara langsung akibat berpuasa tidak dapat dibuktikan.

“Ada kajian yang menunjukkan perubahan metabolisme yang berbeza pada ibu berpuasa berbanding dengan yang tidak berpuasa pada trimester ketiga, tetapi implikasinya pada kesihatan ibu dan bayi tidak diketahui.“Kuantiti air ketuban juga boleh berkurangan sedikit pada ibu yang mengalami dehidrasi, tetapi implikasi perubahan ini tidak dapat dipastikan,” katanya.Beliau berkata, secara umumnya pada trimester kedua iaitu pada usia kandungan empat, lima dan enam bulan ibu akan berasa lebih selesa untuk berpuasa kerana pada trimester pertama wanita mengalami alahan, sementara pada trimester ketiga wanita hamil biasanya lebih mudah letih dengan beban kandungan yang lebih berat . “Pada trimester pertama wanita didapati lebih banyak mengalami alahan yang menyebabkan muntah, tidak selera makan dan sebagainya. Dalam keadaan sebegitu, sudah semestinya puasa tidak digalakkan apatah lagi ketika itu pembentukan organ janin sedang berlaku dan memerlukan zat makanan yang mencukupi . “Mendapatkan makanan secukupnya amat diperlukan apatah lagi sekiranya tidak mendapat cukup air, akan berlaku dehidrasi atau kekurangan air yang turut dirasai bayi dalam kandungan. Keadaan dehidrasi boleh diperbaiki dengan meminum air yang secukupnya pada waktu sahur, bagi yang masih ingin meneruskan ibadat puasa ,” katanya.

Petanda kekurangan air selain terlihat jelas menerusi bibir kering, lesu, mata cengkung, lidah tampak kering, kulit yang tidak berseri serta kehadiran molekul keton dalam air kencing apabila diperiksa . Bagaimanapun, katanya, wanita yang berasa sihat dan kuat untuk berpuasa, boleh melakukan ibadat berkenaan, tetapi perlu memastikan mengambil makanan seimbang ketika berbuka serta banyak minum air terutama ketika bersahur supaya mampu melalui tempoh berpuasa dengan lebih segar sehingga ke petang . “Cukup makan dan minum sesuai dengan keperluan gizi ibu hamil. Contohnya dengan memperbanyak protein, kalsium yang diperoleh menerusi susu, ikan serta kacang selain vitamin dan mineral lain yang diperoleh menerusi sayur-sayuran dan buah-buahan. “Kurangkan makanan yang banyak mengandung lemak kerana ia boleh mendatangkan rasa mual, pada masa sama banyakkan rehat, dan buang rasa tertekan. Puasa wanita ketika hamil dan tidak hamil, berbeza, kerana ada kandungan di dalam rahimnya. Wanita perlu pastikan ia mendapat makanan seimbang selain mencukupi untuk perkembangan bayi dalam kandungannya,” katanya. Mengulas mengenai wanita yang menghidap penyakit ketika hamil, katanya, bagi wanita kencing manis dan darah tinggi, ada pendapat menyatakan wanita berkenaan, boleh berpuasa dengan menyesuaikan dos dan masa pengambilan ubat, atas nasihat doktor.

Bagaimanapun dikhuatiri perubahan ini menimbulkan masalah kepatuhan terhadap pengambilan ubat kerana boleh jadi perubahan waktu pengambilan ubat menyebabkan wanita berkenaan terlupa, mungkin sebab letih lalu tertidur . “Tidak dinafikan wanita akan lebih mudah penat ketika berpuasa dan rehat serta waktu tidur mencukupi amat diperlukan pada sebelah malamnya. Sekiranya wanita berkenaan perlu berjaga beberapa kali untuk suntikan dan ambil ubat, bimbang nanti terlupa atau tertidur terus tanpa mengambil ubat. “Islam tidak pernah menyusahkan umatnya, sekiranya tidak mampu wanita hamil tidak perlu memaksa diri. Pahala puasa perlu dijaga kerana walaupun hati menyatakan ikhlas, tetapi apabila kita marahkan anak, suami atau rakan sekerja kerana kepenatan, tidakkah puasa berkenaan ‘cacat’?“Sekiranya wanita berkenaan merasa sakit kepala , mata berpinar-pinar disertai berpeluh dengan banyak, ia menjadi satu lagi tanda bahawa tubuh wanita berkenaan tidak lagi mampu berpuasa dan perlu mendapatkan air mencukupi di samping makanan berkhasiat ,” katanya. Selain itu, wanita yang sedang menyusukan bayi juga dibolehkan berbuka puasa kerana kuantiti dan kualiti susu boleh terjejas sekiranya wanita berkenaan tidak mendapat makanan dan air secukupnya pada sebelah siang.
Tegasnya, sungguhpun wanita dibolehkan berbuka, mereka juga perlu menjaga adab dengan tidak makan di khalayak ramai atau mengumumkan dirinya dikecualikan daripada puasa kerana hamil, sebaliknya perlu mendapatkan keberkatan Ramadan dengan memperbanyakkan solat dan berzikir. “Wanita perlu tahu keadaan dirinya, kalau tidak mampu dan ragu terhadap diri dan kandungan dibolehkan berbuka. Usah menguji kemampuan diri, menunjuk diri atau membandingkan diri anda dengan orang lain kerana setiap daripada kita berbeza,” katanya . Bagi mereka yang biasa kuat berpuasa semasa hamil pula, janganlah mendabik dada atau memperkecil-kecilkan rakan yang tidak berpuasa disebabkan kehamilan atau penyusuan. Pendapat ulama berbeza mengenai cara menggantikan puasa yang tertinggal disebabkan hamil atau menyusukan bayi, sama ada secara qada puasa atau dengan membayar fidyah. Walau apa pun caranya, masing-masing mempunyai dalil tersendiri dan terpulang kepada individu menentukan pegangan masing-masing.Perlu diingat bahawa Islam tidak memberatkan umatnya. Ingatan ini penting terutama dalam kes di mana seseorang ibu itu hampir setiap tahun sama ada hamil atau menyusukan bayi, khasnya mereka yang menggenapkan penyusuan selama dua tahun . Sementara itu, katanya, fatwa antarabangsa seminar di Maghribi menyatakan pemeriksaan spekulum atau pemeriksaan faraj atas tujuan perubatan termasuk pap smear tidak membatalkan puasa kerana yang membatalkan puasa ialah melakukan makan , minum dan hubungan seks.

INFO: Kelebihan hamil

Apabila wanita hamil, semua malaikat akan beristighfar ke atas dirinya. Dengan ke hendak Allah, setiap tempoh kehamilan itu akan diberikan 1000 kebaikan dan dilenyapkan 1000 keburukan daripada ibu berkenaan .
Apabila wanita hamil mula merasai kesakitan daripada kontraksi, perjuangannya itu bagaikan seorang yang melalui jihad.
Apabila hamil menerusi suaminya yang sah, dan suaminya meredainya, wanita berkenaan akan dianugerahkan pahala bagaikan seorang melakukan ibadat pada waktu malam.
Wanita yang melalui tempoh kehamilan hingga melahirkan, bagaikan Mujahid. Mati syahid sekiranya ketika melahirkan, wanita berkenaan menemui ajal.

Keadaan kehamilan diberatkan berbuka

Pendarahan
Diabetes Mellitus
Tekanan darah tinggi ( hipertensi )
Anoreksia dan bulimia
Gangguan sistem pencernaan
Dehidrasi
Pada hari kelahiran kerana wanita memerlukan tenaga untuk menempuh proses pelahiran

Sumber : Ratu Berita Harian 4/9/08

No comments: