Tuesday, September 2, 2008

TAHNIAH WIRA MALAYSIA

Enzim Hasil Penyelidikan Angkasawan Negara Terima Paten Amerika Syarikat

PUTRAJAYA, 2 Sept (Bernama) -- Enzim 'Geobacillus Zalihae' hasil daripada penyelidikan pengkristalan protein dalam program angkasawan negara tahun lepas telah menerima paten di Amerika Syarikat.Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Maximus Ongkili berkata enzim yang diberi nama sempena nama penyelidiknya Prof Raja Noor Zaliha Raja Abdul Rahman itu juga telah difailkan patennya di Malaysia, Eropah dan Jepun."Empat lagi penyelidikan di angkasa lepas yang membabitkan sel dan mikrob bagaimanapun masih dalam proses pembangunan dan dijangka selesai tahun depan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Sains Mikrograviti di sini hari ini.Bengkel dua hari itu menghimpunkan 150 peserta dalam dan luar negara termasuk 20 tokoh akan membentangkan hasil kajian mereka. Fokus utama bengkel berkenaan adalah untuk membincangkan hasil penyelidikan oleh Angkasawan Negara Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor.Prof Raja Noor Zaliha dari Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata enzim yang dihasilkannya boleh digunakan untuk tujuan industri seperti dalam pengeluaran pencuci, bahan farmaseutikal dan makanan tambahan."Enzim ini boleh menjana pendapatan dan jika kita keluarkan sendiri enzim ini, ia boleh memberi peluang pekerjaan yang banyak kepada graduan bioteknologi negara ini."Kita juga boleh jual teknologi ini ke luar negara dan potensi pasaran untuk enzim memang besar," katanya.Prof Raja Noor Zaliha berkata penyelidikan protein di angkasa lepas adalah penting kerana kristal protein yang lebih besar boleh dibentuk di situ iaitu dua kali ganda daripada kristal protein yang terdapat di bumi."Kristal besar diperlukan untuk melihat struktur protein, bagaimana protein bertindak dan seterusnya macam mana ia dapat digunakan sepenuhnya," katanya.-- BERNAMA

No comments: