Thursday, September 4, 2008

SELERA JEPUN SEMASA BERBUKA





VARIA

Sajian fusion Jepun

Oleh SUBASHINI RAJANDRAsubashini.rajandra@kosmo.com.my

BAGAIKAN cendawan yang tumbuh selepas hujan, bilangan restoran Jepun semakin bertambah di pasaran sehingga tidak terbilang. Daripada hidangan masakan tradisional dengan stail jamuan yang mengikut budaya masyarakat negara matahari terbit, sehinggalah kepada menu untuk pemeliharaan nutrien dan vitamin.
Namun yang pasti, restoran Jepun jarang sekali memasukkan elemen fusion dalam masakannya yang mencerminkan campuran budaya setempat. Kebanyakannya mengutamakan masakan resipi Jepun asli tanpa menyuntik kepelbagaian selera makan.
Tetapi, dalam era milenium ini, rata-rata muda-mudi lebih gemarkan kepelbagaian dalam menu hidangan mereka. Ini kerana menu yang sama setiap hari pasti menimbulkan kebosanan pelanggan.
Melihat potensi itu, restoran Zaru Izakaya membuka lembaran baru dalam dunia masakan Jepun yang mengadunkan sajian Jepun, Barat dan tidak lama lagi cita rasa Malaysia.

Dengan pembukaan cawangan pertamanya di pusat beli-belah Sunway Pyramid, kira-kira empat bulan lalu, Zaru Izakaya adalah sebuah bistro dan sushi bar yang semakin mendapat perhatian.
"Kami menyediakan menu mengikut trend semasa. Jika ada permintaan menukar menu kepada sesuatu yang lebih menarik tetapi masih mengekalkan ciri-ciri masakan Jepun, kami sedia lakukan," ujar Pengurus Besar Restoran Zaru Izakaya, Cathy Tan ketika ditemui Kosmo!.
"Kami juga menerima tempahan untuk acara keramaian seperti sambutan hari jadi, pelancaran produk, majlis perpisahan, parti dan sebagainya," ujarnya yang kali ini menyediakan menu khusus untuk pemakan sayur.
Ini tidak bermakna Zaru Izakaya kehausan masakan bukan pemakan sayur. Dua daripada masakan signatur mereka terdiri daripada lamb rack yang menggunakan daging kambing biri-biri dan kamo yang dimasak dengan filet itik. Kedua-dua masakan ini dihidangkan panas di atas teppan atau pinggan panas dengan kelazatan campuran ramuan yang diperap.

Menu makanan lain pula ialah makimono soft hard yang mengandungi ikan salmon, timun, keju, bawang dan lain-lain. Sake kabuto miso shiro pula adalah kepala ikan salmon yang dimasak dengan cendawan, enoki dan tomato.
Set hidangan promosi bagi makan petang juga menyediakan enam set berbeza agar pelanggan mempunyai variasi meluas.
Dalam pada itu, menu fusion pemakan sayur dimulakan dengan pembuka selera yang terdiri daripada ramen salada, vegetable roll dan inari sushi. Ramen salada ialah mi ramen yang dicampur dengan tomato, daun selada, timun, tempura, bijan dan sedikit gula. Vegetable roll pula menggunakan rumpai laut Nori yang disumbat bersama daun bayam, timun, avokado, cendawan, kanpyo, tempura, nasi sushi, bijan dan sebagainya.

Inari sushi pula nampak menarik sekali dan tidak kurang enaknya ialah nasi sushi; shitake, sejenis cendawan; kanpyo dan takuan. "Pembuka selera ini sahaja sudah cukup untuk membuang toksin dan menyegarkan badan kerana ia bebas daripada minyak dan kaya dengan vitamin."
"Jika sehari suntuk makan daging dan ikan, sayur-sayuran ini membantu mengimbangkan keperluan khasiat dalam badan,"jelasnya yang memperkenalkan hidangan utama.
Set pertama ialah cold noodles yang mempunyai ais di bawah mangkuk. Mi nipis yang dikenali sebagai inaniwa udon disajikan dengan sayur dan ubi keladi dari kawasan pergunungan, selain rumpai laut, daun bawang dan wasabi. Ia dimakan ketika masih sejuk dan dicecah ke dalam sos dan sudah tentunya wasabi.
Ini diikuti dengan kombinasi tempura yang diisi dengan buah labu, ubi keladi, terung, lobak merah dan daun bawang.
Healthy shiro mono seperti namanya sihat untuk badan dan sedap kerana ia merangkumi tujuh jenis serbuk rempah-ratus termasuk pes kacang Jepun, daun bawang, mi ubi atau shirataki dan pelbagai ramuan lain.
Walaupun terlalu banyak makanan untuk sesi pembuka mulut dan hidangan utama, namun persediaannya dalam jumlah yang kecil membolehkan pelanggan menikmati kelazatan setiap makanan tanpa membazir. Memandangkan restoran Zaru Izakaya bebas daripada daging khinzir, pelanggan Muslim boleh menjamu selera tanpa was-was.
Melihat keluasan restoran yang agak besar dan terbuka, restoran Zaru Izakaya mampu menerima hampir 100 pengunjung dalam satu-satu masa. Hidangan disediakan oleh seorang chef utama dan lapan pembantu dapur terbuka.
Terakhir sekali ialah pencuci mulut yang dipanggil Tempura banana ice cream. Ais krim ini menghidangkan sebiji pisang dengan seleksi perasa teh hijau atau strawberi.
Restoran Zaru Izakaya terletak di OB 3, G01 dan G02, Sunway Pyramid, No. 3, Jalan PJS 11/15, Bandar Sunway, Petaling Jaya. Talian telefon untuk dihubungi ialah 03-5632 0559.

Sumber: Kosmo 5/9/08

No comments: