Tuesday, September 2, 2008

DUGAAN SI KECIL

Cara didik anak berpuasa
Shaidah Shafieshasha@bharian.com.my

Kanak-kanak perlu dilatih sedari kecil untuk jalani rutin berlapar dan dahaga.Mendidik anak berpuasa bukan perkara mudah bagi sesetengah ibu bapa. Pasti ada ibu bapa yang tidak sampai hati melihat anak merengek meminta makanan. Malah, ada juga yang tidak membenarkan anak berpuasa kerana bimbang anak akan kelaparan atau mendapat natijah kerana perut kosong sepanjang hari tanpa makanan. Hakikatnya, berpuasa adalah wajib bagi individu beragama Islam, akil baligh dan waras. Kanak-kanak juga digalakkan berpuasa sekiranya mereka berkemampuan dan dilatih sejak kecil.Apabila kanak-kanak diajar berpuasa sejak kecil, ada banyak kebaikan seperti memberi rehat kepada usus dan organ dalaman daripada memproses makanan sepanjang hari. Seperti individu dewasa yang berasa satu kemenangan apabila berjaya menyelesaikan ibadat puasa selepas sehari suntuk menahan lapar dan dahaga, kanak-anak juga akan merasai perkara yang sama, lebih-lebih lagi apabila ibu bapa menjanjikan ganjaran tertentu sekiranya mereka berjaya berpuasa sehingga sebulan. Justeru, kebijaksanaan mendidik anak berpuasa terletak di tangan ibu bapa bagi mendisiplinkan si anak berminat melakukan ibadat berkenaan.Guru sekolah di Hulu Langat, Zalina Nasir, 41, mempunyai cara istimewa bagi mendidik anak lelakinya belajar berpuasa. Seperti ketika dilatih ibunya dulu dengan penuh tanggungjawab, beliau melakukan hal yang sama terhadap Aqeef Aiman, empat tahun. Aiman memang bayi yang sihat sejak kecil. Dia sentiasa berselera terhadap makanan. Jadi, saya dan suami terpaksa mengikut rentaknya untuk melatih dia berpuasa. Pada mulanya memang dia mengadu susah, tetapi saya pujuk dan terangkan kebaikan berpuasa kepadanya, katanya.Zalina yang mengajar pada sesi pagi berkata, beliau menawarkan ganjaran berbentuk makanan kepada Aiman bagi meningkatkan semangat anaknya untuk berpuasa kerana mengetahui Aiman gemar makan.Memang dia berselera pada semua jenis makanan, terutama aiskrim. Begitupun, saya tetap mengawasi jumlah makanan yang diambil supaya tidak memudaratkan Aiman. Jadi, dia berpeluang makan semua yang diingini, tetapi dengan jumlah yang sedikit, katanya. Zalina rajin menerangkan pada Aiman kebaikan berpuasa seperti sesiapa yang rajin berpuasa akan mendapat pahala yang diberikan Allah. Selain itu, Aiman juga diberitahu Tuhan sayang kepada orang yang rajin berpuasa dan jika berpuasa, makanan tidak boleh diambil selagi belum tiba waktu berbuka.Beliau berkata, pada peringkat awal percubaan melatih Aiman, beliau tidak membenarkan Aiman makan selama tiga jam. Apabila tiga jam pertama berjaya dilakukan, beliau akan menambah sebanyak tiga jam lagi. Jadi dengan pertambahan masa sedikit demi sedikit, Aiman tidak rasa terbeban walaupun kerap bertanya bilakah beliau boleh makan.Kadang-kadang Aiman sendiri rajin bertanya apakah makanan yang dia akan dapat sekiranya berjaya puasa penuh. Saya tahu dia teringin makan banyak jenis makanan, tetapi pada peringkat usia sebegini, tarikan utama dia adalah aiskrim. Tahun depan, dia akan mencecah usia lima tahun dan saya akan pastikan dia berupaya berpuasa. Buat masa ini, dia hanya berjaya sehingga jam 2 petang saja. Apabila melihat adiknya, Ain Najwa, menjamah makanan, dia juga teringin menikmatinya, katanya.Zalina dan suami, Hamka Istamar, sedaya upaya memastikan makanan tidak diletakkan di atas meja atau di tempat yang Aiman mudah mencapainya bagi memastikan anak mereka berjaya memanjangkan tempoh puasa percubaan dan teknik berkenaan agak berkesan kerana Aiman akan leka bermain sekiranya permintaannya untuk makan tidak dilayan.
INFO: Latih anak berpuasa
Pastikan tiada makanan didedahkan kepada anak. Setiap kali anak meminta makanan, cuba lengahkan permintaan anak. Janjikan ganjaran yang baik seperti Tuhan sayang orang yang berpuasa. Jangan paksa anak berpuasa kerana setiap kanak-kanak mempunyai daya ketahanan diri yang berbeza. Cuba beri tempoh masa tertentu kepada anak supaya dia dapat menyesuaikan diri tanpa makan selama beberapa jam terlebih dulu. Cuba layan setiap pertanyaan anak supaya dia tidak terlalu memikirkan mengenai makanan. Berlembut dengan anak supaya dia tidak rasa tertekan untuk melakukan puasa.
Ratu - Berita Harian 2/9/08

No comments: